Sabtu, Julai 04, 2009

BN PERLU EKSPLOIT ISU INI


Wakil rakyat tunggal DAP di Kedah, Lee Guan Aik semalam mengisytiharkan dirinya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan berkecuali dan tidak lagi menjadi penyokong kerajaan negeri.

Sebagai ADUN Bebas dan berkecuali, katanya, beliau juga tidak akan menyokong Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya hanya menyokong pihak yang benar sahaja.

Guan Aik, ADUN Kota Darul Aman itu, berkata, pendirian DAP negeri untuk keluar dari pakatan pembangkang Kedah telah dimaklumkan kepada DAP pusat menerusi sepucuk surat dua hari lepas.

"Bagaimanapun, kita tidak menghantar surat kepada Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Azizan Abdul Razak)," katanya kepada Bernama di Alor Setar semalam.

Katanya, DAP negeri sedang menunggu jawapan balas dari DAP pusat mengenai keputusan mereka berundur dari Pakatan Rakyat di negeri tersebut.

Guan Aik berkata, kerajaan negeri pimpinan Pas mungkin tidak sedar bahawa DAP telah memainkan peranan untuk memancing undi kaum Cina menyokong Pakatan Rakyat termasuk memberi undi kepada Pas pada pilihan raya umum lepas.

"Kita kesal dengan layanan yang diberikan kepada DAP kerana saya telah naik turun berjumpa Menteri Besar untuk meminta agar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menangguh operasi meroboh pusat penyembelihan babi itu sementara menunggu keputusan kerajaan negeri meluluskan tapak pusat yang baru," katanya.

Rabu lepas, DAP Kedah membuat kejutan apabila mengumumkan untuk keluar daripada pakatan pembangkang negeri itu kerana tidak yakin dengan keadilan kerajaan negeri dalam mentadbir negeri.

Tindakan itu berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menangani isu merobohkan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, dekat sini.

Pengerusi DAP negeri Thomas Su berkata, selain Guan Aik yang akan bertindak seperti ADUN Bebas, tiga ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan 43 ketua komuniti dari DAP negeri ini juga akan meletak jawatan jika DAP pusat bersetuju dengan keputusan mereka.

Menjelang pilihan raya kecil Manek Urai di Kelantan, BN perlu eskploit isu keretakan PAS-DAP di Kedah ini untuk merampas kembali kerusi Manek Urai. Jika BN berjaya eksploit isu ini, BN sudah pasti akan menang. Jika tidak, BN tetap kecundang di tangan PAS.

Ada yang berpendapat kononnya isu keretakan PAS-DAP di Kedah tidak beri kesan kepada jentera PAS di Kelantan untuk mempertahankan kerusi Manek Urai kerana tiada wakil DAP dalam kerajaan Kelantan. Tetapi sedikit sebanyak perpecahan PAS-DAP ini hendaklah dilihat secara positiufd bahawa mereka cuma tidur sebantal tapi mempunyai mimpi yang lain-lain. Bagaimana Pakatan Rakyat mahu perintah negara pada tahun 2012 jika isu kecil di Kedah tidak dapat diselesaikan di antara mereka.

Kita berharap BN bersatu tanpa menghiraukan khabar-khabar angin yang mengatakan bahawa calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat tidak direstui oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Kerai, Datuk Ramzi Abdul Rahman. Semoga nama calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat yang hampir nama dengan nama Nik Aziz Nik Mat memberi tuah kepada BN untuk merampas kembali kerusi Manek Urai.