Selasa, Mac 20, 2012

TIDAK SIA SIA HANTAR BUNG MOKHTAR KE PARLIMEN


Sahabat lama saya, Datuk Bung Mokhtar Radin tetap lantang di Dewan Rakyat. Tidak sia-sia pengundi Kinabatangan menghantar beliau sebagai ahli parlimen. Beliaulah orang pertama menyuruh Datuk Seri Shahrizat Jalil meletakkanm jawatan sebagai menteri bila isu skandal NFC meletus.

Kali ini beliau mahu kerjasama antara MAS dan Air Asia ditamatkan kerana ia merugikan MAS. Semoga suara lantang beliau didengar oleh kerajaan juga kali ini.

Seorang penyokong kerajaan mahu kerjasama antara Malaysian Airlines System (MAS) dengan AirAsia ditamatkan segera kerana ia hanya merugikan syarikat penerbangan nasional itu.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, sehingga kini, kerjasama itu dilihat tidak memihak kepada MAS, sebaliknya ia memberi banyak kelebihan kepada AirAsia dalam konteks mencatatkan keuntungan.

Berdasarkan laporan, beliau berkata, MAS rugi sebanyak RM2 bilion manakala AirAsia pula mencatatkan keuntungan sebanyak RM500 juta.

‘‘Apa yang pasti kerjasama ini adalah hasil daripada cadangan serta tindakan daripada pihak Khazanah Nasional yang diterajui oleh Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar. Oleh itu saya minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pihak Khazanah berhubung isu kerjasama MAS dengan AirAsia kerana kerjasama yang dibuat ini hanya merugikan MAS.

IDRIS JUSOH TANDING DI PARLIMEN KUALA TERENGGANU?


Lucu juga malam tadi bila menemui seorang rakan yang baru tiba dari Kuala Terengganu di Restoran Nagas berhampiran stesen LRT PWTC. Saya tiba di situ tepat jam 11 malam menjelang hari jadi saya yang ke 53 pada tengah malam tadi.

Kawan saya bukan orang politik tetapi dia rapat dengan ramai orang politik Terengganu.Dia seorang ahli perniagaan yang dikatakan mendapat beberapa projek tetapi bila bercakap selalu cakap membangkang saja. Di atas meja kami ada akhbar Harakah miliknya.

"Kamu masih menulis blog?" tanya kawan saya itu.
"masih," jawab saya ringkas.
"kamu jangan tulis fitnah Zabidi. Tulis macam Harakah ini bukan akhbar fitnah. Semua betul belaka dalam akhbar ini," katanya.

Saya malas melayan orang seperti ini. Saya membaca akhbar itu sepintas lalu sahaja. maka berceritalah dia kononnya senarai calon parlimen BN sudah siap.


DIa sudah tengok senarai calon parlimen yang kononnya ditunjukkan oleh seorang pemimpin kanan Umno negeri kepadanya. Saya hanya mendengar saja. Katanya oleh kerana PM, datuk Seri Najib Tun Razak masih mahu penasihat agamanya, Datuk Dr Abdullah Mohd Zain kekal bertanding di parlimen Besut, maka ketua bahagiannya akan diletakkan bertanding di parlimen Kuala terengganu.

"BN boleh menang di kuala terengganu kerana semua orang kenal idris Jusoh sewaktu beliau jadi MB.Jasa beliau di kuala terengganu semua orang tahu, oleh itu PM mahu Idris menawan Kuala terengganu," ceritanya bangga.

Di Kemaman, Menteri belia dan sukan, Datuk Seri ahmad shabery Cheek kekal. Jadi bila Idris dan shabery menang nanti, dua menteri penuh akan dilantik dari Terengganu.

Di Hulu Terengganu, bekas ADUN Ajil, Datuk Othman daud akan diletakkan di situ, Beliau memang rapat dengan Najib.Beliau pernah kalah bertanding parlimen pada pilihanraya umum 1999.

Di Kuala Nerus, Ketua pengarah Biro Tata Negara, Datuk Dr Raja Arif Raja Ali akan diletakkan sebagai calon BN. Di Setiu, setiausaha politik PM, Datuk Jailani Ngah akan diketengahkan sebagai calon. Di Dungun pula saya tidak sempat dengar kerana saya mendapatkan handphone saya di meja belakang yang sedang dicaj bateri. Ketika itu tepat jam 12 malam saya menerima ucapan selamat hari jadi dari isteri dan anak-anak.


Kita tunggu pilihan raya umum ini sama ada senarai yang dikatakan oleh kawan saya ini menjadi kenyataan.