Ahad, September 12, 2010

RM1 BILION RUMAH AKAN DIBINA MENJELANG 2013


Sekurang-kurangnnya 12,000 unit rumah kos rendah bernilai lebih RM1 bilion akan dibina oleh kerajaan negeri Terengganu menjelang 2013.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ia bertujuan mengatasi masalah perumahan golongan berpendapatan rendah di negeri itu.

Setakat ini, kerajaan negeri sudahpun membina kira-kira 6,500 unit rumah kos rendah di negeri itu, katanya pada program Menteri Besar Bersama Perantau sempena sambutan Aidilfitri, di sebuah hotel di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata agenda pembinaan rumah kos rendah itu adalah sebahagian daripada matlamat kerajaan negeri untuk memberi kemudahan kepada rakyat yang tidak mempunyai kediaman.

Selain itu, Ahmad berkata kerajaan memberikan tumpuan dalam bidang pelajaran kepada anak-anak Terengganu supaya setanding dengan negeri-negeri lain.

"Alhamdulillah, dalam tahun-tahun kebelakangan ini Terengganu telah mencipta sejarah dan mengatasi negeri-negeri dalam semua peperiksaan," katanya.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan melatih anak-anak Terengganu dalam bidang profesional seperti kedoktoran, juruterbang, mekanikal dan sebagainya.

Ahmad berharap para perantau dapat menyumbangkan idea dan buah fikiran bagi membantu kerajaan memajukan Terengganu.

Lebih 1,000 perantau menghadiri majlis itu.