Ahad, Julai 17, 2016

KELUARGA HAJI SAIDI

JANGAN TERJERAT DENGAN PERMAINAN MAHATHIR

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)

OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN


Nampaknya tidak ada lagi yang pelik di Malaysia ini. Begitulah gambaran suasana politik di Malaysia.Dan nampaknya dalam seminggu dua ini, isu tentang peranan yang dimainkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir  Mohamad dalam memimpin gerakan anti Najib akan terus menjadi perhatian kita semua.


Apa yang penulis perasan ialah ramai pemimpin serta para penyokong UMNO berlumba-lumba menghentam apa yang dilakukan oleh  Mahathir sebagai memalukan, memualkan, dan tidak menggambarkan peribadi seorang negarawan.Bahkan ramai juga yang meramalkan gerakan yang diketuai oleh Mahathir ini akan hilang bagai ditiup angin apabila menjelangnya Pilihanraya Umum ke 14 nanti .


Ya, Tidak ada salahnya untuk menyatakan pandangan kita menyokong pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Maafkan penulis terlebih dahulu, tetapi penulis merasakan   para penyokong yang mempertahankan kedudukan Najib  perlu bertindak dengan lebih bijak.


Perlu diingatkan bahawa Mahathir adalah seorang “player” yang telah lama bermain permainan ini. Beliau sanggup berkorban membiarkan dirinya dikritik, dihina dan dikutuk, asalkan matlamatnya tercapai.Dalam hal ini, mungkin kita tidak boleh membandingkan taktikal bolasepak dan politik.Tetapi apa salahnya kita mengambil iktibar daripada salah seorang bekas pengurus bolasepk yang terkenal di dunia.


Jika penulis masih ingat, semasa Sir Alex Ferguson  menjadi pengurus pasukan Manchester United, beliau teruk dikritik dan dikeji oleh musuhnya, tetapi pasukan bimbingannya hampir setiap tahun memenangi piala. Ferguson membiarkan dirinya dibenci, tetapi pada masa yang sama para pemainnya melakukan apa yang perlu dilakukan di atas padang.Ferguson mengambil semua tekanan agar pemainnya dapat beraksi dengan cemerlang tanpa perlu memikirkan segala yang negatif tentang kelab Manchester United.


Mahathir mungkin menggunakan taktik yang sama. Dalam masa kita semua bersungguh sungguh menaip di papan kekunci mengutuk tindakan Mahathir, orang suruhannya terus memainkan peranan untuk melaksanakan agenda mereka. Mereka tidak perlu untuk mempertahankan bos baru mereka, tetapi apa yang lebih penting ialah melakukan tindakan yang sepatutnya.Contohnya golongan ini akan memastikan pertarungan di media sosial akan dimenangi oleh puak ini. Bagaimana dengan yang menyokong Najib?Adakah penglima papan kekunci Barisan Nasional khasnya dari UMNO  sudah bersedia untuk bertarung di media sosial?
Sememangnya sejarah telah membuktikan bahawa bukanlah mudah untuk menundukkan UMNO dan juga Barisan Nasional. Sungguhpun begitu, para penyokong UMNO tidak boleh bersandar semata-mata degan rekod lama. Tindakan mempertahankan kerajaan pimpinan Najib perlu dibuktikan dengan usaha dan bukan setakat mengeluarkan kenyataan mengutuk apa yang dilakukan oleh Mahathir. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan penulis, namun bagi penulis “bertindak itu adalah lebih baik daripada hanya berkata-kata”


Memang mudah untuk mengutuk gandingan kekok Mahathir-Lim Kit Siang-Azmin Ali. Apatah lagi  jika para penyokong Barisan Nasional mengambil mudah dan menganggap gandingan ini tidak mampu untuk menggigit pentadbiran Najib. Maka di sini penulis perlu mengingatkan sekali lagi bahawa di Malaysia ini tidak ada yang pelik atau mustahilnya apabila kita memperkatakan tentang politik.


Pengalaman adalah sebaik baik guru dan lihat sahaja apa yang berlaku sejak berpuluh tahun dahulu. Mereka yang dijangka menjadi pemimpin terus kecundang manakala yang tidak ada harapan boleh melakukan kejutan.Itu sebabnya dalam permainan politik, sebaik sahaja kita memandang rendah akan keupayaan “otai-otai” ini yang sudah dianggap lapuk, maka ada kemungkinan besar , kita sendiri yang akan kecundang.


Adakah ini merupakan langkah terakhir  atau “last card” Mahathir untuk menjatuhkan Najib? Mungkin juga.Apatah lagi beliau sudahpun keluar dari Umno dan merasakan yang tindak tanduknya tidak lagi penting dari perspektif Umno. Begitulah yang pernah dijelaskan suatu ketika dahulu oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa " Dr Mahathir sudah keluar dari Umno dan kini mula bergabung dengan pembangkang, justeru tindak-tanduknya sudah pasti tidak lagi mengambil kira kepentingan Umno,"


Seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang kini memangku tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden Umno juga menegaskan bahawa adalah penting untuk semua ahli, tidak kira yang dalam Umno mahupun dalam Barisan Nasional agar terus bersatu dalam mempertahankan pentadbiran kerajaan hari ini yang telah dipilih secara demokratik melalui pilihanraya yang sah.