Jumaat, November 22, 2013

TUHAN PUN SAKIT?

KUANTAN, 22 Nov (Bernama) -- Pengarah Kesihatan Pahang Dr Norhizan Ismail hari ini mengesahkan ketua ajaran sesat 'Tuhan Harun', Harun Mat Saad, 47, sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Katanya lelaki itu dimasukkan ke wad di HTAA petang semalam. "Buat masa ini pakar perubatan sedang memberi rawatan kepadanya, dia masih dalam pemerhatian pakar...sakit apa saya tidak dapat pastikan," katanya kepada pemberita di sini. Terdahulu beliau mengiringi Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang berkenan melawat keluarga Allahyarham Ahmad Raffli Ab Malik, Ketua Bahagian Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Pahang, di kediaman Allahyarham. Harun dilapor dimasukkan ke HTAA pada pukul 2.30 petang semalam selepas mengadu sakit dan menunjukkan tanda serangan angin ahmar. Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Abdul Aziz Ahmad berkata kejadian berlaku ketika Harun berada di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan susulan perintah tahanan reman selama seminggu bermula semalam, bagi membantu siasatan kes bunuh Ahmad Raffli. Abdul Aziz berkata beberapa tahanan yang berkongsi lokap dengan Harun memanggil polis selepas lelaki itu mengadu sakit dan mulutnya berbuih sebelum dia dibawa ke HTAA. -- BERNAMA

Khamis, November 21, 2013

PEGUAM YANG KALAHKAN KES SPRM DITERIMA JADI PENDAKWA KES ANWAR

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam berkaliber yang banyak mengalahkan kes SPRM seperti kes Tan Sri Kasitah Gadam, Datuk Ramli Yusof, Tan Sri Eric Chia akhirnya dilantik menjadi pendakwa dalam kes rayuan bekas Timbalan Perdana Menteru, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim gagal dalam percubaan terakhirnya untuk melucutkan kelayakan peguam Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pendakwaan dalam rayuan berhubung pembebasan ketua pembangkang itu daripada satu pertuduhan liwat. Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, sebulat suara menolak rayuan Anwar. Ini bermakna Muhammad Shafee boleh mengetuai pendakwaan pada pendengaran rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Rayuan pada 11 dan 12 Dis depan. Dalam penghakimannya, Md Raus yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah Nordi, berkata tidak ada alasan yang munasabah bagi melucutkan kelayakan Muhammad Shafee daripada tampil sebagai pendakwa raya dalam kes itu. Md Raus berkata isu yang dibangkitkan peguam Karpal Singh bahawa Muhammad Shafee tidak boleh tampil sebagai pendakwa raya kerana merupakan saksi penting pada perbicaraan kes liwat Anwar, bukan isu kerana pihak pendakwaan dan pembelaan telahpun memutuskan beliau bukanlah seorang saksi yang relevan. Md Raus juga berkata hujah Karpal Singh bahawa pelantikan Muhammad Shafee sebagai pendakwa raya adalah terbatal kerana Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah tidak lagi terpakai, tidak mempunyai merit. Muhammad Shafee dilantik oleh Peguam Negara secara 'fiat' untuk mengetuai pendakwaan mengikut Seksyen 376(3) dan Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah serta Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. Surat pelantikan beliau ditandatangani Peguam Negara pada 2 julai tahun ini. Pada 9 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar, 66, daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang memutuskan terdapat penetrasi zakar namun fakta itu tidak disokong bukti lain. Oleh itu, Mohamad Diah berkata mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti tentang kewibawaan sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Mohd Saiful kerana ia mungkin diganggu sebelum sampai ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. -- BERNAMA

Jumaat, November 15, 2013

KP FINAS TERPERANJAT HIGHLAND TOWERS KUTIP RM3 JUTA

NILAI, 15 Nov (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang memantau dan mengambil langkah sewajarnya bagi meningkatkan mutu dan kualiti filem yang dihasilkan di negara ini, kata Ketua Pengarahnya Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah. Beliau berkata ini ekoran dari jumlah kutipan daripada filem yang dikeluarkan tahun ini didapati merudum akibat dari kualiti dan penceritaan yang lemah serta tidak menepati cita rasa penonton. "Oleh itu, salah satu langkah yang akan kita ambil ialah memperketatkan peraturan dan melakukan sesi dialog bagi menjaga mutu sesebuah filem yang dihasilkan agar mendatangkan hasil pulangan yang baik kepada pengeluar filem sekaligus meningkatkan jumlah kutipan. "Tapi ada filem yang kita tidak jangka seperti contoh filem Highland Towers kerana yang memeranjatkan saya, filem ini mendapat kutipan melebihi RM3 juta. Di sini boleh saya simpulkan, anda buat filem tetapi di akhirnya yang menentukan adalah penonton. "Macam mana bagus pun belum tentu diterima penonton kerana selera mereka berbeza," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia ke-10 (FFVPM10) 2013 di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di sini. Festival anjuran Usim dengan kerjasama Finas. Festival yang bertemakan Evolusi Lensa Merentas Globalisasi ini diadakan bagi menghargai titik peluh pelajar yang bekerja keras dalam bidang perfileman, komunikasi dan multimedia. Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan iaitu Filem/Video Pendek, Filem/Video Dokumentari, Filem/Video Eksperimen, Video Klip, Iklan, Filem/Video Animasi dan Pesanan Khidmat Awam (PSA). Daripada kategori pertandingan tersebut, sebanyak 19 kategori hadiah bakal menjadi rebutan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta antaranya Filem/Video Terbaik Keseluruhan, Filem/Video Pendek Terbaik dan Filem/Video Animasi Terbaik. Lima filem yang dicalonkan bagi kategori Filem/video Pendek Terbaik ialah 'Dompet' (Usim); 'Mimpi Mah Meri' (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan); 'Newcastle' (Kuala Lumpur Metropolitan University College); 'Silent Boy' (Universiti Malaysia Sabah) dan 'Unlock' (Universiti Teknologi Malaysia). Acara kemuncak festival ini ialah Malam Anugerah FFVPM10 2013 di Stadium Tertutup Nilai esok. -- BERNAMA

Khamis, November 14, 2013

KERAJAAN BINA TERUSAN BAGI KEMUDAHAN INDUSTRI BESI DI KEMAMAN

KEMAMAN, 14 Nov (Bernama) -- Sebuah terusan sepanjang dua kilometer dianggarkan bernilai RM20 juta, akan dibina oleh kerajaan Terengganu untuk memudahkan laluan tongkang dan kapal, bermula dari Kampung Kemunting hingga Sungai Bukit Kuang dalam kawasan industri Teluk Kalong, di sini. Pembinaan terusan itu yang melalui jajaran Sungai Bukit Kuang, melibatkan pelebaran dan mendalamkan dasar sungai berkenaan bagi memudahkan operasi sektor industri, khususnya berkaitan besi keluli di kawasan berkenaan. Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata projek pembinaan terusan itu dijangka bermula pada suku pertama tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh setahun. "Mengikut perancangan, terusan itu akan dibina dengan keluasan 150 meter, dan kedalaman air lapan meter, bagi memudahkan laluan kapal dan tongkang ke kawasan perindustrian berkenaan. "Pembinaan terusan itu juga sebagai sebahagian kemudahan yang disediakan kerajaan negeri kepada pelabur dalam industri besi untuk menjimatkan kos pengangkutan bagi mengangkut pelbagai barang ke kilang di kawasan industri itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau Sungai Bukit Kuang yang akan menjadi tapak jajaran pembinaan terusan berkenaan. Katanya beberapa pelabur yang bakal membuka kilang besi di Teluk Kalong menyuarakan kelegaan mereka dengan kemudahan itu. Beliau berkata jika tiada masalah, projek itu akan dimulakan pada suku pertama tahun depan, dan dijangka siap dalam tempoh setahun. Sementara itu, ketika berucap pada majlis pembahagian dana raya kepada penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ahmad berkata kerajaan negeri juga dijangka menerima pelaburan asing bernilai RM16 bilion dari syarikat di Amerika Syarikat yang berminat melabur dalam industri besi di Teluk Kalong menjelang tahun depan. Katanya pembukaan kilang berkenaan dijangka menyediakan 5,000 peluang pekerjaan mahir dan separuh mahir kepada anak Terengganu. "Sebuah syarikat dari Korea yang akan menjalin usaha sama dengan syarikat tempatan juga sudah bersetuju membuka kilang besi di Teluk kalong, melibatkan nilai pelaburan RM6.6 bilion. "Jika menjadi kenyataan, projek itu merupakan kilang besi ketiga yang beroperasi di Teluk kalong dan menyediakan 2,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan," katanya. -- BERNAMA

Rabu, November 13, 2013

ORANG LAIN YANG ARAH, ORANG LAIN YANG KENA PENJARA

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Empat pegawai Yayasan Pelajaran Mara (YPM) masing-masing dipenjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Selasa selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengemukakan butiran palsu berhubung pembayaran tiket kapal terbang, tiga tahun lepas. Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu terhadap Noraidah Johar, 43, Muhammad Suhaimi Ismail, 44, Zolkefli Mohd Ali, 48, dan Nurmawati Redzwan, 46, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan di akhir kes pembelaan. Noraidah ialah Pengurus Unit Penyelaras YPM-Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT), Muhammad Suhaimi merupakan Penolong Pengurus Kewangan, Unit Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi III, Zolkefli ialah Penolong Pengurus Pentadbiran dan Perjawatan manakala Nurmawati pula Penolong Pengurus Hal Ehwal Pelajar dan Akademik. Ahmad Zamzani turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini, dan jika gagal membayar denda, boleh dikenakan penjara enam bulan. Mahkamah juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan kes mereka di Mahkamah Tinggi selesai, selain menaikkan jumlah jaminan daripada RM8,000 kepada RM10,000. Dalam penghakimannya Ahmad Zamzani berkata pembelaan kesemua tertuduh adalah bersifat penafian, tidak berasas dan tidak munasabah. "Terdapat bukti kukuh untuk mensabitkan kesemua tertuduh dengan pertuduhan," katanya. Terdahulu, peguam Azrul Z. Stork yang mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman ke atas mereka diringankan dengan diberikan bon berkelakuan baik kerana ia merupakan kesalahan pertama mereka. "Kesemua tertuduh mempunyai tanggungan anak-anak dan ibu bapa dan tertuduh benar-benar insaf dan berjanji tidak mengulanginya lagi," katanya. Kesemua tertuduh didakwa menggunakan dua dokumen yang mengandungi butiran palsu iaitu Ringkasan Borang Tuntutan Perbelanjaan/Penyelesaian Pendahuluan Lawatan Rasmi Bulan April 2010 dan Resit Rasmi Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd tanpa tarikh berjumlah RM12,125. Mereka didakwa mengesahkan dan mengaku membayar RM12,125 bagi tiket kapal terbang kelas perniagaan pergi-balik ke Jepun yang mana jumlah sebenar ialah RM3,500 bagi kelas ekonomi. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Kewangan, Unit Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi, Yayasan Pelajaran Mara, antara 18 Mei 2010 dan 3 Jun 2010, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Firdaus Abu Hanipah. -- BERNAMA

Isnin, November 11, 2013

SEKOLAH SUKAN AKAN DIBUKA DI SABAH- TAWFIQ

TAWAU: Penubuhan sekolah sukan di Sepanggar, Kota Kinabalu diharap akan dimanfaatkan ke arah melahirkan atlet pelapis yang berkualiti dan mampu meraih kecemerlangan. Menteri Belia Dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata kewujudan sekolah sukan itu memberi ruang dan peluang kepada atlet muda di Sabah untuk mengasah bakat dalam lapangan sukan yang diceburi. "Kita jadikan sekolah sukan di sana sebagai aras...saya rasa bilangan pelajarnya masih kurang daripada 100 orang," katanya ketika diminta mengulas sesi lawatannya ke sekolah-sekolah sukan di Semenanjung baru-baru ini. Tawfiq berkata pihaknya akan melihat keperluan yang berkaitan di sekolah sukan itu yang baharu beroperasi pada tahun ini. Beliau berkata pegawainya telah diarahkan untuk mempunyai perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang ke arah melakukan perubahan pembangunan sukan di negeri ini. "Kita memastikan ada blueprint untuk sukan di Sabah kerana selama ini apabila jadikan sukan Sukma penanda aras, Sabah berada di kedudukan nombor lapan, nombor sembilan, tidak pernah dapat lima teratas atau tiga teratas. "Jadi ini merupakan cabaran, kita mahu ada perubahan dan kita akan mula dari bawah termasuk bola sepak mesti ada usah pembangunan akar umbi," katanya. Dalam pada itu, Tawfiq mahu kerjasama daripada persatuan-persatuan sukan di negeri ini ditingkatkan untuk pembangunan sukan secara keseluruhannya. Beliau berkata persatuan tidak akan mampu membangun secara menyeluruh atlet kerana mereka mempunyai kekangan kewangan kerana peruntukan mereka hanya untuk menganjurkan kejohanan dan bukan pembangunan akar umbi. -- BERNAMA

Khamis, November 07, 2013

FELCRA PERLU ATASI CABARAN DALAMAN

,
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad perlu mengatasi pelbagai masalah dan cabaran dalamannya sebelum dapat melaksanakan transformasi yang berkesan. Pengerusinya Datuk Bung Moktar Radin berkata, punca masalah termasuk pentadbiran, pengurusan ladang kelapa sawit dan getah, kilang pemprosesan serta kebajikan para pengurus dan peserta akan dikenal pasti dan diselesaikan agar organisasi dapat merancang dan meningkatkan pendapatan sekali gus meluaskan rangkaian perniagaan. "Jika tidak ada kerjasama dan keberanian untuk melakukan perubahan positif, impak lebih buruk akan melanda Felcra. Justeru ia perlu diberi perhatian kerana ini adalah amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh 'tuan' kita iaitu kerajaan dan para peserta," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Pengerusi Felcra di sini hari ini. Kira-kira 400 petugas menghadiri majlis itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Datuk Ramlee Abu Bakar, ahli-ahli lembaga serta para pengurus Felcra. Katanya memandangkan harga komoditi getah dan kelapa sawit di pasaran mengalami penurunan, Felcra juga harus mencari jalan untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaan di dalam dan luar negara agar dapat terus bersaing dengan syarikat-syarikat milikan kerajaan (GLC) yang lain. Antara yang dirancang ialah penubuhan kilang baja di Terengganu, pembukaan ladang lembu di Australia dan getah di Kemboja serta perusahaan ladang jagung dengan usaha sama syarikat luar di Indonesia, selain merancakkan pembangunan hartanah seperti hotel dan rumah-rumah kedai. Felcra sehingga kini memiliki keluasan sebanyak 260,000 hektar tanah dalam negara. Dalam sidang medianya Bung Moktar berkata, Felcra dijangka menerima pendapatan kira-kira RM2 bilion dalam tempoh lima hingga 10 tahun, hasil perniagaan bukan komoditi termasuk mineral bijih besi yang diperoleh melalui tanah milikan Felcra. Jelasnya, untuk membantu generasi baru pula, Unit Usahawan akan turut diperluas bagi membuka peluang kepada anak-anak muda Felcra menceburi bidang industri kecil dan sederhana (IKS) dan berhasrat untuk mendapatkan peruntukan berjumlah RM1 juta, mulai tahun depan. -- BERNAMA RKMS KHY RAM

TERENGGANU TARIK RM20.4 BILION MELALUI ECER

KUALA TERENGGANU, 7 Nov (Bernama) -- Sejak penubuhannya lima tahun lepas, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM20.4 bilion ke Terengganu. Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Issace John berkata ia secara tidak langsung mewujudkan kira-kira 10,850 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dan 800 usahawan baharu di negeri itu. "Pelabur, termasuk syarikat bertaraf global seperti Petronas (Malaysia), Gevo dan Huntsman dari Amerika Syarikat, Arkema dari Perancis, CJ Cheiljedang
dari Korea Selatan dan Shougang Corporation dari China. "Pelaburan awam dan swasta itu memacu momentum transformasi ekonomi di Terengganu dan hasilnya, pendapatan rakyat telah meningkat dan seterusnya membawa kepada peningkatan taraf hidup mereka," katanya kepada pemberita dalam satu sesi taklimat khas hari ini sempena ulang tahun kelima penubuhan ECER di Terengganu September lepas. Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC, memperuntukkan RM1.11 bilion untuk melaksanakan 41 projek ECER di Terengganu dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10. Pelaburan tersebut diluluskan bagi melaksanakan inisiatif pembangunan infrastruktur dan sosial, yang bertujuan meningkatkan daya tarikan Terengganu sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif, sekali gus meningkatkan status sosioekonomi rakyat. Matlamat utama ECERDC, yang sentiasa berganding bahu dengan Kerajaan Negeri Terengganu, ialah untuk menggerakkan transformasi ekonomi negeri, untuk manfaat rakyat, katanya. Beliau berkata projek pembangunan yang dirancang perlu memenuhi tiga kriteria iaitu mewujudkan peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan peningkatan hasil isi rumah bagi penduduk setempat. Di Terengganu, ECERDC kini melaksanakan pelbagai projek dan program yang memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi yang terdapat di negeri ini seperti minyak dan gas asli, bijih besi, pertanian dan pelancongan. Beliau berkata pembangunan Taman Biopolimer Kertih (KBP), yang memberi fokus pada sektor-sektor berkaitan bioteknologi, adalah bersifat saling melengkapi dengan industri minyak dan gas di Terengganu. "KBP merupakan lokasi bagi loji biometionina dan tiokimia bersepadu pertama di dunia, yang akan melonjakkan kedudukan Terengganu sebagai pusat teknologi baharu dan peneraju serantau dalam bidang biopenapisan. "Terletak di kawasan seluas 70 hektar di KBP, projek bernilai RM2 bilion ini merangkumi pembangunan loji biometionina milik syarikat CJ CheilJedang dari Korea dan platform tiokimia milik syarikat Arkema dari Perancis," katanya. Pembinaan sedang berjalan dan kemudahan itu dijangka mula beroperasi pada 2014. Apabila siap, kilang bersepadu tersebut akan muncul sebagai kemudahan pertama di dunia menggunakan proses fermentasi dalam pengeluaran L-methionine, sejenis asid amino yang digunakan untuk pengeluaran makanan untuk haiwan ternakan. Satu lagi penggerak industri bioteknologi yang telah memilih Terengganu sebagai destinasi pelaburan mereka ialah Gevo, sebuah syarikat bahan kimia boleh baharu dan biobahan api generasi baharu yang berpangkalan di Colorado, Amerika Syarikat. Jebasingam berkata Gevo merancang membina sebuah kilang pengeluaran isobutanol berasaskan bio daripada biojisim lignocellulosic di KBP, yang akan menjadikannya syarikat pertama mengeluarkan bahan tersebut daripada biojisim lignocellulosic secara komersil, apabila kilangnya di Kertih mula beroperasi kelak. "Bagi kluster pertanian, ECERDC mengenal pasti Taman Bio Herba Pasir Raja sebagai tapak penanaman komersil bagi 10 jenis herba bernilai tinggi yang menjadi bahan mentah untuk pengeluaran produk farmaseutikal dan nutraseutikal halal. "Pembinaan prasarana asas, sedang giat dijalankan untuk menarik para pelabur ke Taman Bio Herba tersebut dan ia dijangka siap pada akhir 2013," katanya. Pada masa yang masa, ECERDC juga sedang membangunkan Pusat Pembiakbakaan dan Inovasi Ternakan Biri-biri Kuala Berang, yang akan mula beroperasi pada awal 2014. Sebuah syarikat peneraju akan dikenal pasti untuk menggerakkan industri tersebut, khususnya melalui perkongsian teknologi dan amalan pertanian baharu dan terkini dengan petani tempatan, yang akan dibimbing untuk menjadi petani kontrak. Beliau berkata selain itu, satu lagi projek strategik ECER ialah Taman Industri Berat Kemaman (KHIP), yang dibangunkan untuk memanfaatkan sumber bijih besi tempatan yang terdapat di negeri Terengganu. "Taman industri ini akan memfokuskan kepada bidang fabrikasi besi dan keluli untuk menyokong operasi huluan syarikat-syarikat minyak & gas utama di Terengganu. "Pelabur-pelabur terbesar KHIP ialah Eastern Steel, sebuah syarikat usaha sama antara Hiap Tech Venture Berhad dari Malaysia dan Shougang Corporation, yang merupakan sebuah syarikat Fortune 500 dari China," katanya. Eastern Steel melabur RM1.8 bilion untuk membina kompleks kilang keluli bersepadu di Teluk Kalung yang akan menggunakan teknologi baharu dalam industri besi dan keluli. Bagi kluster pelancongan, ECERDC melancarkan pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) pada 2011 bagi memperkukuh peranan dan kedudukan bandar Kuala Terengganu sebagai Gerbang Pelancongan Timur di ECER. Beliau berkata pelan induk KTCC meliputi beberapa komponen utama iaitu pelancongan, perdagangan, pendidikan, kesihatan dan kediaman, yang akan mempertingkatkan daya tarikan bandar Kuala Terengganu sebagai pusat pelancongan dan penginapan. ECERDC juga akan membina sebuah jambatan gantung yang akan menghubungkan Muara Selatan dan Muara Utara di bawah pembangunan KTCC. Selain menjadi mercu tanda ikonik bagi sebuah bandar moden, jambatan tersebut juga akan berfungsi sebagai sistem penyuraian trafik. Katanya pembinaan jambatan ini akan bermula pada Januari 2014 dan dijadualkan siap pada tahun 2016. Kerja-kerja pembinaan prasarana sedang dilaksanakan di Muara Selatan dan dijadualkan siap bulan ini. "KTCC Mall Sdn Bhd pula telah memberikan komitmen pelaburan berjumlah RM1 bilion untuk membina pusat membeli-belah, sebuah hotel 4-bintang dan 500 unit suit perniagaan di KTCC. "Pusat membeli-belah tersebut dijangka mula beroperasi pada akhir tahun 2014, sementara hotel dijangka siap pada hujung 2016," katanya. Kini secara amnya, jurang kemiskinan antara Pantai Timur dan Pantai Barat sudah bertambah baik menerusi pelancaran beberapa projek berimpak tinggi di ECER. "Sasaran kita tiada lagi kemiskinan tegar di Terengganu menjelang 2020, pasti tercapai," katanya. -- BERNAMA KAK AZM LAT

Jumaat, November 01, 2013

GURU TAKMIR PERLU KUASAI ILMU BAHARU

TAWAU: Guru takmir atau guru agama yang mengajar di masjid dan surau perlu menguasai ilmu pengetahuan baharu sesuai dengan perkembangan semasa bagi menghasilkan kuliah berkualiti, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan. Katanya langkah itu juga akan menarik lebih ramai jemaah untuk turut serta dalam sesi kuliah, sekali gus memperlihat sifat profesional guru-guru berkenaan. "Guru takmir merupakan barisan hadapan di masjid dan surau yang pastinya dapat menyampaikan ilmu dan dakwah secara berkesan kepada seluruh masyarakat," katanya ketika menangguhkan Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru Takmir Negeri di sini hari ini. Tawfiq berkata golongan guru itu juga perlu bijak merencanakan kuliah masing-masing supaya mempunyai unsur perpaduan dan menghindarkan masyarakat daripada berpecah-belah akibat percanggahan pendapat dan fahaman. Terdahulu, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam di Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Ramlah Yong berkata beliau akan mengemukakan masalah yang dihadapi guru-guru takmir di pantai timur Sabah kepada pihak pengurusan Jakim untuk dipertimbangkan. Menurutnya guru-guru di kawasan tersebut memohon agar kadar elaun mereka dikaji semula berdasarkan cabaran tugas terpaksa mereka hadapi seperti tempat mengajar yang jauh di pedalaman. -- BERNAMA