Khamis, Julai 30, 2009

PENGARAH CTOS DIDENDA RM12,600


Seorang pengarah syarikat pembekal maklumat kewangan yang pernah didakwa 85 pertuduhan dua tahun lepas, Rabu didenda RM12,600 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap 26 pertuduhan mengikut Akta Syarikat.


Chung Tze Wen, 51, yang merupakan pengarah bagi tiga syarikat iaitu Saham Ctos Sdn Bhd, Ctos EMR Sdn Bhd dan Ctos Data System Sdn Bhd, didenda RM3,600 atas 18 pertuduhan iaitu gagal menyerahkan laporan tahunan syarikat bagi tahun 2003, 2004 dan 2005 kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 143(1) Akta Syarikat 1965, yang memperuntukkan denda RM30,000 atau lima tahun penjara, jika sabit kesalahan.Tze Wen turut didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan iaitu gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan untuk tiga syarikat itu bagi tahun 2006.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 (4) Akta Syarikat 1965, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 165(7) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM2,000 bagi setiap pertuduhan.


Sementara itu, Tze Wen turut didenda RM6,000 bagi dua pertuduhan iaitu gagal membentangkan akaun untung dan rugi syarikat bagi tahun 2005, seperti mana mengikut Seksyen 169 (1) Akta Syarikat 1965, yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda RM30,000, jika disabitkan dengan kesalahan itu.


Peguam bela, Ashok Kandiah yang mewakili Tze Wen, merayu kepada mahkamah bahawa kesalahan itu bukan disengajakan tetapi hanya terlepas pandang berikutan ketika itu syarikat milik anak guamnya sedang berkembang dan menghadapi perubahan struktur organisasi.


Ashok berkata, sejak dari kejadian itu, anak guamnya akan menghantar semua laporan dan penyata tahunan kepada SSM yang dikemaskini secara rutin.


Dahulu ketika Datuk M. Kayveas menjadi timbalan menteri di jabatan perdana menteri beliau telah memperjuangkan masalah CTOS. Tetapi sampai sekarang pihak bank masih merujuk kepada CTOS. Oleh itu sudah sampai masanya bagi semua pihak tidak merujuk kepada CTOS yang banyak mendera orang Melayu.