Jumaat, November 21, 2008

PERTEMUAN DENGAN BLOGGER DARI SABAH


Petang semalam dalam hujan lebat saya menunggu kawan saya, seorang blogger, Mubin Ismail di stesen LRT Terminal Putra. Tepat jam 6 petang dia tiba dengan kawannya. Selepas itu kami pergi ambil seorang lagi blogger, Sayuti Omar di rumahnya yang tidak jauh dari situ.

Tepat jam 7 malam kami tiba di Janda Baik, rumah Pak Habib, Syed Husein Alatas. Tetamu istimewanya, Datuk Salleh Said Keruak sudah sampai dengan tiga orang rakannya. Datuk Salleh juga seorang blogger dan bekas Ketua Menteri Sabah. Bulan lepas beliau menang semula jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud.Pak Habib memberitahu kami bahawa beliau berkawan dengan bapa Datuk Salleh, Tun Said Keruak sejak zaman USNO lagi.

Sewaktu saya di Sabah (1989-1991), Datuk Salleh agak rapat dengan saya. Ketika beliau meraikan jamuan perpisahan untuk saya, dia adakan majlis itu yang dihadiri oleh rakan-rakan wartawan, di istana. Kebetulan ketika itu bapanya, Tun Said Keruak adalah Yang Dipertua Negeri Sabah. Sejak itu kami tak pernah putus hubungan walaupun beliau sudah tidak ada kuasa lagi.

Lama juga kami berbincang bersama Pak Habib. Datuk Salleh memberi pandangan yang agak kritikal di mana beliau kecewa dengan prestasi UMNO masa kini. Baginya, UMNO perlu diperkasakan semula untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau lebih percaya kepada clear thinking daripada creative thinking. Selepas solat maghrib berjemaah di surau tepi sungai, kami berbincang di rumah. Lepas itu kami makan nasi dengan ikan talapia bakar, kambing yang menyelerakan semua tetamu di luar rumah.

Tepat jam 9.30 malam kami meninggalkan Janda Baik.Walaupun sebentar sahaja di rumah Pak Habib, kami puas hati dapat bersembang dengan Datuk Salleh yang akan bertanding kerusi ahli majlis tertinggi UMNO pada Mac hadapan.

RAFIDAH RELA KALAH DI GELANGGANG


Rafidah Aziz hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan parti Mac depan.


Rafidah, 65, berkata beliau menghargai dan menghormati pencalonan yang diterimanya daripada 117 bahagian Umno.


"Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu," katanya dalam kenyataan setebal 11 muka surat.


Semalam, Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.Keputusan itu sekali gus melenyapkan pelan peralihan kuasa Wanita Umno pada Jun 2009 yang diumumkan Rafidah Ogos lepas.


Dalam kenyataan itu, Rafidah turut melahirkan kekecewaannya kerana pelan peralihan kuasa telah dipertikai dan ditolak selepas tiga bulan beliau mengumumkannya


."Semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam exco, atau di luar, yang telah mempertikaikannya."Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan:


a) bahawa beliau tidak akan bertanding Jawatan Ketua walaupun dicalonkan


b) beliau patuh kepada pelan peralihan


c) beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar partid) bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikota" dan "my word is my honour." (semuanya telah disiar dalam media)," kata beliau.


Rafidah berkata beliau tidak ada sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan selepas proses pencalonan selesai.Beliau berkata sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dalam mana-mana perbincangan, sekiranya terdapat pihak yang tidak bersetuju atau membantah pelan peralihan yang dianjurkannya, perkara itu wajar dibangkitkan.


Rafidah berkata sekiranya perkara itu dilakukan sebelum proses pencalonan, maka Exco Wanita Umno pasti akan membatalkan pelan peralihan tersebut.


"Dan, saya tidak ragu-ragu akan membiarkan bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua," katanya.


Bagaimanapun, katanya, "bantahan" cuma ditimbulkan selepas mereka mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding.


"Maka barulah pihak-pihak yang berkenaan membantah dengan pelbagai alasan yang tidak berasas," katanya.


Mengenai cadangan supaya pelan peralihan itu dipercepatkan dari Jun ke Mac, Rafidah berkata itu tidak lojik.Beliau berkata jika dibuat pada bulan Mac, bererti tiada lagi "pelan peralihan", yang pada asasnya melibatkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agung dengan tarikh penyerahan jawatan.


"Semua mengetahui bahawa pada asalnya, jangkamasa itu ialah antara bulan Januari hingga Jun 2009 kerana Perhimpunan Agung dijadualkan pada Disember 2008."


Ia telah diganjak kepada Mac, tetapi pelan peralihan kuasa tidak terjejas," katanya.Rafidah juga berkata sekiranya pelan peralihan itu "dipercepat" kepada Mac, ia juga bererti beliau menyerahkan jawatan "secara bulat-bulat" kepada Shahrizat, yang akan menang tanpa bertanding."


Ini menidakkan hak dan kemahuan 117 bahagian yang telah mencalonkan saya untuk pegang jawatan hingga Jun 2009," katanya.


Rafidah telah menerajui Wanita Umno sejak 1984, melainkan untuk satu penggal ekoran kekalahannya kepada Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman.Beliau yang memenangi semula jawatan itu daripada Siti Zaharah pada pemilihan 2000, buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lepas.


Mesyuarat Exco Wanita Umno minggu lepas mengambil keputusan menyokong pelan itu dan menolak gesaan Shahrizat yang dibuatnya sehari sebelum mesyuarat itu agar pelan berkenaan diselaras dengan pelan peralihan Umno induk.


"Sekarang kerana pelan peralihan telah diingkari dan jawatan Ketua (Wanita) akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan jawatan yang disandang sekarang," katanya.


Rafidah menyarankan agar semua pertandingan jawatan dalam Pergerakan Wanita Umno dijalankan dengan tertib, beradab, ikhlas tanpa menjejaskan sesiapa atau parti.


"Jangan sekali-kali mengada-adakan dan menabur fitnah dan pembohongan, atau membawa pecah-belah," katanya.


Rafidah tetap lawan kerana dia rela kalah di gelanggang daripada memberi laluan percuma kepada Shahrizat. Maka Shahrizat kena pastikan Rafidah tumbang. Jika tidak karier Shahrizat berakhir pada Mac depan.

SHAHRIZAT MEMANG ANAK JANTAN


Tahniah kepada Shahrizat Jalil yang telah menunjukkan kejantanannya untuk menentang Rafidah Aziz dalam pertandingan ketua wanita UMNO pada Mac depan. Saya kira ia adalah langkah yang tepat kerana beliau menyahut cabaran 73 bahagian yang mencalonkannya bagi jawatan tersebut.

Sehingga ini Rafidah belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankannya atau berundur walaupun desakan di bawah begitu kuat supaya beliau berundur. Walaupun majoriti bahagian sebanyak 117 bahagian berpihak kepada Rafidah tetapi pada hari pengundian sebenar belum tentu Rafidah dapat mengekalkan sokongan yang sama.

Sebaik-baiknya berundurlah Rafidah jika kita benar-benar ikhlas mahu berundur. Tak perlu tunggu Jun 2009 baru nak berundur. Jika Rafidah berdegil nak pertahankan jawatan, maka lawanlah Shahrizat. Kita tengok siapa yang kuat. Inilah kali kedua Rafidah ditentang. Pada tahun 1996, Dr. Siti Zaharah Sulaiman pernah mengalahkan Rafidah dan kita nak tengok dapatkah Shahrizat mengulangi kejayaan Dr. Siti Zaharah itu?