Selasa, Oktober 24, 2017

PROGRAM CAKNA RAKYAT AKAN DIPERLUASKAN KE SETIAP DAERAH


KUALA TERENGGANU, 23 Okt (Bernama) -- Program Cakna Rakyat yang dimulakan di daerah Kuala Terengganu hari ini akan diperluaskan ke setiap daerah dengan mengikut giliran.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata beliau akan turun padang ke setiap daerah pada setiap hari Isnin sekiranya berada di dalam negeri.

"Penganjuran program itu dibuat mengikut konsep hari bertemu pelanggan bertujuan mendengar permasalahan rakyat dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai.

"Saya bersama wakil-wakil jabatan terutama jabatan negeri akan turun bertemu rakyat, buka kaunter dan saya akan jumpa pemimpin masyarakat setempat untuk mendapatkan maklum balas berhubung permasalahan rakyat dan kenalpasti projek-projek kecil yang boleh dilaksanakan segera untuk manfaat mereka," katanya kepada pemberita selepas hadir ke program itu di sini hari ini.

Lebih 2,000 pengunjung hadir ke program Cakna Rakyat itu yang bermula 8 pagi hingga 12.30 tengah hari dengan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kerja Raya, Telekom, Tenaga Nasional Berhad dan unit Transformasi Terengganu Baharu (TTB).



Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga akan menambah baik program Cakna Rakyat itu agar ia menjadi platform terbaik mendekatkan pemimpin dan rakyat di akar umbi.

"Sebenarnya, setiap hari Isnin adalah hari bertemu pelanggan di setiap agensi kerajaan ini, namun melalui program ini, kita gabungkan semuanya di bawah satu bumbung untuk memudahkan orang ramai menyelesaikan urusan masing-masing.

"Mungkin juga kita akan buat pasar percuma di setiap program Cakna Rakyat selepas ini agar golongan miskin dapat memperolehi barangan yang mereka perlukan ketika hadir nanti," katanya.

-- BERNAMA