Jumaat, April 27, 2018

ABU BAKAR BAKAL KETUA MENTERI MELAKA?



oleh ABDULLAH KARIM

KUALA LUMPUR, Penamaan calon bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Melaka selesai esok. Kebanyakkan calon lepas dikekalkan pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 (PRU-14) bagi menggalas harapan Barisan Nasional (BN) untuk mencipta kejayaan.

Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Ir Idris Harun yang disebut-sebut bakal meninggalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang untuk melompat ke Parlimen Tangga Batu tidak menjadi kenyataan, sebaliknya kekal di situ.

Bagaimanapun amat memeranjatkan apabila Datuk Abu Bakar Mohd. Diah dipindahkan dari Parlimen Tangga Batu ke DUN Paya Rumput. Ramai terperanjat dan hampir tidak percaya serta tertanya-tanya antara satu sama lain kenapa mantan Timbalan Menteri MOSTI itu berpindah kawasan.

Bagaimanapun sama ada percaya ataupun tidak, Abu Bakar telahpun diletakkan di Paya Rumput dan tempat beliau diganti oleh seorang anak muda yang amat berpotensi untuk berstatus timbalan menteri iaitu Datuk Zali Mat Yassin.

Kini timbul satu cerita iaitu apakah nasib Abu Bakar setelah diletakkan di DUN. Adakah beliau bakal menggalas jawatan Ketua Menteri, Anggota EXCO Melaka ataupun wakil rakyat biasa sahaja.

Begitupun kebanyakkan netizen maramalkan Abu Bakar yang terkenal dengan tagelinenya “Saya Tak Hilang Akal” dan pernah duduk di jalan raya satu ketika dulu, kemungkinan besar akan mengemudi nakhoda Melaka sebaik sahaja PRU-14 melabuhkan kemenangan buat Melaka.

Sudah tentu orang akan bertanya bagaimana kedudukan Idris andai benar Abu Bakar jadi CM (Panggilan orang Melaka untuk penjawat Ketua Menteri).

Soalan ini amat sukar dijawab dan hanya PM sahaja yang mampu meleraikan soalan terbabit. Kerana apa kerana PM sahaja yang mempunyai kuasa mutlak untuk melantik sesiapa sahaja yang bagi pandangan beliau boleh mengetuai sesuatu negeri.

Namun kita harus ingat PM pernah memanggil Abu Bakar datang ke JPM dua tiga hari sebelum nama-nama calon diumumkan oleh Idris. Pun begitu tidak ada butir-butir perbincangan antara PM dan Abu Bakar yang terlepas ke tangan media.

Hanya PM dan Abu Bakar sahaja yang tahu tentang kenapa Presiden UMNO itu memanggil beliau bertandang ke JPM. Sedangkan wakil-wakil rakyat tidak dipanggil.

Selain daripada berita Abu Bakar yang memeranjatkan banyak pihak di Melaka, cerita mengenai Datuk Ab Rauf Yusoh juga hebat diperkatakan. Sebelum penamaan calon, beliau dikaitkan bertanding di salah sebuah DUN dalam bahagian Masjid Tanah, bagi melayakkan beliau dilantik menjadi KM Melaka. Namun cakap-cakap tersebut hanya mainan politik semata dan beliau tidak tersenarai pada PRU-14 ini.

Sebaliknya beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah tidak dicalonkan dalam kelima-lima DUN iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu dan Taboh Naning.

Difahamkan pucuk pimpinan parti berkehendakkan beliau kekal sebagai Setiausaha Kerja UMNO Malaysia iaitu satu tugas yang amat sinonim dengan beliau.