Isnin, Januari 01, 2018

MAHFUZ DAH TAHU TIDAK DICALONKAN SEBAB ITU DIA KELUAR DARI PAS

KOTA BHARU, 1 Jan (Bernama) -- PAS telah lama menjangkakan keputusan anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar untuk keluar daripada parti itu, kata Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata ini berdasarkan tindakan Mahfuz yang sering mempertikaikan kepimpinan PAS menerusi pelbagai kritikan sejak sekian lama.

"Ia bukan sesuatu yang memeranjatkan malah beliau telah lama menunjukkan tindak-tanduknya (untuk keluar parti) melalui kritikan-kritikan terhadap barisan kepimpinan seolah-olah cuba 'menjemput' PAS memecatnya daripada parti," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Takiyuddin berkata beliau menerima surat pengunduran sebagai anggota parti daripada Mahfuz pada pukul 5.04 petang semalam menerusi e-mel.

"Antara alasan dikemukakan Mahfuz dalam surat berkenaan termasuk mempertikaikan tindakan PAS dalam hal perjuangan Islam termasuk Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) dan sikap berkecuali parti itu dalam pengundian Bajet 2018 adalah satu pengkhianatan kepada rakyat.

"Selain itu beliau juga tidak berpuas hati dengan PAS yang disifatkan memencilkan rakyat dan sasaran kemenangan 40 kerusi PAS yang dikatakan terlalu sedikit dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14)," katanya sambil menambah alasan yang dikemukakan Mahfuz adalah dakwaan yang tidak berasas dan menyifatkan bekas anggota PAS tersebut kini 'sesat dalam politik'.

Semalam, Mahfuz yang merupakan bekas naib presiden PAS mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa 11.59 malam tadi dan menetapkan masa sebulan sebelum mengambil langkah sama ada akan menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata PAS telah bersiap sedia menghadapi PRU14 selepas menyelesaikan proses pemilihan calon baru-baru ini dan kini dalam proses menentukan kerusi mana yang bakal ditandingi termasuklah pemilihan 30 peratus muka baharu yang akan bertanding atas tiket PAS di Kelantan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PAS akan terus mengadakan muktamar tahunan yang dijangka diadakan di Pahang pada 2 dan 3 Mei tahun ini walaupun berdepan PRU14.

-- BERNAMA

NAJIB LETAKKAN MALAYSIA LEBIH KUKUH DALAM PETA ANTARABANGSA

KOTA KINABALU:  Misi diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang lebih kukuh dan lebih baik dalam peta antarabangsa.

Menurut ahli jawatankuasa Umno Bahagian Semporna, Datuk Basali Abdul Hamid, lawatan diplomatik Najib telah menaikkan imej  negara dan peluang perniagaan untuk Malaysia.

"Pada masa yang sama ia juga mewujudkan perniagaan yang lebih kompetitif dengan negara asing dalam mempastikan Malaysia kekal bersaing dalam perdagangan antarabangsa," katanya.

Beliau yang juga bekas ADUN Bugaya menambah peranan Malaysia dalam OIC serta lawatan ke Turki, India, China, Sri Langka, Maldives, Amerika Syarikat, United Kingdom membuktikan bahawa Malaysia adalah rakan kongsi yang kuat dalam perdagangan antarabangsa  selain dari mengukuhkan hubungan diplomatik.

Katanya, hasil dari lawatan ke negara negara tersebut, Perdana Menteri telah membawa masuk lebih ramai pelabur asing ke dalam negara.

"Di antara pelaburan yang berkesan adalah dalam industri pembuatan kereta Proton, mengeksport durian ke China, eksport minyak sawit,  Tun Razak Exchange dan projek ECRL," katanya lagi.

Katanya lagi, kemasukan pelaburan asing menunjukkan keyakinan orang luar terhadap kestabilan politik  dan ekonomi negara kita.

Beliau menambah dengan kepimpinan bergaya Najib, Bank Dunia dalam laporan terbaru meramalkan Malaysia dapat mencapai status pendapatan tinggi lebih awal dari tahun 2020.

"Usaha berterusan Najib untuk transformasi  negara dengan pelbagai program dan dasar akan menguntungkan semua orang," ujarnya.

Katanya, rakyat Malaysia wajar faham dan sedar  bahawa langkah pembetulan yang diambil oleh kerajaan adalah untuk mempastikan ekonomi dan perdagangan antarabangsa adalah  selari dengan ekonomi negara negara lain.