Rabu, Disember 27, 2017

MOKHTAR PERCAYA MCA AKAN BANTU CALON UMNO DI BANDAR TUN RAZAK



KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak (BTR) Datuk Mokhtar Samad percaya rakan Barisan Nasional (BN) MCA akan memberi kerjasama kepada calon Umno sekiranya calon parti tersebut tidak terpilih pada Pilihan Raya Umum kali ke 14 (PRU 14) nanti.




Beliau menjelaskan sejak dulu lagi hinggalah sekarang kerjasama erat antara parti komponen dalam BN tidak boleh dipertikaikan.




"Sejak 1957 hingga kini tidak timbul masalah sekiranya kawasan Umno diletakkan calon MCA dan begitulah sebaliknya.




"Kedua-dua parti BN ini bagaikan ada perjanjian tersendiri. Mereka akan saling bantu membantu untuk memenangkan parti," katanya.




Parlimen BTR merupakan kawasan tradisi MCA. Walau bagaimanapun calon mereka gagal menyumbang kerusi di kawasan berkenaan.




Bertolak dari situ masyarakat BTR berasakan sudah sampai masanya calon Umno dipertaruhkan di situ memandagkan pengundi Melayu mendominasi di kawasan berkenaan iaitu 58.7 peratus.




Baru-baru ini, Pengerusi Kelab Veteran Umno BTR, Datuk Mohd. Alias Abdul dalam satu sidang media khas menyarankan supaya Parlimen BTR diberikan kepada calon Umno.




Apabila bercakap mengenai calon sesuai nama Ketua Umno Bahagian iaitu Datuk Rizalman menjadi sebutan bakal diketengahkan oleh Umno Bahagian.




Datuk Rizalman merupakan anak kepada Datuk Mokhtar.




Datuk Mokhtar berkata beliau tidak berani membuat ramalan andaikata nama anaknya dicalon kemenangan akan memihak kepadanya.




"Yang boleh menangkan dia bukan diri dia. Para pengundi di BTR yang ada kuasa untuk menentukan sama ada dia boleh menang atau tidak," ujarnya.




Beliau seterusnya berkata sekiranya pengundi di BTR ingin melihat kerusi Umno bertapak di bandar elit itu, mereka tidak ada pilihan.




Kecuali mereka kena membulatkan tekad dengan memberi kemenangan kepada calon tersebut pada PRU 14 nanti.




Ditanya beliau mengenai perasaannya apabila nama anak beliau dikatakan bakal calon BTR, Datuk Mokhtar berkata beliau belum boleh tersenyum jauh sekali berbangga kerana PRU belum lagi bermula.




"Saya hanya boleh mengucapkan dan syabas pada Rizal sekiranya beliau dipilih dan menang pada pilihan raya kali ini,"ujarnya.