Rabu, November 10, 2010

MINDA NIAGA SUDAH MUNCUL DI PASARAN


Pada 4 November lalu tepat jam 5.15 petang kami menerima naskhah sulung majalah MINDA NIAGA yang baru siap dicetak. Terima kasih kepada Encik Nasir yang buat kerja-kerja percetakan yang cepat. Siap dalam masa tiga hari sahaja. Petang Isnin saya beri pen-drive yang mengandungi artwork majalah dan pada petang Khamis sudah siap.

MINDA NIAGA adalah kebanggaan kami kerana kami terbitkan sendiri. Pemilik asal permit penerbitan majalah ini dipegang oleh Dewan Muda Publications sebuah syarikat enterprise yang dimiliki oleh Pak Abu Saim Daut dan Kamri Kamruddin.

Saya mengenali mereka berdua ketika bekerja di akhbar Warta Parlimen Kepala Batas pada tahun 2006.Pak Abu selaku bekas pegawai kanan di Kementerian Pelajaran mengepalai seksyen buku braille di Rodatra Sdn Bhd yang menerbitkan akhbar Warta Parlimen Kepala Batas itu. Manakala Kamri mengetuai bahagaian pengiklanan. Beliau pernah membawa iklan sebanyak RM700,000 setahun ke dalam dua-dua akhbar Rodatra, Warta Parlimen Kepala Batas dan Editor (sebuah akhbar bisnes). Saya pula mengetuai editorial Warta Parlimen Kepala batas dan Editor.

Bekerja dengan orang memang banyak risiko. Kamri yang begitu hebat membawa iklan sebanyak RM700,000 tidak dibayar komisyen yang dijanjikan. Maka Kamri berazam memiliki majalah sendiri. Maka setelah berbincang dengan Pak Abu, maka lahirlah hasrat mereka untuk menerbitkan majalah MINDA NIAGA.

Permohonan permit penerbitan dikemukakan ke KDN pada bulan November 2009. Tanpa menggunakan saluran politik, akhirnya KDN meluluskan permohonan mereka dalam tempoh tujuh bulan. Timbul pula masalah. Permit ada, modal tiada.

Kamri menemui saya minta tolong saya cari pelabur. Saya teringat pada Datuk Radzi Latif bekas partner Haji Khairune Ali, penernit akhbar Warta Perdana. Saya kenali Datuk Radzi pada tahun 1993 ketika memohon saham HICOM dahulu. Syarikat saya, Busara Teguh Sdn Bhd memperolehi 10 lot saham HICOM dan saya tidak ada wang untuk beli saham itu. Datuk Radzi yang perkenalkan saya kepada seorang setiausaha syarikat, Bilal yang menguruskan pinjaman untuk membeli saham itu.

Sejak itu saya berkawan dengan Datuk Radzi tetapi tidak rapat.Menjelang pilihanraya umum 2008, beliau hubungi saya untuk menyiapkan akhbar HARIAN MUTIARA. Saya sempat menyiapkan tiga keluaran Harian Mutiara yang diterbitkan dua hari sekali menjelang hari pembuangan undi yang dikhususkan untuk Pulau Pinang sahaja.


Saya terus call Datuk Radzi pada pagi 3 Ogos itu. Saya bawa Kamri bincang dengan Datuk Radzi. Datuk Radzi bukannya orang yang jenis suka cakap banyak. Bila dia melihat permit KDN dan mock up majalah, terus dia setuju melabur dan kami bersetuju menubuhkan syarikat baru WOW COMMUNICATIONS SDN BHD yang mana Datuk Radzi mempunyai 70 peratus saham manakala kami bertiga- Pak Abu,Kamri dan saya mendapat 30 peratus sahamnya. pada 19 Ogos kami menemui Datuk Radzi buat kali kedua untuk perbincangan lanjut.

Pada 1 September operasi majalah bermula di pejabat Datuk Radzi di Taman Melawati. Kami tidak lagi beroperasi di pejabat Dewan Muda Publications di Pandan Jaya. Bulan September umat Islam menyambut hari raya aidilfitri. Maka banyak temujanji dengan usahawan yamg mahu kami wawancara ditangguhkan selepas hari raya.

Maka majalah yang sepatutnya terbit pada 1 Oktober ditangguh kepada 1 November. Syukurlah akhirnya majalah MINDA NIAGA yang menjadi impian Kamri dan Pak Abu sejak setahun lalu menjadi kenyataan pada 4 November lalu. Semoga majalah ini dapat menyaingi pelbagai majalah bisnes yang ada di negara kita.

SPRM SETAKAT BUKA KERTAS SIASATAN BOLEHLAH


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2009 yang dibentangkan baru-baru ini dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak kertas siasatan akan dibuka berdasarkan laporan tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata setakat ini, sekurang-kurangnya 15 kertas siasatan dibuka berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan itu, termasuk perbelanjaan Kementerian Pertahanan untuk barangan mewah bagi bilik VVIP, Mawilla 3 di Pangkalan Tentera Laut Lumut dan Langkawi.

"Apa-apa dalam laporan audit itu yang ada kaitan dengan rasuah, tidak mematuhi spesifikasi dan tuntutan palsu di mana bekalan tidak dibuat, semua kita siasat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis perasmian Hari Inovasi SPRM 2010 di Putrajaya hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Mohd Shukri berkata sebahagian besar kandungan laporan itu telah disiasat sejak sebulan lepas, berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai.

Beliau berkata beberapa pihak yang terlibat juga telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, SPRM mengumumkan telah membuka 13 kertas siasatan, 14 kertas penyiasatan awal serta lima kertas pemeriksaan dan perundingan, berdasarkan laporan audit tersebut.

Tiga daripada kertas siasatan dibuka di Johor, enam di ibu pejabat, dua di Terengganu, serta masing-masing satu di Sarawak dan Selangor.

Sementara itu, dalam ucapannya, Abu Kassim berkata aspek inovasi termasuk dari segi kaedah sistem dan prosedur yang digunakan oleh agensi itu, adalah penting bagi menyelesaikan kes rasuah.

Beliau berkata tiga prinsip utama iaitu kebebasan, ketelusan dan profesionalisme harus menjadi teras inovasi SPRM bagi merealisasikan visinya
sebagai agensi penguatkuasaan yang terunggul di rantau ini.

Pegawai SPRM juga diarah mendokumentasikan kejayaan inovasi yang dicatat organisasi itu kerana ia merupakan bahan rujukan bernilai tinggi berbanding buku sedia ada, katanya.