Jumaat, Julai 30, 2010

WUJUDKAN PERKONGSIAN PINTAR


Kerajaan digesa menggalakkan perkongsian pintar antara syarikat yang dimiliki orang Melayu dan bukan bumiputera dalam bidang pengiklanan bagi memastikan industri berkenaan tidak dikuasai kaum tertentu sahaja.

Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana pada masa ini wujud ketidakseimbangan sangat besar apabila hanya 10 peratus syarikat Melayu terlibat dalam industri berkenaan.

‘‘Saya difahamkan oleh seorang rakan yang terlibat secara profesional dalam industri pengiklanan di negara ini bahawa jumlahnya setiap tahun adalah sebanyak RM6 bilion.

‘‘Daripada jumlah ini, hanya 10 peratus yang dimiliki oleh syarikat Melayu. Ternyata berlaku ketidakseimbangan yang sangat menjolok dalam industri ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 pada sidang Dewan Negara hari ini.

Menurut beliau, perkongsian pintar itu melibatkan gabungan antara syarikat pengiklanan Melayu dan bukan bumiputera akan memberi banyak faedah dan mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak.

‘‘Ini akan membolehkan berlakunya pemindahan teknologi dan menimbulkan perasaan persefahaman dan kerjasama serta rasa sebangsa atau senegara antara pihak-pihak yang terlibat dalam perkongsian ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan juga perlu memastikan graduan Melayu diberi peluang untuk bekerja dalam syarikat pengiklanan yang 90 peratusnya dikuasai bukan bumiputera.

‘‘Langkah ini perlu dilakukan segera selaras dengan hasrat kita untuk merealisasikan semangat 1Malaysia yang mahu melihat wujudnya keseimbangan antara kaum,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau melahirkan kekesalan, dengan sikap syarikat milik kerajaan (GLC) termasuk Petronas dan Telekom Malaysia Berhad yang menggunakan khidmat syarikat pengiklanan antarabangsa.

‘‘Syarikat pengiklanan asing ini tidak sensitif dengan budaya tempatan dan tidak memberikan keutamaan untuk menggunakan bahasa kebangsaan.

‘‘Iklan GLC ini, saya juga dapati lebih banyak menggunakan bahasa asing atau menggunakan bahasa kebangsaan secara rojak.

‘‘Bagi mengelak situasi ini berterusan, saya harap semua GLC memberi peluang kepada syarikat bumiputera untuk menguruskan pengiklanan mereka. Jangan kita abaikan bahasa Melayu kerana kuasa beli kaum ini juga adalah besar,” katanya.

Sementara itu, Senator Datuk Akbar Ali yang turut membahaskan rang undang-undang sama meluahkan kekecewaannya kerana terdapat GLC tertentu yang enggan menyiarkan iklan di dalam Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Beliau berkata, sikap tidak mahu mengiklan di dalam akhbar yang sentiasa menyuarakan kepentingan orang Melayu tidak sepatutnya berlaku kerana kebanyakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GLC berkenaan terdiri daripada kaum itu.

‘‘Saya harap CEO Melayu tidak menjadi seperti Little Napoleon yang membuat keputusan tidak munasabah semata-mata kerana merasakan mereka lebih pandai daripada orang lain,” katanya.