Khamis, Mei 20, 2010

MAHATHIR BELA ZUBIR


Tanggungjawab terhadap kerugian yang dicatatkan Sime Darby Bhd. (Sime Darby) di dalam projek hidroelektrik Bakun perlu dikongsi oleh semua mereka yang terlibat di dalam projek berkenaan.

Tanpa menamakan pihak terlibat, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan adakah kegagalan projek itu hanya terletak di bahu Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid yang diarahkan bercuti baru-baru ini.

Menurutnya, kerugian di dalam projek itu bermula apabila ia diserahkan kepada Sime Darby bersama rakan kongsi dari China dengan bidaan harga yang cukup rendah iaitu RM1.8 bilion.

"Harga itu membuatkan rakyat Malaysia yang merupakan pembida kedua terendah berasa cukup hairan. Beliau mengatakan projek berkenaan tidak akan berjaya dilakukan pada harga ditawarkan.

"Kini Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby telah disingkirkan. Soalnya, Adakah hanya Ketua Eksekutif Kumpulan bertanggungjawab? Siapa konsultan untuk Sime Darby? Bagaimana mereka boleh bersetuju dengan kos serendah itu untuk projek berkenaan?

"Bagaimana bidaan itu boleh menjadi terlampau rendah? Saya fikir, para jurutera tahu bahawa mereka tidak boleh membinanya pada harga RM1.8 bilion," katanya dalam laman blog beliau, http://chedet.co.cc.

Beliau mengulas tindakan Sime Darby mengarahkan Ahmad Zubir bercuti sehingga kontraknya berakhir 26 November ini setelah konglomerat itu mencatatkan kerugian lebih RM1.63 bilion akibat lebihan kos dalam projek kendaliannya.

Serentak itu, mesyuarat Lembaga Pengarah Sime Darby yang bermesyuarat hampir 12 jam pada 12 Mei lalu memutuskan untuk melantik Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan syarikat itu.

Dr. Mahathir menambah, beliau percaya kerugian yang dicatatkan Sime Darby adalah hampir sama dengan jumlah bidaan yang dilakukan syarikat China itu.

"Saya percaya jumlahnya adalah lebih daripada RM900 juta kerana kerajaan telah memberi pampasan kira-kira RM700 juta kepada Sime Darby.

"Jadi, kos keseluruhan akan menjadi hampir sama dengan bidaan awal iaitu RM1.8 bilion. Bermakna, harganya telah menjadi sekali ganda.

"Saya rasa orang akan tahu apabila syarikat awam rugi melebihi RM1 bilion ringgit. Proton cuma rugi RM500 juta tetapi itu boleh diterima. Adakah kehilangan RM1 bilion juga boleh diterima?" soalnya.