Memaparkan catatan dengan label muncul. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label muncul. Papar semua catatan

Sabtu, Julai 01, 2017

CATATAN ZABIDI MUNCUL KEMBALI

Setelah berehat selama sebulan blog ini muncul kembali pada hari ini 1 Julai. Ramai orang whatsapp saya tanya ke mana saya menghilangkan diri selama sebulan. Sebenarnya saya jalani pembedahan cataract di Hospital Selayang pada 1 Jun lalu.

Doktor saya suruh saya berehat selama sebulan. Kini saya muncul kembali mengulas isu isu semasa. Oleh kerana hari ini adalah 7hb Syawal maka saya ceritakan sedikit pengalaman saya beraya di kampung saya di Pasir Gajah, Kemaman.

Walaupun orang tua saya (Haji Abdullah dan Hajah Zaharah) sudah lama meninggal dunia di Pasir Gajah tetapi saya tetap beraya di sini kerana bapa mertua dan emak mertua  (Othman Embong dan Selema Abdullah) pun orang Pasir Gajah. Bapa mertua meninggal dunia pada tahun 2001 dan emak mertua meninggal dunia pada bulan Januari lalu.

Sepatutnya kami beraya di Semenyih kerana sudah tiada orang tua di kampung tetapi isteri mahu beraya dengan adik beradiknya di kampung manakala semua adik saya duduk di Kuala Lumpur. Tahun ini dua orang anak saya, along dan abang zuwairi yang beraya di kampung. Manakala angah beraya di rumah mertuanya di Kedah dan acik beraya di Jenderam, Selangor.

 Pada hari raya pertama seperti biasa selepas menziarahi kubur orang tua, saya beraya di Chukai di rumah kawan kawan Dato Rahim Husin, Haji Mustafa Abdul Rahman dan Yusof Jaafar. Saya cadang nak ziarahi kawan lama Naim Ton Mohamad di Air Putih tapi masa tidak mengizinkan.

Pada hari raya kedua. saya dengan kawan saya Mazlan Pasir Nering mengunjungi rumah terbuka bekas ADUN Ajil, Dato Rosol Wahid. Kebetulan ketika saya tiba di rumah Dato Rosol, ADUN Kuala Brang, Dato Tengku Putera Tengku Awang pun tiba juga. Dah lama saya tidak temui bekas Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu itu. Pada tahun 1996, saya menulis buku HULU TERENGGANU MENUJU KEEMASAN untuk beliau.

Kemudian saya memenuhi undangan rumah terbuka kawan lama saya, Bendahari Perhubungan Umno Terengganu, Anuwar Mohamad di rumahnya di Bukit Petiti. Ketika saya duduk di Banggol Peradong pada tahun 1968-1971, saya pernah berbasikal dari Banggol Peradong sampai ke Bukit Petiti.

Tidak lupa saya singgah di rumah terbuka Pegawai Pembangunan DUN Teluk Pasu, Cikgu Mansor. di Kampung Banggol Tok Esah. Kebetulan Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Razif turut hadiri rumah terbuka tersebut.

Selepas lepak di Hotel Primula dengan Bendahari Umno Bahagian Marang, Nasir Mamat, Pok Yas dan Rizal, saya singgah di rumah Penghulu Bukit Payong, Adnan Mat Amin. Kebetulan abangnya Cikgu Kamarudin nikah dengan tiga pupu saya orang Kampung Paloh.

 Terserempak dengan Menteri Besar di hari raya kedua di rumah terbuka PPD Teluk Pasu
 Bersama bekas ADUN Ajil, Dato Rosol Wahid dan mazlan pasir nering (kiri)
 ADUN kuala brang, dato tengku putera tengku awang turut hadiri rumah terbuka dato rosol
 di rumah terbuka anuwar mohamad, bendahari perhubungan umno terengganu
bersama cikgu mansor pegawai pembangunan dun teluk pasu


Pada hari raya ketiga saya pergi ke Machang rumah abang ipar. Isterinya baru keluar dari hospital. Sambil menziarahi biras sambil beraya dengan abang ipar. Turut singgah di rumah mak saudara di Kg Tok Khamis simpang jalan Pasir Putih-Jeli. Janji nak jumpa dengan pemilik MH Online, Hidayat Fansuri yang balik ke Padang Pak Amat tapi tak sempat temuinya kerana saya tidak dapat drive malam.

Pada hari raya keempat saya singgah di rumah mak saudara di Padang Pak Amat tetapi tiada orang. Saya terus pergi ke rumah mak saudara di Selingsing. Anaknya Juraij seorang pegawai kanan di Perbadanan Putrajaya turut balik kampung. Selepas itu saya singgah di rumah abang Juraij, jazlan guru besar Sekolah Kebangsaan Seri Mahligai, Dabong.

Dari situ ke Kampung Danan rumah tok saudara tapi beliau tiada. Terus ke Jelawat temui pak dua pupu saya, Aziz. Tak lama di situ saya ke Ton Bali temui pemilik Agro Malaysia, Shamsul Hazli Mamat. Balik ke terengganu ikut jalan pantai. Cadang nak makan ikan celup tepung di kedai pok nong di mengabang telipot tapi kedainya tutup. Singgah di rumah dua pupu Kamal Shah di Gong Pak Jin. Akhir sekali sebelum balik ke Kemaman saya singgah di rumah bekas anak tiri saya, DJ Farah Fauzi, DJ Radio terengganu menemui adiknya Zahir iaitu anak saya dengan arwah Noriah.

Pada hari raya kelima saya temui kawan kawan di kedai haji mat stopa di stesen teksi Chukai iaitu Mat Dalam Awang, Jantan Mohamad, Haji Yusof Mohamad, Haji Mydin Mak Chili dan Mat Nor Dusun Nyior.

Pada hari raya keenam saya balik ke Kuala Lumpur dan singgah di Bukit Goh menemui mak sepupu, Hajah hasanah dan Haji Abdullah yang duduk di Batu Pahat, Johor. Saya turut mengunjungi rumah pak sepupu Ahmad yang duduk serumah dengan Dato Seri Ahmad Said sewaktu kecil di Teluk Kalong. Bapa saudara Ahmad, ustaz husin nikah dengan kakak Ahmad said, Che da.

Saya sampai di Kuala Lumpur pada jam 5.30 petang setelah mengalami jem dari tol Bentong ke Bukit Tinggi. Saya singgah di rumah adik saya nombor tiga, Hajah Noridah di Gombak Ria.

Pada hari raya ketujuh saya beraya di rumah adik nombor lima, Nor Hafilah di tasik puteri. Saya turut beraya di rumah bakal besan di situ, Ali yang berasal dari Sungai Besar, Selangor  yang bekerja dengan Muhibbah Engineering di kota kinabalu.

Selepas itu kami konvoi lima kereta dengan dua anak saya, angah dan acik serta adik Nor Hafilah dan adik nombor enam, Dr Nor Laily Shakimah  ke rumah adik nombor empat, Saifudin di Taman Melawati. Sebelum itu kami singgah di rumah sepupu kami, Nor Akmal Zuraimie Yati yang duduk di kepong baru.

Hanya seorang lagi adik, haji mahir belum sempat ditemui di musim raya kerana dia masih puasa enam. esok umat islam yang berpuasa enam akan berhari raya termasuk adik saya Haji mahir yang juga bekas setiausaha akhbar Sheikhul Arqam, ustaz ashaari mohamad.
 beraya di rumah bekas naib ketua umno bahagian kemaman, dato rahim husin
 beraya di rumah pegawai khas timbalan perdana menteri, haji mustafa abdul rahman
 bersama yusof jaafar panglima perang haji pa
 bersama abang ipar, zakaria othman di machang
 bersama emak sepupu, hajah hasanah dan haji abdullah batu pahat
di rumah dj radio terengganu, farah fauzi dengan zahir
beraya di rumah pemilik agro malaysia, shamsul hazli mamat di tok bali

Rabu, November 10, 2010

MINDA NIAGA SUDAH MUNCUL DI PASARAN


Pada 4 November lalu tepat jam 5.15 petang kami menerima naskhah sulung majalah MINDA NIAGA yang baru siap dicetak. Terima kasih kepada Encik Nasir yang buat kerja-kerja percetakan yang cepat. Siap dalam masa tiga hari sahaja. Petang Isnin saya beri pen-drive yang mengandungi artwork majalah dan pada petang Khamis sudah siap.

MINDA NIAGA adalah kebanggaan kami kerana kami terbitkan sendiri. Pemilik asal permit penerbitan majalah ini dipegang oleh Dewan Muda Publications sebuah syarikat enterprise yang dimiliki oleh Pak Abu Saim Daut dan Kamri Kamruddin.

Saya mengenali mereka berdua ketika bekerja di akhbar Warta Parlimen Kepala Batas pada tahun 2006.Pak Abu selaku bekas pegawai kanan di Kementerian Pelajaran mengepalai seksyen buku braille di Rodatra Sdn Bhd yang menerbitkan akhbar Warta Parlimen Kepala Batas itu. Manakala Kamri mengetuai bahagaian pengiklanan. Beliau pernah membawa iklan sebanyak RM700,000 setahun ke dalam dua-dua akhbar Rodatra, Warta Parlimen Kepala Batas dan Editor (sebuah akhbar bisnes). Saya pula mengetuai editorial Warta Parlimen Kepala batas dan Editor.

Bekerja dengan orang memang banyak risiko. Kamri yang begitu hebat membawa iklan sebanyak RM700,000 tidak dibayar komisyen yang dijanjikan. Maka Kamri berazam memiliki majalah sendiri. Maka setelah berbincang dengan Pak Abu, maka lahirlah hasrat mereka untuk menerbitkan majalah MINDA NIAGA.

Permohonan permit penerbitan dikemukakan ke KDN pada bulan November 2009. Tanpa menggunakan saluran politik, akhirnya KDN meluluskan permohonan mereka dalam tempoh tujuh bulan. Timbul pula masalah. Permit ada, modal tiada.

Kamri menemui saya minta tolong saya cari pelabur. Saya teringat pada Datuk Radzi Latif bekas partner Haji Khairune Ali, penernit akhbar Warta Perdana. Saya kenali Datuk Radzi pada tahun 1993 ketika memohon saham HICOM dahulu. Syarikat saya, Busara Teguh Sdn Bhd memperolehi 10 lot saham HICOM dan saya tidak ada wang untuk beli saham itu. Datuk Radzi yang perkenalkan saya kepada seorang setiausaha syarikat, Bilal yang menguruskan pinjaman untuk membeli saham itu.

Sejak itu saya berkawan dengan Datuk Radzi tetapi tidak rapat.Menjelang pilihanraya umum 2008, beliau hubungi saya untuk menyiapkan akhbar HARIAN MUTIARA. Saya sempat menyiapkan tiga keluaran Harian Mutiara yang diterbitkan dua hari sekali menjelang hari pembuangan undi yang dikhususkan untuk Pulau Pinang sahaja.


Saya terus call Datuk Radzi pada pagi 3 Ogos itu. Saya bawa Kamri bincang dengan Datuk Radzi. Datuk Radzi bukannya orang yang jenis suka cakap banyak. Bila dia melihat permit KDN dan mock up majalah, terus dia setuju melabur dan kami bersetuju menubuhkan syarikat baru WOW COMMUNICATIONS SDN BHD yang mana Datuk Radzi mempunyai 70 peratus saham manakala kami bertiga- Pak Abu,Kamri dan saya mendapat 30 peratus sahamnya. pada 19 Ogos kami menemui Datuk Radzi buat kali kedua untuk perbincangan lanjut.

Pada 1 September operasi majalah bermula di pejabat Datuk Radzi di Taman Melawati. Kami tidak lagi beroperasi di pejabat Dewan Muda Publications di Pandan Jaya. Bulan September umat Islam menyambut hari raya aidilfitri. Maka banyak temujanji dengan usahawan yamg mahu kami wawancara ditangguhkan selepas hari raya.

Maka majalah yang sepatutnya terbit pada 1 Oktober ditangguh kepada 1 November. Syukurlah akhirnya majalah MINDA NIAGA yang menjadi impian Kamri dan Pak Abu sejak setahun lalu menjadi kenyataan pada 4 November lalu. Semoga majalah ini dapat menyaingi pelbagai majalah bisnes yang ada di negara kita.

Khamis, Oktober 28, 2010

KU LI MUNCUL SEMULA DALAM UTUSAN MALAYSIA


Sebelum 24 April 1987, nama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sering mendapat tempat di dada akhbar tempatan kerana beliau adalah Menteri Kewangan (1976-1984) dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian (1984-1987).

Ketika beliau melahirkan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada tahun 2009, akhbar WATAN yang diterajui oleh saya yang sentiasa menyiarkan wawancara eksklusif beliau.Ketika itu Utusan Malaysia dan Berita Harian tidak pernah menyiarkan wawancara penuh beliau.

Selepas dilantik sebagai pengarah pilihanraya kecil Galas, nama Ku Li disanjung semula dan setelah sekian lama Utusan tidak menyiarkan wawancara ekslusif dengan beliau, hari ini Utusan menyiarkan wawancara penuh dengannya seperti mana berikut:-

UTUSAN: Awal lagi Yang Berhormat (YB) sudah 'diserang' apabila ada yang mentafsirkan YB tidak ada persefahaman dengan pemimpin UMNO lain hingga menyebabkan YB tidak mengiringi calon BN ke pusat penamaan, apa komen YB?

TENGKU RAZALEIGH: Itu tidak benar. Pada hari penamaan calon saya tidak mengiringi calon kerana saya mahu bersama dengan ahli-ahli parti yang turut sama berarak mengiringi calon. Tindakan saya ini bukannya luar biasa kerana saya sebelum ini pun hanya menghantar pencadang dan penyokong membawa borang penamaan calon. Saya tidak penting kerana yang penting adalah penyokong dan pencadang. Saya biarkan Abdul Aziz Yusoff (calon BN) diiringi oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.

Bagaimana pula tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan YB berlainan pendapat dengan calon?

Mengapa saya dituduh sedemikian sedangkan pemilihan Abdul Aziz dibuat secara majoriti oleh jawatankuasa UMNO Bahagian Gua Musang. Abdul Aziz menerima undi terbanyak. Tambahan pula dia merupakan setiausaha saya dan saya tahu kemampuannya untuk menjadi calon pilihan raya kecil ini.

Adakah pemilihan ini juga menunjukkan Abdul Aziz merupakan calon terbaik dan mempunyai banyak kelebihan?

Masing-masing ada kelebihan tetapi Abdul Aziz jenis yang tidak tahu menonjol diri. Dia juga bukan jenis seorang yang terlalu bercita-cita tinggi. Sebelum dilantik sebagai setiausaha bahagian, saya lantiknya sebagai bendahari. Saya kemudian lihat dia seorang yang boleh diharapkan. Apabila dilantik sebagai setiausaha, saya nampak potensinya sebagai pemimpin. Dia selau mewakili saya untuk hadir pelbagai mesyuarat sama ada parti atau pun melibatkan Kerajaan Pusat dan negeri. Dalam mesyuarat, dia mampu melontarkan idea-idea yang bernas. Dari segi peribadi Abdul Aziz bukan seorang sombong tetapi agak sedikit pendiam.

Apabila berlaku kekosongan kerusi DUN Galas, BN memilih calon baru dan bukan calon lama seperti mana Pas.

Apabila berlaku kekosongan selepas kematian penyandangnya Allahyarham Chek Sulaima Hashim saya berunding dengan jawatankuasa bahagian untuk memilih calon BN. Apa yang saya lakukan ini sejajar dengan Perlembagaan parti. Menurut Perlembagaan, untuk mencari calo,n Perdana Menteri hendaklah berunding dengan bahagian. Selepas saya pulang dari luar negara saya kumpulkan semua jawatankuasa dan saya kemudian keluarkan kertas untuk memilih siapakah calon tersebut. Akhirnya Abdul Aziz terpilih setelah dia mendapat undi terbanyak berbanding calon lain. Kemudian saya membawa nama ini kepada Perdana Menteri dan kebetulan Perdana Menteri juga mempunyai sumber-sumbernya bahawa Abdul Aziz adalah calon paling layak.

Pokoknya, kita memilih Abdul Aziz secara demokratik. Perdana Menteri turut mempunyai sumber-sumber dia dan kemudian bersetuju dengan pilihan jawatankuasa bahagian. Kita memilih calon atas dasar demokratik. Pemilihan Abdul Aziz tidak boleh diketepikan begitu sahaja dan ia harus dihormati.

YB menyatakan masing-masing ada kelebihan tetapi saya pasti Abdul Aziz ada keistimewaan tersendiri. Mungkin disebabkan pengalamannya sebagai bekas pengurus operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar)?

Memang saya tidak nafikan potensi yang ada pada Abdul Aziz yang bagi saya elok diketengahkan. Dia telah melalui pelbagai ujian dan cubaan dalam politik. Saya dapati Abdul Aziz dapat menghadapinya dengan baik. Boleh beri markah tinggi. Abdul Aziz juga seorang yang ada integriti. Semasa dia menjadi setiausaha bahagian saya lihat minit mesyuarat yang dibuat tersusun dan bersistematik. Abdul Aziz mempunyai kualiti kepimpinan yang amat diperlukan oleh rakyat. Dia juga tidak pernah datang berjumpa saya untuk melobi sebagai calon. Sepatah pun dia tidak pernah lobi.

Sabtu, Februari 14, 2009

TERIMA KASIH SHABERY


Isnin lepas saya terkejut bila menerima panggilan dari penerbit Blog@1, tv1, Rohaniah Ramli yang bertanya sama ada saya sedia menyertai Blog@1 yang disiarkan pada malam tadi. Saya jawab, tidak ada masalah. Dia yang membaca blog saya ingatkan saya duduk di Kemaman. Dia tanya bila mahu datang ke Kuala Lumpur. Saya jawab saya bekerja di Kuala Lumpur. Saya tanya beliau di mana dapat nombor handphone saya. Dia jawab dalam blog saya dan katanya lagi ramai blogger tidak tulis nombor handphone dalam blog masing-masing.


Rabu petang saya menerima panggilan sekali lagi dari Ani yang berasal dari Lahad Datu, Sabah itu bahawa sudah confirm saya diundang dalam Blog@1 pada 13 Februari pada jam 10.30 malam. Pada keesokannya, Ani dan jurugambar, Shamsul datang ke pejabat di Jalan Yap Kwan Seng mengambil gambar saya.


Tepat jam 9 malam, malam tadi saya sampai di Angkasapuri. Saya pernah menemani bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh muncul dalam Bersama Dengan Menteri dan saya juga pernah mengiringi Menteri Besar, Datuk Ahmad Said muncul dalam program yang sama, kini giliran saya pula menjadi tetamu dalam Blog@1.


Kebetulan pengacara Blog@1, Hamdan Ahmir atau Hamdan K.C. Ahmu berasal dari Kemaman juga. Dia junior saya di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Kami sama-sama bertanding kerusi ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman pada tahun 2004, tetapi kami kalah. Saya dapat nombor 23, kalah 13 undi kepada pemenang ke 20 manakala Hamdan kalah lagi teruk. Maklum sajalah bila duduk di Kuala Lumpur, jarang balik Kemaman, susah nak menang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian.


Inilah kali pertama saya muncul di televisyen. Tambahan pula siaran langsung. Jadi sudah tentu saya rasa gemuruh juga. Bila pengacara saya sudah kenal, kurang sikit gemuruhnya. Bahayanya bila siaran langsung begini, soalan diberi on the spot. Tidak prepare jawapan dari awal. Kalau penerbit emel soalan dari awal, senang kita sediakan jawapan. Sebaliknya memberi soalan dalam tempoh yang terhad membuatkan jawapan saya tidak memuaskan hati saya sendiri.


Ramai yang hantar sms beri ucapan tahniah dan ada juga kawan yang komen bahawa jawapan tidak bernas,. Yang anehnya ada kawan pekak dari Chendering sms kata jawapan saya out. Saya hairan, dia pekak macam mana boleh dengar suara tv pula.


Ada juga kawan hantar sms kepada seorang haji pekak yang tidak sms kepada saya tetapi sms kepada haji pekak. Haji pekak itu forward sms itu kepada saya. Tulisnya,"Haji, tak tengok tv1 semalam, blogger zabidi hok mb trg rejek doh, macamana hj boleh rekomen ke mb suruh bagi kerja kat dia lagu, berhujah pun kelam kabut, lintang pukang, suroh dia balik pasir gajah la ji noreh getah".


Saya terima teguran ini dengan hati yang terbuka. Jika soalan diberi awal, mungkin jawapan saya berbeza. Ini soalan on the spot, jadi saya jawab apa yang terlintas di fikiran sahaja. Walau bagaimanapun saya ucapkan terimakasih kepada tv1 yang memberi peluang kepada saya muncul di tv1.


Walaupun blog saya pernah mengkritik Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga ahli parlimen Kemaman, sikap terbuka menteri memberi peluang kepada musuhnya muncul di tv merupakan satu langkah yang terpuji.


Ada yang sms saya tanya Shabery dah beli saya ke? Maklum sajalah baru-baru ini dalam pemilihan UMNO Bahagian Kemaman, saya adalah kempen manager kepada calon yang mahu menentang beliau bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman tetapi Mat Dalam Awang tidak dapat pencalonan yang cukup. Terima kasih Shabery, terima kasih tv1 dan terima kasih Ani.


Sempena Hari Valentine ini, saya ingin mengucapkan Happy Valentine kepada semua pasangan yang sedang bercinta.

Khamis, Februari 12, 2009

SAYA MUNCUL DI TV1 MALAM ESOK

Kepada semua pembaca blog ini, jangan lupa malam esok saya akan muncul di TV1 dalam slot Blog@1 pada jam 10.30 malam