Memaparkan catatan dengan label kedah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kedah. Papar semua catatan

Jumaat, Mac 02, 2018

KERAJAAN KEDAH LANCAR "KEDAH PAY"





ALOR SETAR: Kerajaan Kedah melancarkan aplikasi 'Kedah Pay' dalam usaha menyediakan platform pembayaran tanpa tunai melaui teknologi imbasan sistem Quick Response (QR) Code yang dijangka boleh digunakan sepenuhnya pertengahan tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata cadangan kerjasama penggunaan teknologi kewangan (fintech) untuk Kerajaan Negeri melibatkan Virlinks Technology Sdn Bhd disokong oleh Finexus Cards Sdn Bhd.

"Aplikasi ini menyediakan kaedah pembayaran berpusat untuk rakyat dan kakitangan kerajaan negeri dalam membuat pembayaran, pemindahan wang, pembayaran bil setempat, pengeluaran wang dan pembayaran bil melalui telefon pintar sahaja.

"Hasrat kerajaan negeri adalah untuk memberi kemudahan kepada rakyat Kedah menjelaskan sebarang jenis pembayaran melalui aplikasi ini," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.



Terdahulu, beliau merasmikan majlis pelancaran 'Kedah Pay' dan majlis penyerahan dokumen perjanjian kerjasama antara pihak Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan Virlinks Technology Sdn Bhd sempena Ekspo Muafakat Kedah di Stadium Darul Aman.

Ahmad Bashah berkata penggunaan aplikasi akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), institusi pendidikan tinggi dan premis perniagaan.

"Buat permulaan, pelaksanaan dan perkhidmatan ini akan bermula secara dalaman agensi kerajaan negeri yang melibatkan aktiviti pembayaran gaji kakitangan awam, pembayaran cukai tanah dan pintu serta kutipan hasil yang lain.

"Saya harap dengan aplikasi ini ia dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri serta semua kakitangan kerajaan dan rakyat Kedah dan dapat memudahkan proses kutipan hasil kerajaan negeri disamping meningkatkan hasil kutipan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata apabila aplikasi ini dilaksanakan sepenuhnya pertengahan tahun ini sebanyak RM500 juta bakal diperolehi setiap bulan manakala dalam tempoh setahun jumlah kutipan pembayaran daripada penggunaan aplikasi ini boleh mencecah antara RM5 bilion hingga RM6 bilion.

-- BERNAMA

Rabu, Ogos 14, 2013

100 HARI MUKHRIZ JADI MB KEDAH

Senario 1 Sewaktu menghadiri majlis kenduri perkahwinan di Kuala Kedah baru-baru ini, tuan rumah meminta saya untuk tunggu sebentar. "Jangan balik lagi," kata beliau yang merupakan saudara terdekat saya. "Kenapa?" tanya saya. "Dato' Mukriz nak datang," kata beliau penuh bangga. Saya memandang beliau kehairanan. Beliau yang merupakan saudara saya pernah memberitahu yang dia sudah "cemuih dengan UMNO." Senario 2 Ketika berucap dalam satu perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan Negeri Kedah, Dato' Paduka Mukhriz Mahathir menyebut mengenai sejumlah hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan. "Sebenarnya hutang ni bukanlah berlaku dalam tempoh kepimpinan kerajaan lima tahun lalu, tetapi sebelum itu lagi," katanya. Selepas mesyuarat, saya berbual dengan beberapa orang pegawai kanan kerajaan. Seorang pegawai menyebut bahawa beliau suka dengan pendekatan Mukriz yang tidak menyalahkan kerajaan lalu. "Ini berbeza dengan Menteri Besar (beliau sebutkan nama negeri) yang asyik salahkan Menteri Besar dulu walaupun dia sudah lima tahun duduk di kerusi itu," katanya. Senario 3 Bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abd Razak tidak menghadiri majlis angkat sumpah Mukhriz sebagai Menteri Besar yang baru di Istana Anak Bukit. Puncanya, beliau sakit dan dimasukkan di Kedah Medical Center (KMC). Selepas angkat sumpah, Muhriz menziarahi beliau di KMC. Apabila Azizan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang, Mukriz beberapa kali melawat beliau di sana. Selain itu, Mukhriz juga mengadakan majlis bacaan doa di Masjid Zahir Alor Setar untuk bermunajat agar Azizan segera sembuh. Muhriz pernah memberitahu beberapa orang, apa saja yang baik yang dilakukan oleh Azizan, akan diteruskannya. Sebagai contoh, majlis ilmu yang diadakan Azizan di kediaman rasmi di Mentaloon diteruskan oleh Mukhriz. Senario 4 Sejak menjadi Menteri Besar, Mukhriz masih tinggal di kediaman keluarganya di Titi Gajah. Sama seperti Azizan, Mukhriz tidak berpindah ke kediaman rasmi Menteri Besar. Apabila soalan ini diajukan kepada pegawainya, alasan yang diberikan ialah Mukriz tidak mahu membelanjakan kos yang tinggi untuk membaikpulih kediaman rasmi tersebut. Untuk masa ini, beliau memilih untuk tinggal di Titi Gajah. Malah, ada pegawai pejabat beliau yang menumpang di rumah tersebut untuk sementara waktu. * * * * * Sehingga 100 hari kepimpinannya, Mukhriz telah melangkah dengan baik. Rata-rata, penduduk Kedah selesa dengan Mukhriz. Beberapa orang penyokong PAS yang ditemui juga senang dengan kepimpinannya. Ini adalah satu permulaan yang baik. Bagaimanapun, ini bukan bermaksud Mukhriz tidak akan berhadapan dengan cabaran. Sebagai Menteri Besar Kedah, Mukhriz harus memikirkan bagaimana untuk memajukan negeri itu dengan sumber yang terbatas. Mukhriz ada idea yang banyak. Persoalannya ialah adakah dia juga ada sumber yang diperlukan untuk memajukan Kedah. Usaha menarik pelabur bukanlah satu usaha yang mudah. Industri pelancongan berkembang pesat di Langkawi, tetapi di tanah besar tidak begitu. Sektor pendidikan dan perkilangan mempunyai potensi. Begitu juga pertanian yang selama ini mendominasi ekonomi negeri perlu dimajukan. Bagi menggembeling agensi dan pemikir, Mukhriz menganjurkan Makmal Transformasi Kedah mulai 1 September ini. Terus-terang, beliau mempunyai harapan yang besar kepada makmal ini. Namun, mampukah makmal ini menjana idea-idea baru? Dalam politik, Mukhriz bukanlah Ketua UMNO Bahagian, namun beliau diberikan kepercayaan untuk menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri. Ini adalah satu amanah yang besar. Kemampuan Mukhriz menguruskan Ketua-ketua UMNO Bahagian - dan mengambil pendekatan inklusif - akan memperlihatkan skil kepimpinan politik beliau. Sekarang sudah ada suara-suara yang inginkan beliau bertanding Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti yang akan datang. Saya kurang pasti sekuat manakah suara-suara tersebut, namun saya fikir eloklah pada masa ini beliau tumpukan kepada kepimpinan di negeri Kedah. Masih banyak yang perlu dilakukan. Satu lagi cabaran Mukhriz ialah menguruskan Perkhidmatan Awam Kedah (Kedah Civil Service). Sebahagian anggota KCS, ada yang tidak menunjukkan prestasi yang baik (deadwoods). Semua orang tahu sikap "longleh" sesetengah kakitangan awam di negeri itu. Bagaimanakah Mukhriz mengendalikan kes-kes ini tanpa memberikan mesej yang salah kepada kakitangan awam. Apa pun, seperti yang disebutkan di awal tadi, Mukhriz mula menapak dengan betul pada 100 hari pertama beliau menjadi Menteri Besar. Sekarang, rakyat sedang memerhatikan bagaimanakah beliau akan berlari untuk lima tahun seterusnya! (dipetik dari blog www.
nobisha.blogspot.com)

Jumaat, Julai 15, 2011

MACAM MANA BN MAHU TAWAN KEDAH?


Macam mana BN mahu tawan Kedah jika ahli UMNO masih bercakar sesama sendiri? Inilah yang berlaku di Sungai Petani baru-baru ini.

Persidangan perwakilan Umno Bahagian Sungai Petani sedikit kecoh berikutan tindakan sekumpulan anggota parti bahagian itu yang tidak berpuas hati dengan penggantungan ketua bahagian itu Ali Yahya oleh Majlis Tertinggi (MT).

Kumpulan kira-kira 40 lelaki itu yang membawa sepanduk dan kain rentang memasuki dewan Institut Kemahiran Mara (IKM), tempat persidangan berlangsung sebaik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanifah memasuki dewan kira-kira pukul 10 pagi.

Sepanduk dan kain rentang itu, antara lain tertera perkataan "mengapa ketua yang dipilih dipinggirkan" dan "kami mahu keadilan" selain mempersoalkan keputusan MT berhubung masalah bahagian itu.

Kekecohan itu bagaimanapun reda selepas 10 minit apabila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir meminta supaya anggota Umno menyelesaikan semua masalah sebagai satu keluarga. Kumpulan lelaki itu kemudiannya beredar keluar.

Jawatan Ali sebagai ketua bahagian itu digantung berikutan kekecohan persidangan perwakilan bahagian itu pada 2009 dan kini ditadbir oleh sebuah jawatankuasa Panel Pengurusan dan Pentadbiran diketuai Mukhriz.

Selain Mukhriz, jawatankuasa Panel itu dianggotai Datuk Md Rozai Shafian (Ketua Umno Bahagian Pendang); Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (Ketua Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu); Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Ketua Penerangan Umno Negeri) dan Datuk Othman Aziz (Setiausaha Umno Negeri).

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahmad Bashah berkata memang ada sedikit rasa tidak puas hati di kalangan perwakilan tetapi keadaan adalah terkawal dan tidak sampai menjejaskan perjalanan mesyuarat.

Mukhriz pula berkata beliau yakin semua masalah yang berlaku atau rasa tidak puas hati dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Isnin, September 20, 2010

MUBARAK KEDAH KESAL DENGAN KENYATAAN NAZRI


Tindakan Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menuduh Utusan Malaysia mempunyai agenda berhubung isu Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) termasuk cuba membawa balik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri disangkal oleh Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah.

Ketua Penerangannya, Datuk Badri Yunus berkata, tuduhan tersebut adalah tidak berasas sama sekali dan tingkah laku menteri itu yang cuba mengaitkan Dr. Mahathir dalam perkara itu disifatkan sebagai amat menghairankan.

Beliau berkata, semua orang dapat melihat dengan jelas bahawa jika tidak kerana Perkasa dan Dr. Mahathir, perbuatan sesetengah pihak di negara ini yang cuba mempertikaikan orang Melayu termasuk hak-hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan akan menjadi semakin dahsyat.

"Ketika orang Melayu dipertikaikan hak-hak mereka, siapakah yang lantang bangkit mempertahankannya? Bukankah Perkasa dan orang seperti Ibrahim Ali serta Dr. Mahathir yang dilihat ke depan tanpa mengira mereka dihentam semula oleh mereka yang berkenaan.

"Yang paling orang hendak tahu ialah di manakah para pemimpin Melayu seperti Nazri ketika itu?

"Yang kita tahu ialah Nazri tidak berhenti-henti menghentam Dr. Mahathir sejak beliau bersara hingga tampak seolah-olah dia mempunyai dendam peribadi terhadap bekas Perdana Menteri itu," katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan ruangan Bisik-Bisik Mingguan oleh Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini mengenai Nazri.

Tulisan Awang itu menjawab tindakan terbaru Nazri yang lantang mempersoalkan Utusan Malaysia berhubung isu Perkasa.

Malah, Nazri seperti yang dilaporkan oleh portal The Malaysian Insider menuduh Utusan mempunyai agenda untuk membawa balik Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Secara peribadi, Badri memberitahu, beliau amat marah dengan tindak tanduk Nazri selama ini terhadap Dr. Mahathir dalam beberapa siri kecaman termasuk mencabar untuk berlawan.

"Siapakah Nazri jika hendak dibandingkan dengan Dr. Mahathir? Bukan saya saja tapi semua orang tahu peranan dan jasa Dr. Mahathir terhadap negara ini.

"Sedarlah diri dan cermin diri sendiri. Janganlah kerana ada sedikit jawatan, kita jadi sombong dan angkuh hingga mencerca dan mencaci orang yang pernah memberi kita peluang naik hingga ke jawatan hari ini," ujar Badri yang pernah menjadi wakil rakyat selama tiga penggal.

Badri turut sependapat dengan Awang bahawa Nazri perlu menyatakan pendiriannya mengenai siapa ketuanya sekarang memandangkan menteri itu kini dilihat banyak berlembut dengan pembangkang.

Katanya, di sebalik bertindak mengkritik pembangkang, Nazri nampaknya lebih berminat menghentam 'orang sendiri' dan perbuatan itu perlu dijelaskan oleh beliau.

Beliau berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan Nazri tidak pula bertukar menjadi beban kepada parti dan kerajaan kerana terlalu asyik dan ghairah menghentam pihak yang diwakilinya sendiri.