Isnin, April 16, 2018

SHAHRIZAT TOLAK TAWARAN BERTANDING DI BANDAR TUN RAZAK

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menafikan spekulasi bahawa beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya tawaran untuk bertanding di Bandar Tun Razak tidak akan diterima walaupun yakin kawasan itu boleh dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN) daripada PKR.

"Ramai yang tanya saya sama ada saya akan terima tawaran bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak. Jawapan saya, tidak walaupun Bandar Tun Razak adalah satu kawasan di mana Barisan Nasional boleh menang dan tewaskan PKR," katanya dalam catatan Facebook beliau.

Media sebelum ini melaporkan terdapat ura-ura Shahrizat bakal bertanding sebagai calon BN di Parlimen Bandar Tun Razak yang tradisinya ditandingi oleh wakil daripada MCA.

Pada PRU13, wakil MCA kalah kerusi Bandar Tun Razak kepada calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dengan majoriti 11,832 undi yang kemudiannya menjadi calon Bebas.

MAHATHIR LARI DARI KUBANG PASU KE LANGKAWI

LANGKAWI, 15 April - Kubang Pasu yang selama ini menaikkan nama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun akhirnya ditinggalkan oleh  Pengerusi Pakatan Harapan (PH). Beliau diumumkan sebagai calon pakatan pembangkang itu untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi PH yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini malam ini.

Sebelum itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri mengumumkan calon daripada partinya, yang akan bertanding di enam kerusi parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.


Semua calon PH akan bertanding di bawah simbol tunggal PKR.

Selain PKR, tiga lagi parti komponen PH ialah PPBM, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Antara calon PPBM yang lain adalah bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang akan bertanding di Parlimen Jerlun dan DUN Jitra.

Calon lain yang akan bertanding kerusi Parlimen adalah Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Wan Saiful Wan Jan (Pendang), Mohd Taufik Yaacob (Baling) dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi (Jerai).

Calon DUN pula adalah Datuk A. Aziz Mohamud (Ayer Hitam), Halimahton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Mohd Aizad Roslan (Bukit Lada), Syed Fadzil Syed Embun (Kuala Nerang) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).

Mohd Nazari Abu Hassan (Jeneri), Abdul Rahim Kechik (Bayu), Mohd Saffuan Sabari (Guar Chempedak), Mejar (B) Annuar Abd Hamid (Tanjung Dawai), Datuk Azimi Daim (Bandar Baru), Johari Bulat (Air Hangat) dan Mohd Firdaus Ahmad (Kuah).