Selasa, Disember 17, 2013

ADUN ANGKAT SUMPAH DEPAN SPRM PEGANG AL QURAN TAHUN DEPAN

KUALA TERENGGANU, 17 Dis (Bernama) -- Mulai tahun hadapan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kanan Kerajaan Terengganu akan dikehendaki mengangkat sumpah di hadapan SPRM dan Mufti selain memegang al-Quran. Menyatakan demikian Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata langkah ini bertujuan untuk menentukan pembuat pengakuan berlaku jujur dan amanah dengan tanggungjawab yang digalas. "Jika mereka hendak lakukan juga (rasuah), itu terserah kepada mereka, urusan dengan Allah, yang penting kita sudah beritahu bahaya rasuah, sudah bagi penerangan dan langkah pencegahan yang perlu dilakukan," katanya. Ahmad bercakap kepada pemberita pada Program Transformasi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mencegah rasuah kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) di sini hari ini. Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan tradisi untuk berhubung rapat dengan agensi penguatkuasaan seperti SPRM dan taklimat SPRM hari ini akan diperluaskan kepada pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua jabatan tidak lama lagi. Taklimat itu juga adalah sebagai komitmen kerajaan negeri Terengganu dalam menjalankan urusan pentadbiran dengan telus dan berintegriti untuk mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap sektor perkhidmatan awam.
Ahmad berkata beliau tidak mahu berlaku sebarang kesilapan di kalangan Adun yang bakal menjerat diri mereka dalam perangkap rasuah akibat kesilapan kecil dalam urusan pentadbiran harian. "Hari ini banyak perkara disentuh, termasuk kuasa perundangan serta bentuk kesalahan rasuah dan perkara-perkara yang boleh disabitkan sebagai ‘suapan’ yang mudah berlaku dalam kehidupan seharian. Taklimat kira-kira tiga jam itu disampaikan oleh Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali. -- BERNAMA KAK AZM RS

Jumaat, Disember 13, 2013

MB BUKAN ROBIN HOOD

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tidak mahu disamakan dengan Robin Hood setelah menahan dua buah lori yang membawa roti Gardenia dan mengagihkan makanan itu kepada mangsa banjir yang terperangkap baru-baru ini. Ketika sesi penggulungan perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini, Ahmad memberitahu, label itu menyebabkan beliau menerima kecaman dan banyak maklum balas berunsur negatif selepas insiden itu tersebar luas melalui blog dan laman sosial. "Saya nak betulkan keadaan, yang kata saya ini macam Robin Hood itu tak betul. Robin Hood ini dia rompak harta orang kaya untuk bagi kepada orang miskin tetapi saya bukan macam itu. "Dalam Islam 'Inna halaala bayyinun wa inna harooma bayyinun' (yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas). Bukan saya yang paksa dia (pemandu lori) buka... tetapi kami berbincang, ambil gambar buat bukti. "Saya nak bagi penjelasan ini sebab dalam blog timbul. Saya nak bayar sebab kita nak tolong orang dalam kesusahan. Kita ambil cara elok. "Tetapi, apabila saya hubungi pegawai yang berkenaan untuk dapatkan invois, mereka tak nak sebaliknya mereka cakap berbesar hati kerana dapat membantu mangsa banjir," katanya yang kemudian membaca surat yang diterima daripada pengurusan syarikat tersebut kepada sidang DUN. Surat daripada Pengurus Pemasaran Kanan Gardenia, Haslinah Harun antara lain menyebut bahawa pihaknya amat berbesar hati kerana dapat membantu mangsa banjir dan berterima kasih kepada Menteri Besar dan berbangga kerana diberi peluang berbuat demikian dalam keadaan memerlukan. Semalam Ahmad menyatakan rasa terharu dan berterima kasih kepada pihak pengurusan syarikat roti Gardenia yang enggan menerima bayaran sebaliknya menganggap ia sebagai sumbangan. Dalam insiden baru-baru ini beliau yang ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kemaman meminta dua pemandu lori Gardenia mengagihkan bekalan untuk pasaran itu kepada orang ramai yang terkandas di Chendor tetapi mereka agak keberatan. ''Asalnya kita berbincang dengan pemandu yang pada awalnya tidak berani tetapi saya kemudian menghubungi pegawai pengurusan untuk membayar harga roti tersebut dan mereka membenarkannya," katanya. Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131213/dn_22/Jangan-samakan-saya-dengan-Robin-Hood---Ahmad#ixzz2nLaIsa68 © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, Disember 12, 2013

AHMAD SAID TERHARU SIKAP GARDENIA

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa terharu apabila pihak pengurusan syarikat roti Gardenia enggan menerima bayaran roti yang diagihkan kepada mangsa banjir yang terperangkap di negeri itu baru-baru ini. Sebaliknya pihak pengurusan syarikat terbabit menganggap roti itu sebagai sumbangan mereka kepada mangsa banjir di negeri itu. “Terima kasih kepada pengurusan Gardenia yang pada hari itu saya membuka lori untuk diagihkan (roti). Asalnya kita berbincang dengan driver, pada awalnya tidak berani tetapi saya cakap dengan pegawai pengurusan dia saya bersetuju untuk membayar harga roti tersebut. Apabila kita tulis surat untuk mendapatkan invois,pengurus dia kata ini sumbangan mereka untuk mangsa banjir yang terkandas. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada pihak Gardenia,” katanya. Minggu lepas, Ahmad Said dianggap sebagai Robin Hood kerana menahan dua buah lori roti untuk diagihkan kepada mereka yang terperangkap dalam banjir di Chendor. Ada yang menganggap tindakan Ahmad Said itu tidak kena kerana merompak lori roti. Sebaliknya bukan Ahmad Said merompak lori roti tetapi membeli semua roti yang ada dalam dua lori lori roti Gardenia. Beliau yang ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kemaman meminta dua pemandu lori Gardenia mengagihkan roti yang dibawa mereka kepada orangramai. Lori terbabit yang turut terkandas ekoran banjir di kawasan Chendor, pada mulanya enggan membenarkan lori mereka dibuka . Selepas berbicang dengan pengurus Gardenia di Kuala Lumpur, beliau kemudiannya membuka lori dan mengagihkanya kepada mangsa yang terperangkap. Tindakan Ahmad itu turut dikongsikan mangsa banjir yang berada di tempat kejadian dan mendapat perhatian di media sosial. FMT difahamkan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary pemilik roti Gardenia memang sedekah rotinya sebanyak 600 buah lori setiap bulan kepada fakir miskin, kanak-kanak sekolah di seluruh negara. Sementara itu hampir RM18 ribu berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai kepada mangsa banjir menerusi satu perlawanan bolasepak malam tadi. Wang berkenaan adalah hasil terkumpul menerusi tiket perlawanan amal antara pasukan Terengganu dan T-Team, di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Ahmad turut memuji keprihatinan persatuan bola sepak negeri Terengganu (PBSNT) yang mengambil inisiatif mengadakan perlawanan persahabatan berkenaan. Hasil kutipan caj tiket berharga lima ringgit dikumpulkan bersama sumbangan peribadi pemain T Team dan pasukan Terengganu khusus membantu mangsa banjir. Selain penonton, pemain kedua-dua pasukan turut menghulurkan sumbangan . Perlawanan berkesudahan dengan keputusan pasukan Terengganu menewaskan T-Team, 2-0. Hasil kutipan sumbangan itu diserahkan oleh presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid untuk disalurkan kepada tabung bantuan bencana banjir. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)

JPJ TIDAK DIBERITAHU LORI ANGKUT BARANG UNTUK MANGSA BANJIR

TUMPAT, 12 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan bertindak kejam apabila menyaman lori yang dikatakan membawa barangan bantuan banjir seperti yang disebar dalam media sosial baru-baru ini. Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata tindakan itu diambil setelah pegawai penguat kuasa mendapati lori berkenaan membawa muatan berlebihan tanpa dimaklumkan bahawa ia merupakan barangan bantuan banjir. "Pemandunya langsung tidak memaklumkan yang ia membawa muatan misi kemanusiaan banjir. Sepatutnya pemandu itu memaklumkan keadaan sebenar terlebih dahulu, dan bukannya bertindak mensensasikan keadaan itu di laman sosial," katanya kepada pemberita selepas penutupan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Daerah Tumpat hari ini. Beliau berkata pihaknya bersedia membatalkan saman itu bagi menamatkan kontroversi berkenaan. Bagaimanapun, katanya, mana-mana pihak yang melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dinasihat memaklumkan perjalanan mereka kepada JPJ selain menggantung bendera penaja bagi mengelak sebarang masalah. Pada 7 Dis lepas, JPJ didakwa menyaman pemandu sebuah lori yang membawa muatan barangan bantuan banjir seperti pakaian, selimut, beras, gula, susu dan tepung di Tol Gombak, Selangor yang dikatakan dalam perjalanan ke Kuantan. Pemandu kenderaan itu didakwa disaman RM150 manakala syarikat lori berkenaan RM450 kerana membawa muatan lebih. Terdahulu, Ismail berkata program MyLesen yang bakal diperkenal April depan akan memudahkan rakyat, khususnya belia bermasalah, untuk mendapatkan lesen motosikal. Beliau berkata ini termasuk membenarkan calon yang gagal beberapa kali dalam ujian berkomputer mengambilnya semula secara bertulis. "Kadar mereka yang gagal dalam ujian berkomputer adalah sangat tinggi kerana ramai yang tidak mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi dan ini membantutkan usaha mereka untuk memiliki lesen motosikal," katanya. MyLesen menyasarkan kelompok usia 16 hingga 45 tahun, terutama pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk mendapatkan lesen motosikal yang sah. Ismail juga berkata dengan kadar bayaran RM198 seorang, golongan sasaran diharap mengambil kesempatan mendapatkan lesen apabila program itu diperkenal. -- BERNAMA ZBI SNS SBB

SUAMI NAIB KETUA MUSLIMAT PAS PULAU PINANG ADA HUBUNGAN DENGAN LELAKI

BUKIT MERTAJAM, 12 Dis (Bernama) -- Mahkamah Rendah Syariah Daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini menetapkan 20 Jan depan untuk Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang Rahmah Md Isa memfailkan jawapan kepada pembelaan dan tuntutan balas suaminya. Hakim Syarie Faiyzan Ahmad menetapkan tarikh itu terhadap permohonan fasakh Rahmah daripada suaminya Zarkasyi Abdullah, 45. Rahmah, 52, membuat permohonan fasakh terhadap suaminya yang berketurunan Acheh dari Indonesia pada Ogos lepas dan mendakwa suaminya itu tidak bertanggungjawab, tidak memberi nafkah serta menuduhnya mempunyai hubungan dengan lelaki lain. Rahmah yang juga Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang diwakili peguam Sarina Md Zain manakala Zarkasyi diwakili peguam Shazril Khairy Mustafa. Sementara itu, Zarkasyi yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata mereka berkahwin sejak 1993 dikurniakan lima anak yang berusia antara sembilan hingga 20 tahun. -- BERNAMA EIY AZE RHM

Selasa, Disember 10, 2013

KELAB PUTERA HULUR BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR DI KEMAMAN

KEMAMAN, 10 Dis (Bernama) -- Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) menggunakan empat kenderaan berat termasuk dua treler untuk membawa bantuan kemanusiaan yang akan diagihkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah Kemaman. Naib Presiden KP1M Datuk Mohd Farid Hassan berkata konvoi itu tiba sejak semalam membawa sumbangan berupa keperluan harian dan bantuan asasi iaitu beras, tepung, gula, roti, selimut dan tuala. Bantuan itu akan diagihkan kepada lebih 10,000 mangsa dari daerah berkenaan yang terjejas ekoran banjir sejak minggu lepas dan Kompleks Belia dan Sukan Kemaman dijadikan transit sebelum semua barangan itu diagihkan, katanya ketika ditemui pemberita di kompleks itu hari ini. Beliau berkata KP1M akan memulakan misi membantu membersihkan kediaman penduduk yang terjejas minggu depan melibatkan lebih 60 anggota dengan dibantu Pemuda Umno Kemaman. Sehingga tengah hari ini, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan berkurangan kepada 11,349 orang melibatkan 2,591 keluarga daripada jumlah keseluruhan 18,576 mangsa membabitkan 4,177 keluarga yang direkodkan Jumaat lepas. Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kemaman Azizi Azran Abdullah memberitahu Bernama, beliau dan beberapa pekerja di Kompleks Belia dan Sukan Kemaman kini bertungkus lumus membersihkan kompleks itu bagi membolehkan penduduk kembali melakukan aktiviti riadah selepas 'terganggu' dengan kejadian banjir. Selaku pegawai yang menyelaras perjalanan kompleks itu, beliau berkata seluruh kawasan itu dinaiki air sedalam 0.5 meter menyebabkan semua aktiviti yang dijadual termasuk tempahan dewan terpaksa dibatalkan. Katanya dewan itu dijangka boleh digunakan dalam masa terdekat selepas kerja pembersihan yang dimulakan sejak beberapa hari lalu dijangka selesai petang ini. "Saya boleh cakap kompleks ini mengalami 'total lost', semua buku, peralatan sukan, dewan badminton yang baru diubah-suai turut terjejas akibat banjir," katanya. -- BERNAMA MAF MYS NJ ROS

MUSA MAHU LEBIH RAMAI RAKYAT SABAH JADI PELAUT

KOTA KINABALU, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri menggesa penggiat industri maritim supaya mencari jalan untuk menggalakkan penduduk tempatan di Sabah dilatih sebagai pelaut pada masa depan. Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata banyak peluang tersedia dalam sektor perkapalan tidak disertai penduduk tempatan yang berkemungkinan tidak mengetahui peluang dan manfaat dalam industri berkenaan. "Sabah berkongsi aspirasi kerajaan supaya Malaysia menjadi negara maritim yang kukuh dan menyokong dasar bagi meningkatkan penyertaan negara dalam industri maritim "Lebih banyak perlu dilakukan untuk menggalakkan penyertaan rakyat Malaysia, khususnya dari Sabah, memiliki kapal-kapal yang didaftarkan di Malaysia dan merebut peluang yang tersedia dalam sektor pengangkutan maritim serta minyak dan gas," katanya ketika merasmikan seminar mengenai maritim Sabah di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Masidi Manjun. Menurut Musa pantai Sabah seluas 1,440 kilometer dengan tiga lautan, menawarkan peluang besar dari sudut ekonomi. Beliau berkata laut memberi peluang pekerjaan dan sumber protein yang berharga selain minyak dan gas yang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi. "Selain itu, sebahagian besar daripada perdagangan antarabangsa Malaysia, merupakan nadi bagi ekonomi negara, diangkut oleh kapal-kapal melalui pelabuhan utama di negara termasuk melalui pelabuhan di Kota Kinabalu, Kudat, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau di Sabah," katanya. Musa juga berkata kerajaan memberikan keutamaan kepada peranannya dalam melindungi sempadan maritim Sabah terhadap ancaman, membendung perdagangan haram seperti dadah dan penyeludupan manusia, dan mencegah kemasukan pendatang tanpa izin. "Penubuhan segera Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) perlu untuk menghapuskan ancaman luar yang boleh merosakkan kedudukan sosial dan ekonomi serta boleh menggugat keselamatan negara, yang menjejaskan kedatangan pelabur," katanya. -- BERNAMA NAB NAB LAT

Isnin, Disember 09, 2013

MB JADI ROBIN HOOD?

KEMAMAN: Ketika Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pulang dari Kuala Lumpur ke Kemaman untuk bersama rakyat menghadapi banjir, beliau tersekat di kawasan Chendor bersama dengan ramai pemandu bersama ahli keluarga, anak, isteri dan lain-lain yang tersekat sama di situ dalam keadaan kelaparan. Blog Terengganu Today melaporkan kebetulan terdapat dua lori roti Gardenia yang berada di situ, Ahmad Said yang tidak sanggup melihat situasi rakyat dalam kelaparan beliau telah meminta agar pemandu lori tersebut membuka pintu lori bagi mendapatkan makanan (roti) yang ada bagi di agihkan kepada semua yang ada di situ. Pada permulaannya, kedua-dua pemandu lori itu tidak membenarkan Ahmad Said membuka lori tersebut. Tetapi Ahmad Said tetap bekeras mahukan roti tersebut kerana beliau tidak tahan dan sanggup melihat rakyat kelaparan, lalu Menteri Besar meminta agar pemandu lori tersebut terus menghubungi pengurus mereka di Kuala Lumpur untuk meminta kebenaran bagi membeli semua roti-roti tersebut, Setelah Ahmad Said berbincang dengan pengurus untuk sanggup membayar jumlah yang di terima oleh pengurus tersebut, maka Ahmad Said telah membuka lori tersebut untuk di agihkan kepada semua mangsa perangkap banjir itu. Ramai yang datang berterima kasih pada Ahmad Said terutama anak-anak kecil yang kelaparan di situ dapat mengisi perut, rungutan dan kelapran dapat di isi, mungkin terdetik di dalam hati MB ketika itu rasa lega dan bersykur kerana dapat memadamkan kesusahan rakyat ketika itu. Setelah menjadi “Robin Hood” di Chendor, Ahmad Said menyerang Giant pula. Blog yang sama melaporkan sewaktu bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan ziarah dan tinjauan di Sekolah Menengah Banggol, Paya Berenjut, beberapa orang ibu mengadu kepada Menteri Besar tentang bekalan susu bayi dan anak mereka yang sudah kehabisan. Sebaik-baik sahaja Timbalan Perdana Menteri balik ke Kuala Lumpur semula, Menteri Besar Terengganu itu bergegas ke Giant Kijal dan membeli sendiri bekalan susu bayi serta bekalan makanan untuk dihantar ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Banggol, Paya Berenjut. Sebuah trak tentera digunakan untuk mengangkut bekalan susu dan makanan yang dibeli sendiri oleh Menteri Besar Terengganu itu. Trak tersebut dimuatkan di hadapan Pejabat Pegawai Daerah. Dan disebabkan ruang tidak cukup, Ahmad Said menggunakan kereta rasmi Menteri Besar untuk mengangkut bekalan susu dan makanan. Tiba di pusat pemindahan, Menteri Besar Terengganu itu menggunakan kederatnya sendiri, bersama-sama sukarelawan dan mangsa-mangsa banjir menurun dan mengangkut bekalan makanan berkenaan. Sudah empat hari nampaknya, Menteri Besar Terengganu berpusing-pusing di sekitar tempat-tempat yang dilanda banjir sama ada menggunakan kenderaan rasminya atau kenderaan persendirian mahupun menaiki helikopter. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)

JANGAN BUAT FITNAH, OMAK KAU

Ada blogger pembangkang OMAK KAU!!! buat fitnah kononnya Taman Alam Perdana di Binjai dilanda banjir kerana di luar jalan besar tertulis kawasan bebas banjir. Kebetulan saya duduk di situ. Nampak sangat blogger ini buat fitnah. Rumah kami mana kena air banjir. Papan tanda itu terletak di luar jalan besar jalan Air Putih-Cukai yang tertulis kawasan bebas banir. Di situ memang tempat rendah kena banjir. Jadi kawasan perumahan kami tetap selamat dari banjir. Inilah petikan penuh blog OMAK KAU seperti beriku:- TERENGGANU DI BAWAH PEMERINTAHAN UMNO AMAT HEBAT SEKALI DALAM DUNIA ... BOLEH TAWARKAN KAWASAN PERUMAHAN BEBAS BANJIR TETAPI AKHIRNYA DI TENGGELAMI AIR JUGA!!! Berdegar-degar sungguh pema
jau perumahan Alam Perdana Pasir Semut Kemaman, Terengganu sampaikan boleh beri jaminan gerenti 110% kawasan perumahan berkenaan tidak akan di landa banjir. Akhirnya banjir yang melanda Kemaman kini kawasan tersebut turut terlibat. Bangsat punya pemaju perumahan ... lagi bangsat kerajaan negeri yang turut membiarkan rakyat tertipu. Betul-betul bangsat .. Betul tak Mak Cik Ijat.

Rabu, Disember 04, 2013

BN BERDEPAN DENGAN TIGA PARTI, BUKAN PAKATAN RAKYAT, KATA NAJIB

Berikut transkrip wawancara khas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di pejabat beliau di bangunan Parlimen di sini Isnin. Perdana Menteri diwawancara sekumpulan wartawan kanan Bernama diketuai Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh. Dalam wawancara kira-kira 40 minit itu, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno bercakap mengenai cabaran, harapan dan hala tuju Umno susulan Pilihan Raya Umum ke-13 Mei lepas dan pemilihan parti pada Oktober lepas.
BERNAMA: Bagaimana kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) memberi impak kepada corak kepimpinan dan transformasi Umno? NAJIB: Umno sebagai parti yang berkuasa setelah sekian lama perlu melihat masa depan, kerana kejayaan walaupun begitu hebat sekalipun tidak merupakan jaminan untuk kejayaan masa akan datang, lebih-lebih lagi dalam perubahan landskap politik tanah air. Dari segi perubahan demografik, perubahan teknologi dan juga tahap pendidikan yang semakin tinggi. Bererti untuk kekal sebagai sebuah parti yang relevan, Umno mesti sanggup melakukan transformasi yang mencerminkan parti untuk masa depan orang Melayu dan negara secara keseluruhannya. BERNAMA: Selepas Datuk Seri mendapat mandat baharu menerusi PRU-13 dan pemilihan parti baru-baru ini, timbul pelbagai tuduhan bahawa hala tuju dan gaya kepimpinan Datuk Seri seolah-olah ada perubahan hala tuju terutama dengan pelancaran agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. NAJIB: Tidak...mesti faham, saya juga Presiden parti Umno. Tiang seri perjuangan Umno ialah memperjuangkan kedudukan orang Melayu dan Islam. Walaupun perjuangan Melayu Islam, tidak bererti kita pinggirkan kaum lain, yang tak pernah kita lakukan. Dasar memperkasakan ekonomi bumiputera adalah konsisten dengan apa yang dilakukan Umno sejak penubuhannya. Yang berbeza adalah cara atau kaedah. Saya selalu tekankan 'market friendly'. Mesti berdasarkan merit bukan 'handout' (pemberian). Bukan kepada 'rent-seeker', bukan sistem kuota tapi lebih kepada membangunkan orang Melayu dan Bumiputera berdasarkan apa yang perlu dan patut diberi demi menegakkan keadilan sosial. Kita cuba beri lebih peluang tapi tak boleh jamin outcome (hasilnya). Kalau mereka yang telah terpinggir dari arus perdana selama ini kesan zaman penjajahan yang begitu lama, maka kita tak boleh tidak, perlu lakukan untuk betulkan keadaan ini yang tempang, supaya "we equalise opportunities" dalam negara tanpa nafikan hak kepada kaum-kaum lain. BERNAMA: Banyak program transformasi dalam Umno, sejauh mana ahli-ahli dapat menerima idea-idea yang Datuk Seri perkenalkan? NAJIB: Saya ingat sebahagian hasrat saya tercapai bila kita lakukan pemilihan berdasarkan perlembagaan baru. Rata-rata akui Umno telah ambil satu tindakan berani dan futuristik dengan membesarkan 'constituency' yang memilih pemimpin-pemimpin Umno termasuk di peringkat tertinggi. Kebolehan Umno menguruskan pemilihan ini dari Arau (Perlis) sampai ke Semporna (Sabah) dengan penambahan lebih 150,000 (perwakilan) adalah satu kejayaan yang setakat ini tak boleh ditandingi parti-parti lain dalam negara. Saya berbangga dengan kejayaan ini, bermakna Umno telah menyahut apa yang kita kehendaki untuk kita menjadi lebih demokratik, lebih agresif. Seterusnya perlu diperkukuhkan lagi nilai-nilai perjuangan Umno, supaya apa yang kita fikir tidak sihat, mesti kita kikiskan. Umno mesti muncul sebagai parti yang memperjuangkan, mendahulukan rakyat dan mengelak daripada mencari kuasa semata-mata hendakkan kuasa tapi mesti merupakan parti yang sentiasa sanggup meletak kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan lain. BERNAMA: Selepas pemilihan parti Oktober lepas, adakah Datuk Seri berpuas hati dengan keputusan pemilihan? Adakah ia menepati jangkaan? NAJIB: Saya kena terima...sebagai seorang yang menjunjung prinsip demokrasi, proses telah dilalui, perwakilan telah membuat keputusan, saya perlu terima apa-apa keputusan yang dibuat perwakilan. Bukan soal pilihan saya secara peribadi dan presiden parti tapi kehendak ahli parti. Itu yang mesti saya terima, saya hormati. Keputusan itu jadikan saya pilihan ahli Umno yang mewakili 3.4 juta ahli Umno melalui 150,000 orang (yang mengundi) dan saya akan bersama dengan mereka yang dipilih. BERNAMA: Tetapi hasil pemilihan dilihat lebih kepada melambangkan aspirasi parti dan bukannya aspirasi rakyat? NAJIB: Kita lihat itu adalah pilihan orang Umno. Kita cuba 'align' (selaras)kehendak ahli Umno dengan kehendak rakyat. Kita tak boleh tahu sama ada perkara ini sudah dapat di'align' sepenuhnya melainkan waktu pilihan raya diadakan. Sebab itu saya sentiasa tekankan soal 'winnable candidate' (calon yang boleh menang), bukan saja dipilih parti tapi disenangi rakyat, boleh menang di satu-satu kawasan. Yang sukar adalah definisi 'winnable candidate' kerana tanggapan semua yang minat jadi calon fikir dia adalah 'winnable candidate'. Ini kesukaran bagi kita. Tapi hakikatnya kalau kita nak parti kita berjaya, kita mesti dapat mentafsirkan konsep 'winnable' secara jujur dan ikhlas. BERNAMA: Untuk masa depan, bagaimana hendak membina Umno yang mencerminkan nilai positif dan mencari lebih ramai 'winnable candidate'? NAJIB: Kita mesti perbanyakkan lagi proses melatih pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat. Kita tak boleh terima ahli umno tanpa kita tarbiah mereka, didik mereka melalui kursus-kursus tertentu. Bentuk minda mereka untuk berfikir, cara terbaik langsungkan perjalanan baru dalam konteks environment baharu, new politics (politik baharu). Bukan lagi old politics. Siapa yang tak faham new politics bakal ditolak rakyat. Sebab itu Umno kena sesuaikan dirinya, sediakan pemimpin-pemimpin dalam Umno yang menghayati 'the new politics'. BARISAN NASIONAL BERNAMA: Langkah transformasi Umno dianggap radikal dan berani dan kesannya dilihat telah memperkukuh sokongan ahli Umno kepada parti. Adakah parti-parti komponen patut meniru langkah-langkah ini? NAJIB: Setiap parti komponen perlu melalui proses yang sama tapi setengah dari mereka kena selesaikan kemelut dalam parti sebelum boleh embark atau melancarkan satu proses transformasi dalaman yang perlu mereka lakukan. Saya percaya mereka pun sedar bahawa untung nasib parti mereka bergantung kepada sejauh mana dapat dilakukan proses transformasi dengan mempunyai political will, iltizam politik, untuk hasilkan parti yang boleh diterima oleh rakyat. BERNAMA: Tahap kekuatan parti-parti komponen tidak seperti dulu dan Umno sekarang nampaknya kena bekerja lebih kuat. Bagaimana Umno menghadapi cabaran ini? NAJIB: Kita akan membantu memberi kekuatan Umno kepada rakan-rakan kita. Tapi rakan-rakan kita yang menghadapi masalah dalaman perlu betulkan rumah tangga mereka supaya akan dapat lebih diterima oleh masyarakat yang diwakili mereka. Dan kalau mereka dapat sokongan yang kian meningkat, ini akan menjamin kemenangan BN di masa akan datang dan tidak terlalu bergantung kepada sokongan daripada Umno semata-mata. BERNAMA: Ada yang berpendapat kalau Umno terlalu kuat, parti-parti komponen akan menjadi lemah, seterusnya menganggap seolah-olah kerajaan hanya mementingkan bumiputera/Melayu. Adakah ini benar? NAJIB: Tidak...kita sentiasa bagi skop kepada mereka dan saya bersikap terbuka sebab dalam keputusan-keputusan yang dibuat sama ada dalam parti atau kerajaan kita tak paksa mereka. Kita lakukan pendekatan/kaedah konsensus. Sesuatu dasar dibuat atas cara rundingan terbuka. Bila keputusan dibuat, itu bersandarkan sokongan dari semua pihak. BERNAMA: Pembangkang dilihat sering berpolemik, bercanggah dan berselisih pendapat secara terbuka dalam akhbar manakala BN pula dilihat seolah-olah dikawal media perdana, malah tidak berlaku perbahasan di kalangan komponen parti secara terbuka. Bagaimana Datuk Seri melihat perbandingan ini? NAJIB: Kita adalah parti yang memerintah. Kesan perpecahan adalah lebih buruk daripada kalau kita ini sebaliknya. Pembangkang tak buat dasar, tetapi BN buat dasar. Kalau ada percanggahan secara terbuka, akan merosakkan kredibiliti kita sebagai kerajaan. Kita menggalakkan percambahan pendapat secara tertutup. Bila tertutup, orang luar tak berapa nampak. Jadi seolah-olah mereka (parti komponen) tak suarakan sesuatu dengan lantang. Tapi hakikatnya pendapat dan kehendak semua kaum dibahas dalam keadaan tertutup sebelum kita buat sesuatu keputusan. BERNAMA: Jadi, tak semestinya mereka lebih demokratik daripada BN? NAJIB: Tidak. Lagipun mereka (pembangkang) ini tidak merupakan satu coalition (gabungan) sebenarnya sebab mereka bertanding atas tiga simbol berasingan, tidak daftar sebagai satu 'coalition'. Mereka sering bercanggah pendirian antara satu sama lain, malah sehingga hari ni tak ada shadow cabinet (kabinet bayangan). Banyak lagi perkara yang tak mencerminkan two party system. Hakikatnya BN bukan berdepan dengan 'two party' tapi 'multiparty system' (sistem pelbagai parti) dengan pelbagai manifesto. Jadi BN sebenarnya berdepan tiga parti bukan satu parti. Walaupun cuba gelar sebagai Pakatan Rakyat, sebenarnya mereka pakatan pembangkang yang begitu longgar. 'Loose coalition'. BERNAMA: Pembangkang sering bercakap mengenai nilai-nilai yang dilihat hebat, tetapi secara praktikalnya mereka tidak mengamalkan 'what was being preached' (apa yang diucapkan). Malangnya orang BN nampaknya termakan serangan-serangan nilai sehingga rasa rendah diri kononnya pembangkang lebih (mulia) noble ideanya. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini? NAJIB: Pembangkang pandai memberi gambaran bahawa mereka memperjuangkan sesuatu yang lebih indah daripada BN. Mereka cuba 'occupy the high level ground' tapi dari segi 'action', tindakan mereka banyak yang 'inconsistent and contradiction' (tidak konsisten dan bercanggah), yang perlu kita highlightkan. Dalam ucapan saya akan sebut juga satu dua perkara. BERNAMA: Bukan mudah hendak jadi Presiden Umno dan Perdana Menteri yang inklusif. Melihat kepada perkara-perkara yang terjadi semasa pilihan raya umum lepas, bagaimana Datuk Seri melihat tentang 'healing action' (tindakan penyembuhan) dalam konteks pengukuhan negara? NAJIB: Sebab itu saya lancarkan Gagasan 1Malaysia, dengan pengertian dan nilai-nilai yang berkaitan 1Malaysia. Saya tidak melihat 1Malaysia sebagai satu prakarsa atau usaha 'cyclical' hanya untuk PRU-13, tetapi ia adalah suatu keperluan dalam konteks nation building (pembinaan negara). Jadi kalau kita berpegang kepada Gagasan 1Malaysia berserta Perlembagaan dan Rukun Negara, saya percaya kita akan dapat mengukuhkan 'national unity dan national harmony'. BERNAMA: Datuk Seri, dalam PRU-13 lepas, Umno mendapat sokongan majoriti Melayu tetapi kurang mendapat sokongan orang bukan Melayu. Melihat perkara ini, adakah Gagasan 1Malaysia akan diteruskan atau akan ada perubahan-perubahan tertentu? NAJIB: Tidak ada masalah apa yang kita lakukan sekarang ini. Pemerkasaan ekonomi bumiputera (termasuk bukan Islam di Sabah dan Sarawak), bagi kelompok minoriti, kita perlu beri perhatian. Macam orang India, kita ada program khas untuk mereka dan kita tidak mengambil tindakan yang boleh menyakitkan hati kaum Cina. Waima apa keputusan yang telah dibuat, sebab itu adalah pilihan yang dibuat dalam proses demokrasi. Tapi kita harap bahawa masa depan negara kita ini adalah lebih terjamin dengan dasar-dasar yang sederhana, progresif, inklusif dan lebih adil yang diperjuangkan oleh Umno. BERNAMA: Adakah Datuk Seri yakin menjelang PRU-14, kerajaan BN ada masa untuk meyakinkan masyarakat Cina bahawa BN pilihan yang terbaik buat mereka? NAJIB: Kita harus berusaha ke arah itu. Ini bukan sahaja soal PRU tetapi dalam konteks 'nation building' kita tidak mahu kerenggangan antara orang Melayu dan orang Cina ini akan menjadi sesuatu yang boleh 'divide us' (memecahbelahkan kita). Tapi kita mesti cari kaedah dan cara di mana kita boleh merapatkan hubungan antara kaum di negara kita kerana masa depan negara kita ini terlalu besar nilainya. BERNAMA: Pelbagai usaha telah dibuat untuk meyakinkan bahawa Umno turut menjuarai kaum-kaum lain, tetapi seolah-olah tidak nampak di mata rakyat. Jadi bagaimana langkah Umno untuk menonjolkan imej itu secara lebih jelas? NAJIB: Kita kena banyakkan lagi aktiviti bersifat (bertemakan) BN. BN di akar umbi kadang-kadang tak aktif, jarang adakan mesyuarat. Jadi kalau boleh kita gerakkan BN (peringkat) bahagian ini, (they are) more or less dormant (tidak aktif), dekat pilihan raya baru bergerak. Jadi kita hendak tampilkan program-program yang bersifat BN di samping program yg dibuat oleh Umno. BERNAMA: Perhimpunan Agung Umno kali ini diadakan selepas pilihan raya umum dan mendapat mandat daripada parti. Apakah mesej utama yang Datuk Seri hendak sampaikan kepada perwakilan? NAJIB: Soal cabaran masa depan, parti, Melayu, Islam dan negara pada keseluruhannya. Saya hendak bawa ahli Umno melihat ke hadapan. Ucapan saya akan bertumpu kepada cabaran masa depan, bukan hanya kejayaan yang diketahui umum malah apresiasi atas kejayaan itu perlu kita sebutkan juga. BERNAMA: Maknanya ia seiring dengan sifat orang muda yang suka melihat ke depan daripada mendengar cerita yang sudah menjadi sejarah? NAJIB: Hakikatnya bukan saja orang muda. Orang pelbagai umur pun suka lihat kepada masa depan. Mereka hendak tahu apakah hala tuju, ke arah mana Umno akan bawa negara dan sama ada visi kita ke arah masa depan itu meyakinkan mereka atau sebaliknya. Ini yang mesti kita bentangkan, paparkan. BERNAMA: Pelbagai langkah diambil oleh kerajaan untuk memperkasa kedudukan ekonomi Bumiputera. Adakah perkara itu masih akan disentuh dalam ucapan dasar Presiden? NAJIB: Ya, saya akan sebut sebab masalah ini dua. Satu, masalah 'structural change' (perubahan struktur) yang ini diwarisi sejak zaman penjajah dahulu, melalui dasar pecah dan perintah yang menyebabkan kelemahan struktur yang memakan masa untuk dibetulkan. Yang kedua soal untuk membangunkan atau memperkukuhkan budaya kita dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin kompetitif, memakan masa untuk dibangunkan. BERNAMA: Apa yang Datuk Seri harap dapat dicapai pada akhir perhimpunan ini? NAJIB: Saya berharap bahawa ahli Umno akan kembali dengan keyakinan bahawa kita berada atas landasan yang betul dan perlu memberi sokongan dan kepercayaan kepada kepimpinan Umno untuk membawa negara kita ke arah pengisian wawasan dan matlamat yang kita sama-sama inginkan. Keduanya, saya mengharapkan ahli Umno merasakan bahawa proses transformasi ini perlu berlaku pada diri mereka juga. Ia tidak boleh hanya pada peringkat dasar atau organisasi, tetapi akhirnya kepada ahli-ahli Umno sendiri, mesti merasakan bahawa mereka juga perlu mencerminkan transformasi yang kita kehendaki barulah transformasi Umno akan sampai ke penghujungnya. BERNAMA: Satu wadah terbaik untuk Umno mendapat sokongan bukan Melayu ialah semasa Perhimpunan Agung itu sendiri. Tetapi malangnya perwakilan bila berucap seolah-olah hanya menjuarai kaum Melayu dan melupakan rakan-rakan kaum lain. Adakah kali ini kita akan melihat perbezaan dari aspek itu? NAJIB: Kita menghadapi keadaan di mana wakil yang berucap mewakili (badan) perhubungan masing-masing dan lebih fokus kepada isu yang dekat di hati mereka. Tetapi kita akan memberi nasihat supaya jangan bercakap sesuatu yang boleh menyakiti hati bukan Melayu dan tidak menjadikan forum ini medan menyerang yang lain. Kita hendak menggambarkan Umno ini bersikap inklusif. Walaupun kita ini parti Bumiputera tetapi kita mesti anggap bahawa Umno ini juga membawa kaum-kaum lain ke arah masa depan yang lebih terjamin lagi. BERNAMA: Di akhir Perhimpunan Agung, apakah isyarat utama yang perlu dihantar oleh perwakilan kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia? NAJIB: Bahawa parti Umno adalah parti harapan untuk negara kita bukan sahaja untuk Melayu dan untuk orang Islam tetapi untuk negara pada keseluruhan. Dan kita mesti menggambarkan bahawa kita ini parti yang sentiasa mendahulukan rakyat dalam semua hal. Yang pentingnya ialah kita conscious (peka) dengan kehendak rakyat, 'we must be the people's party'. -- BERNAMA