Selasa, Disember 10, 2013

KELAB PUTERA HULUR BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR DI KEMAMAN

KEMAMAN, 10 Dis (Bernama) -- Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) menggunakan empat kenderaan berat termasuk dua treler untuk membawa bantuan kemanusiaan yang akan diagihkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah Kemaman. Naib Presiden KP1M Datuk Mohd Farid Hassan berkata konvoi itu tiba sejak semalam membawa sumbangan berupa keperluan harian dan bantuan asasi iaitu beras, tepung, gula, roti, selimut dan tuala. Bantuan itu akan diagihkan kepada lebih 10,000 mangsa dari daerah berkenaan yang terjejas ekoran banjir sejak minggu lepas dan Kompleks Belia dan Sukan Kemaman dijadikan transit sebelum semua barangan itu diagihkan, katanya ketika ditemui pemberita di kompleks itu hari ini. Beliau berkata KP1M akan memulakan misi membantu membersihkan kediaman penduduk yang terjejas minggu depan melibatkan lebih 60 anggota dengan dibantu Pemuda Umno Kemaman. Sehingga tengah hari ini, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan berkurangan kepada 11,349 orang melibatkan 2,591 keluarga daripada jumlah keseluruhan 18,576 mangsa membabitkan 4,177 keluarga yang direkodkan Jumaat lepas. Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kemaman Azizi Azran Abdullah memberitahu Bernama, beliau dan beberapa pekerja di Kompleks Belia dan Sukan Kemaman kini bertungkus lumus membersihkan kompleks itu bagi membolehkan penduduk kembali melakukan aktiviti riadah selepas 'terganggu' dengan kejadian banjir. Selaku pegawai yang menyelaras perjalanan kompleks itu, beliau berkata seluruh kawasan itu dinaiki air sedalam 0.5 meter menyebabkan semua aktiviti yang dijadual termasuk tempahan dewan terpaksa dibatalkan. Katanya dewan itu dijangka boleh digunakan dalam masa terdekat selepas kerja pembersihan yang dimulakan sejak beberapa hari lalu dijangka selesai petang ini. "Saya boleh cakap kompleks ini mengalami 'total lost', semua buku, peralatan sukan, dewan badminton yang baru diubah-suai turut terjejas akibat banjir," katanya. -- BERNAMA MAF MYS NJ ROS