Rabu, Februari 28, 2018

RATING TERTINGGI BAGI BULAN FEBRUARI 2018

Bagi bulan Februari 2018 posting "Pengurus dan isteri ditahan reman kes rasuah RM5.4 juta" pada 22 Februari mencatat hits tertinggi sebanyak 362 hits.

10 rating tertinggi bagi blog ini pada bulan Februari ialah:-

1. Pengurus dan isteri ditahan reman kes rasuah RM5.4 juta (22 Februari)
2. Hati hati dengan penipuan program bercuti RM200 (10 Februari)
3. BN Terengganu pecat ahli yang sabotaj calon (25 Februari)
4. Tan Sri Wahid Omar bekas pelajar MRSM Seremban yang berjaya (22 Februari)
5. Ahmad Hamzah bakal Ketua Menteri ungkapan di kedai kopi (8 Februari)
6. Pemilihan Umno akan diadakan sebelum 19 April 2019 ( 28 Februari)
7. Lim Guan Eng takut PAS tanding di Pulau Pinang (6 Februari)
8. Kerajaan BN kongsi kejayaan bukan kongsi penderitaan rakyat ( 14 Februari)
9. Umno tak boleh tentukan masa depan Sarawak (20 Februari)
10. Mat Dan terkejut TPM panggil naik ke pentas (27 Februari)

PEMILIHAN UMNO AKAN DIADAKAN SEBELUM 19 APRIL 2019

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Dakwaan bahawa UMNO akan diharamkan dalam masa terdekat berikutan penangguhan pemilihan parti itu adalah tidak benar dan sengaja ditularkan bagi mengelirukan orang ramai, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya UMNO masih berkuat kuasa di semua peringkat dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana terkandung dalam asas dan tujuan penubuhannya.

"Dakwaan itu sengaja ditularkan bagi mengelirukan orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO dan para penyokongnya selain usaha pihak tertentu untuk memburukkan parti, " katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Tengku Adnan turut memaklumkan bahawa Pemilihan UMNO yang diputuskan ditangguhkan sebelum ini akan diadakan selewat-lewatnya pada 19 April 2019.

"Ini selaras dengan kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) . Ini adalah merujuk kepada Seksyen 13 A (4) Akta Pertubuhan 1966, Pendaftaran Pertubuhan berkuasa untuk melanjutkan tarikh atau waktu pemilihan pertubuhan berdaftar dengan syarat suatu permohonan bertulis dibuat," katanya.

Tengku Adnan berkata penangguhan tersebut adalah bagi memastikan kesempurnaan perjalanan parti selaras Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO dengan proses pemilihan dalam UMNO berjalan lancar dan juga mengambil kira faktor keadaan semasa politik parti khususnya dan negara amnya.

Sehubungan itu, Tengku Adnan menasihatkan orang ramai khususnya anggota UMNO agar tidak mudah terpedaya dengan penularan berita berkaitan parti sebaliknya membuat semakan dengan Ibu Pejabat UMNO terlebih dahulu.

-- BERNAMAv

Selasa, Februari 27, 2018

MAT DAN TERKEJUT TPM PANGGIL NAIK KE PENTAS



KUALA NERUS, 26 Feb (Bernama) -- "Jantung saya berdebar-debar sangat sampai nak gugur rasanya bila Timbalan Perdana Menteri panggil nama saya atas pentas secara spontan, " kata selebriti yang fasih berbahasa Melayu loghat Terengganu yang lebih dikenali dengan nama 'Mat Dan'.

Itu reaksi pertama Mat Dan atau nama Islamnya Mohammad Kareef Daniel Abdullah sejurus Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kelulusan permohonannya mendapatkan status penduduk tetap Malaysia ketika merasmikan Ekspo Terengganu 2018 di sini hari ini.

"Saya memang terkejut dan malu sangat sebab semua orang dalam majlis tu tumpu pada saya. Walaupun saya memang terlibat dalam bidang penyiaran, tapi perasaan malu tu tetap ada...perasaan jadi lain macam.

Memang saya pun tidak menyangka bahawa TPM sendiri yang akan umum perkara tersebut. Paling saya tak sangka beliau akan panggil naik atas pentas dan umum perkara tu...lepas salam tu saya terus lari sebab malu," katanya pada pemberita sejurus pengumuman berita gembira tersebut.

Mat Dan yang berasal dari Bristol, United Kingdom sudah menetap di Malaysia sejak tahun 2009 hingga sekarang. Beliau mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya yang berasal dari Chendering, Terengganu Mac tahun lalu.


Jejaka yang berusia 28 tahun itu juga menzahirkan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu kerana boleh menerima kehadirannya di negeri yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan warisan budaya yang menarik.

"Saya rasa ia satu impian yang menjadi kenyataan...boleh duduk di sini dan kini harapan saya agar saya boleh membuat sesuatu yang positif untuk Terengganu. Saya mula memohon menjadi rakyat Malaysia selepas sahaja saya kahwin, saya tahu ia tidak mudah tapi bila berita gembira ini datang...saya rasa macam nak cium tangan TPM.

"Buat masa sekarang saya sebagai duta Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu ingin menunjukkan apa yang terbaik tentang Terengganu dan amat berbangga dengan negeri ini. Di mana saja saya pergi, saya akan bercakap, bercerita dan Insya-Allah akan tetap tinggal di Terengganu," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam sidang media berkata kelulusan itu diberikan selepas mengkaji semua aspek yang diperlukan untuk menjadi seorang penduduk tetap negara ini.

"Setelah dikaji didapati Mat Dan mengikut syarat-syarat yang ditentukan meliputi aspek keselamatan, dan sumbangan-sumbangan beliau bukan hanya pada Terengganu tetapi juga sumbangannya kepada Malaysia.

Mat Dan juga layak diberikan taraf penduduk tetap kerana sumbangannya kepada Malaysia apabila secara aktif mempromosi produk-produk keluaran Terengganu yang secara tidak langsung menarik kemasukan pelancong," katanya.

-- BERNAMA

Ahad, Februari 25, 2018

BN TERENGGANU AKAN PECAT AHLI YANG SABOTAJ CALON

KUALA NERUS, 24 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota parti itu yang didapati cuba sabotaj calon yang terpilih mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN dan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sikap 'cah keting' atau musuh dalam selimut ini perlu dihapuskan kerana ia dibimbangi akan menggugat perpaduan di dalam parti sekaligus menyebabkan parti menerima kekalahan.

"Seperti mana yang dikatakan oleh Timbalan Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) BN takkan kalah jika tidak kerana orang BN yang membuatkannya kalah.

"Jadi soal cah keting, musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan (di dalam parti) perlu dihapuskan...jika ia tidak berlaku sudah pasti BN akan terus berkuasa (di Terengganu).

"Di Terengganu, kita akan pastikan anggota yang didapati berbuat demikian dipecat dari parti kerana kita tidak akan berkompromi dengan mereka ini...kalau kita nak menang kita kena pastikan unsur-unsur ini tidak wujud," tegasnya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pasar Tani Gong Badak di sini hari ini.

Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu mengulas peringatan yang diberikan Ahmad Zahid dalam Majlis Taklimat Persiapan 2.0 menjelang PRU14 di Bangunan Tunku, Alor Setar, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya juga mahu semua pihak supaya berlapang dada menerima siapa jua calon yang terpilih mewakili parti pada PRU nanti.

Beliau juga mahu semua parti komponen memiliki semangat juang yang tinggi dan tidak terlalu mengharapkan UMNO selaku tulang belakang BN untuk meraih sokongan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pemimpin UMNO di peringkat negeri supaya terus membantu parti-parti komponen lain dalam BN.

-- BERNAMA

Sabtu, Februari 24, 2018

BAS AMFIBIA DIPANDU UJI DAN BUKANNYA ROSAK

KUALA TERENGGANU, 23 Feb (Bernama) -- "Bas amfibia atau amphicoach hanya menjalani latihan pandu uji enjin semalam, bukan rosak" kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian ekoran tular video di laman sosial mengenai bas dua alam berkenaan yang dikatakan rosak dan enjinnya tidak kuat meredah air sungai ketika sesi pandu uji.

"Jangan tularkan mengenai perkara yang tidak benar tentang bas amfibia dengan menyatakan perkara yang negatif mengenai bas berkenaan. Saya ingin betulkan mengenai hal bas berkenaan yang kini tular di media sosial."

"Apa yang kita buat ini adalah untuk pelancongan dan mempromosikan negeri walaupun ia adalah pelaburan yang besar," katanya pada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Negeri Terengganu, di sini, Khamis.

Ahmad Razif berkata bas bernilai RM3 juta yang menjadi tarikan terbaharu di Terengganu bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada negeri tetapi juga kepada rakyat.

Bas berkenaan yang tiba di Malaysia pada Januari lepas akan dipamerkan di Ekspo Terengganu bermula 25 Feb hingga 3 Mac 2018.

500,000 RAKYAT PULANG KALAU BN TAWAN KELANTAN

GUA MUSANG, 23 Feb (Bernama) -- Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yakin Barisan Nasional (BN) mampu membawa pulang lebih 500,000 rakyat Kelantan yang berhijrah ke negeri lain kerana faktor kerja, untuk menabur bakti di negeri itu jika BN diberi mandat mentadbir Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Tengku Razaleigh berkata beliau yakin BN mampu membangunkan kembali Kelantan merangkumi semua aspek seperti pendidikan, ekonomi dan infrastruktur, sama seperti yang dinikmati oleh negeri-negeri lain ketika Malaysia sedang menuju ke arah status negara maju.

"Sejak lebih 20 tahun lepas rakyat Kelantan terpaksa berhijrah ke negeri-negeri lain kerana PAS tidak mampu membangunkan Kelantan sekali gus gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini.

"PRU14 ini adalah pertimbangan terbaik untuk rakyat menyokong BN kerana hanya BN sahaja yang mampu memulihkan keadaan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Dewan Orang Ramai di Pos Brooke, di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Ab Aziz Yusof, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Yahaya Mamat dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu Hashim Alang Abdul Hamid.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada PRU14, Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO bahagian tersebut berkata perkara berkenaam masih dalam pertimbangannya.

Katanya, beliau sudah menjadi Anggota Parlimen Gua Musang selama 45 tahun dan tidak pernah tewas pada pilihan raya umum yang ditandinginya.

"PRU14 merupakan penggal ke-12 saya bertanding dan ada beberapa pemimpin BN yang datang jumpa saya minta saya terus bertanding lagi pada kali ini. Saya akan pertimbangkannya," katanya.

-- BERNAMA

Khamis, Februari 22, 2018

PENGURUS DAN ISTERI DITAHAN REMAN KES RASUAH RM5.4 JUTA




CHUKAI, 22 Feb (Bernama) -- Seorang pengurus pembangunan perniagaan sebuah anak syarikat kerajaan negeri dan isterinya direman tiga hari bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah melibatkan kira-kira RM5.4 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Badrul Munir Mohd Hamdy membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Semalam SPRM menahan suspek berumur 59 tahun itu bersama isteri, 52, dua anak mereka masing-masing berumur 31 dan 34, menantu, 34, dan dua proksi di Kemaman dan ibu negara bagi membantu siasatan kes tersebut.

Menurut sumber SPRM, suspek disyaki telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan kedudukannya memberi projek dan kontrak kepada beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan kepada diri dan keluarganya antara 2010 hingga 2017.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Sementara itu di Putrajaya, anak lelaki kepada pengurus pembangunan perniagaan sebuah anak syarikat kerajaan Terengganu dan seorang individu yang dipercayai berperanan sebagai proksi direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan nilai kira-kira RM5.4 juta.

Majistret Aida Khairuddin mengeluarkan perintah reman tersebut terhadap dua lelaki berusia 30-an di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini bermula hari ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan.

Semalam SPRM menahan seorang pengurus pembangunan perniagaan bersama empat anggota keluarganya serta dua individu yang dipercayai berperanan sebagai proksi dalam satu operasi khas di sekitar Terengganu dan Kuala Lumpur berkaitan siasatan penyalahgunaan kuasa dan kes rasuah membabitkan nilai RM5.4 juta.

Menurut sumber SPRM, suspek disyaki telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan kedudukannya memberi projek dan kontrak kepada beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan kepada diri dan keluarganya antara 2010 hingga 2017.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

TAN SRI WAHID OMAR BEKAS PELAJAR MRSM SEREMBAN YANG BERJAYA





Sebagai produk sulung MRSM Seremban (1972-1976) saya bangga dengan kejayaan ramai lepasan MRSM yang pertama di Malaysia itu. Antara yang berjaya ialah Pengerusi PNB, Tan Sri Wahid Omar; bekas CEO Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail; CEO Telekom, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly; CEO PR1MA, Datuk Mutalib Alias dan ramai lagi.

Tahun lepas sewaktu saya menemui Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Datuk Wan Nanawi Wan Ismail terkejut mendapati bahwa saya adalah produk MRSM Seremban.


Beliau tanya saya kenapa jadi wartawan tak jadi doktor atau jurutera. Saya jawab masa di MRSM saya banyak baca novel Melayu di perpustakaan maka akhirnya saya lebih minat jadi penulis (wartawan). Kebetulan pula isterinya Toh Puan Anis adalah junior saya di MRSM Seremban.

Semalam saya berpeluang menemui lepasan MRSM Seremban yang berjaya, Tan Sri Wahid Omar di pejabatnya di Menara PNB. Ketika saya melihat Menara PNB yang tersergam, saya terfikir apa akan jadi kepada RM270 billion wang PNB jika DAP memerintah Malaysia suatu hari nanti akibat perpecahan orang Melayu. Sedih saya memikirkannya andai kata igauan ini menjadi kenyataan 50 tahun akan datang.

Sewaktu Tan Sri Wahid menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, saya pernah smsnya untuk menemui beliau tetapi beliau tidak jawab sms saya. Saya faham bahawa beliau amat sibuk.

Bulan Disember lepas saya whatsapp beliau mahu menemuinya. Beliau baca whatsapp saya tetapi tidak jawab. Maka apabila saya terjumpanya di pejabat Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bulan lepas, saya bersalam dengannya dan memperkenalkan diri saya sebagai seniornya di MRSM Seremban.

Kami bergambar dan masukkan gambar itu dalam Facebook saya yang ditulis caption bukan main sombong Tan Sri Wahid Omar tak layan whatsapp saya. Sahabat saya Datuk Zaharin Mohd Yasin masukkan posting Facebook itu dalam grup whatsapp yang disertai Tan Sri Wahid.

Rupa-rupanya ada hikmah apabila Datuk Zaharin buat begitu. Dua minggu lepas saya whatsapp beliau mahu menemuinya dan terus beliau jawab whatsapp saya dengan menulis sila datang ke pejabatnya pada 21 Februari (semalam).

Semalam Tan Sri Wahid membuktikan bahawa dirinya tidak sombong dan beliau menghantar kami sampai ke pintu lif. Beliau sempat bergurau jangan pula you masuk gambar saya dalam Facebook you kata I sombong lagi. Saya ketawa mendengar gurauan beliau.

Selama setengah jam saya sempat berbincang dengannya tentang masa hadapan PNB. Beliau yang masuk MRSM Seremban dari tahun 1977 hingga 1981 berasal dari Johor Bharu, Johor. Beliau sepatutnya masuk MRSM Kota Bharu. Tetapi oleh kerana jauh dan keluarganya miskin tak mampu hantarnya ke sana maka kakaknya minta tukar ke MRSM Seremban yang lebih dekat dengan kampung halamannya.

Beliau tidak sangka beliau tukar dengan anak Menteri Pelajaran, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mana Mukhriz dipindahkan dari MRSM Seremban ke MRSM Kota Bharu.

Beliau adalah seorang akauntan. Abdul Wahid juga adalah ahli Fellow of the Association of Chartered Certified Accountants (ACCA),United Kingdom dan ahli Institut Akauntan Malaysia / Malaysian Institute of Accountants.

Pada mulanya beliau adalah akantan di Telekom. Pada Oktober 2001, Tan Sri Wahid telah dilantik sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM. Pengambilalihan oleh Khazanah Nasional ketika itu menerima reaksi bercampur-campur. Langkah pertama yang Tan Sri Wahid lakukan untuk menangani permasalahan ini adalah untuk membuka kunci nilai konsesi lebuh raya yang diketuai oleh PLUS Expressways. Konsesi tol telah dikaji semula untuk mengurangkan kenaikan kadar tol (dari 5% setahun kepada 3.2% setahun) tetapi meningkat setiap 3 tahun. Ruang untuk hutang UEM untuk disusun semula dan selepas itu melaksanakan penyenaraian IPO di Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) pada Julai 2002. Satu lagi langkah yang diambil oleh Tan Sri Wahid adalah untuk melupuskan aset bukan teras untuk mengurangkan hutang Kumpulan ke tahap yang lebih terkawal.

Selepas 2 setengah tahun kemudian, hutang Kumpulan telah dikurangkan separuh kepada tahap yang lebih mampan RM16 bilion dengan sebahagian besar dalam bentuk pembiayaan projek. Kumpulan UEM kembali ke landasan yang menguntungkan dengan keuntungan tahunan sebanyak RM500 juta dan dinilai semula aset bersih RM10 bilion. Khazanah Nasional bukan sahaja mencapai objektif utamanya dalam pengambilalihan itu tetapi juga dua kali ganda nilai pelaburan dalam tempoh 3 tahun.

Tan Sri Wahid kembali ke Telekom Malaysia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada Julai 2004 sebagai sebahagian daripada pelan transformasi GLC yang lebih besar. Beliau telah diberi mandat untuk mengubah TM menjadi syarikat telekomunikasi serantau dengan penekanan khusus pada komunikasi mudah alih. Pengalaman beliau dalam memulihkan Kumpulan UEM dan menjadi Ketua Pegawai Kewangan TM sebelum memberikan persekitaran yang sangat kondusif untuk menjalankan mandat.

Setelah menangani asas-asas perniagaan (secara organisasi, budaya, perkhidmatan pelanggan yang bijak, perniagaan bijak) dan sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan nilai pemegang saham, ia telah memutuskan bahawa Kumpulan TM akan lebih baik yang diasingkan kepada dua entiti tersenarai berasingan. TM International (kini dikenali sebagai Axiata) dengan Celcom dan perniagaan komunikasi mudah alih serantau yang lain di bawah sayapnya telah berjaya diasingkan dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada April 2008.

Ini meninggalkan TM sedang disusun semula sebagai Juara Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Negara (HSBB) menerajui pelaksanaan HSBB negara dalam Kerjasama Awam Swasta dengan Kerajaan Malaysia. Pengasingan "melepaskan" Kumpulan Axiata untuk terus berkembang di seluruh Asia.


Pada Mei 2008, Tan Sri Wahid telah dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, menggantikan Tan Sri Amirsham Abdul Aziz yang ketika itu dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU) selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Dalam tempoh tiga bulan sebelum ketibaan beliau, Maybank memuktamadkan tiga pengambilalihan utama, An Binh Bank di Vietnam, Bank International Indonesia (BII) dan MCB Bank di Pakistan. Beliau menghadapi tiga cabaran utama dalam beberapa bulan pertama di Maybank.


Pertama, beliau terpaksa mengikuti melalui tiga pengambilalihan utama bernilai kira-kira RM11 bilion dan untuk menaikkan perlu ekuiti dan hutang modal yang diperlukan untuk membiayai pengambilalihan. Kedua, untuk menangani krisis kewangan global yang telah berlaku dengan kejatuhan Lehman Brothers, antara lain, pada bulan September 2008. Dan ketiga, untuk meningkatkan prestasi kewangan Maybank.

Manakala pasukan kewangan korporat sibuk menyiapkan tiga pembelian, seluruh pengurusan dan kakitangan ahli sibuk melaksanakan program peningkatan prestasi yang dipanggil LEAP30 - siri 30 inisiatif yang dikenal pasti untuk meningkatkan prestasi Maybank dan mengembalikan kepimpinan pasarannya.

Selepas 18 bulan, aset dan deposit meningkat lebih cepat, perkhidmatan pelanggan yang lebih baik, kualiti aset yang bertambah baik dan keuntungan selepas cukai bangkit semula untuk satu bilion rekod RM3.8 bagi tahun kewangan 2010. Maybank kembali sebagai bank nombor satu di Malaysia dan syarikat yang paling berharga disenaraikan di Bursa Malaysia.

Walaupun ini meninggalkan pasukan, Lembaga Pengarah dan pemegang saham gembira, masih terdapat kebimbangan apabila ia datang kepada kemampanan. keletihan profesional terbukti dan terdapat keperluan untuk menyemak semula struktur organisasi dan melihat semula misi syarikat. Oleh itu, "Tiger Summit" diadakan di Putrajaya yang dikumpul 1000 pengurus atas dan pemimpin. Sidang kemuncak ini bersetuju untuk menerima pakai misi baru untuk Maybank untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan. Ini bermaksud:

Untuk menyediakan rakyat dengan akses yang mudah kepada pembiayaan, untuk menyediakan terma dan harga yang adil, Menasihati pelanggan berdasarkan keperluan dan mereka; Yang berada di tengah-tengah masyarakat.

Ini bukan sekadar laungan tetapi alasan kerana untuk 40,000 warga Maybank di Malaysia dan di seluruh Asia. Organisasi, yang baru "House of Maybank" telah dicipta dengan tiga teras perniagaan Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Perbankan Borong Global dan Insurans & Takaful dengan Perkhidmatan Kewangan Islam dan Operasi Antarabangsa neutral dalam ketiga-tiga tiang perniagaan.

Dengan misi baru dan baru "rumah", Maybank terus melanjutkan kepimpinannya bukan sahaja sebagai bank nombor satu di Malaysia tetapi juga sebagai salah satu kumpulan perbankan serantau atas dengan kehadiran di semua sepuluh negara ASEAN.

The Asian Banker dan Majlis Penasihat bagi Anugerah Pencapaian Kepimpinan kagum dengan pencapaian Abdul Wahid dalam menguruskan Maybank.


Kejayaan beliau mengurus Maybank memikat hati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu beliau menyertai kerajaan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tan Sri Abdul Wahid telah dilantik sebagai Senator untuk dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Perancang Ekonomi pada 5 Jun 2013. Beliau menyelia beberapa agensi kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan statistik, Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS) dan Talent Corporation (TALENCORP), TERAJU dan Yayasan Pendidikan Peneraju Bumiputera.

Beliau berjanji bahawa dia akan melakukan segala-galanya dalam kuasanya untuk membantu Malaysia dalam mencapai misi wawasan 2020. Beliau menyatakan bahawa akan menggunakan pengalaman perbankan yang luas untuk membantu Malaysia dengan menggunakannya dalam jabatannya.

Dia adalah seorang ahli Lembaga Pengarah Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia, Ahli Majlis Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur Pembangunan (ECERDC), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Ahli Majlis Aeroangkasa Malaysia, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Agensi Inovasi Malaysia.

Beliau tidak minat dengan politik walaupun beliau menyertai kerajaan. Beliau tidak mahu disambung jawatan Senator buat penggal kedua. Maka pada Mei 2016, beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.


Ketika ini beliau menjadi pemandu Uber kerana mahu meninjau kehidupan pemandu Uber. Hanya tiga hari sahaja beliau menjadi pemandu Uber dan ia menjadi viral apabila seorang penumpangnya mengenali beliau dan memuatkan gambar mereka dalam Facebooknya.

Pada 1 Ogos 2016, beliau dilantik sebagai pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menggantikan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang telah tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Julai 2016. Di PNB tugas Tan Sri Wahid lebih mencabar. Semoga beliau dapat membawa PNB ke arah yang lebih gemilang. Syabas Tan Sri Wahid!




Selasa, Februari 20, 2018

UMNO TAK BOLEH TENTUKAN MASA DEPAN SARAWAK

SIBU, 20 Feb (Bernama) -- Tiada parti politik dari luar Sarawak termasuk UMNO boleh menentukan masa depan negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari berkata hanya parti yang berpangkalan di negeri ini diketuai rakyat Sarawak sendiri, boleh memutuskan dan menetapkan hala tuju masa depan negeri ini.

"Kita mesti bersatu. Hanya pemimpin Sarawak boleh menentukan masa depan Sarawak. Hanya rakyat Sarawak, dan bukan orang luar," katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Cina Bersatu (UCA) Sibu di sini malam tadi.

Parti pembangkang seperti DAP, PKR, katanya tidak relevan di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata rakyat Sarawak harus bersedia menghadapi Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) dan era digital untuk mencapai matlamat menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030.

Ketua Menteri juga menyentuh mengenai penubuhan Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) untuk mengawasi pembangunan Bahagian Kapit dan sebahagian Kanowit serta Bintulu.

Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pengerusi Barisan Nasional negeri berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk menuntut hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) daripada kerajaan persekutuan.

Namun beliau berkata usaha itu akan dilaksanakan berdasarkan undang-undang dan perlembagaan negara dan bukannya bersandarkan emosi semata-mata atau kepentingan peribadi.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberikan respons positif berhubung perkara itu pada konvensyen PBB minggu lalu dengan mengumumkan penubuhan jawatankuasa peringkat tinggi di peringkat persekutuan bagi rundingan MA63 dengan kerajaan negeri.

-- BERNAMA

Isnin, Februari 19, 2018

KERAJAAN TIDAK PERNAH BIARKAN RAKYAT BERSENDIRIAN HADAPI KOS SARA HIDUP

BERA, 19 Feb (Bernama) -- Program Jualan Sentuhan Rakyat yang menjual barangan keperluan harian dengan harga murah menjadi bukti jelas kerajaan tidak pernah membiarkan rakyat 'bersendirian' dalam menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun tidak menafikan berlaku peningkatan harga barangan pada masa kini, namun kerajaan turut 'campur tangan' untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan isu itu.

Beliau berkata apabila timbul isu kenaikan kos sara hidup, kerajaan tidak boleh kawal secara keseluruhan kerana sebagai sebuah negara yang mengamalkan pasaran bebas, harga ditentukan oleh permintaan dan penawaran.

"Bagaimanapun kerajaan yang kita ada hari ini merupakan kerajaan yang bertangggungjawab, kita tidak serahkan sepenuhnya soal ini kepada pengguna untuk tentukan naik turun harganya, tetapi kerajaan turut campur tangan.

"Contohnya menerusi Skim Kawalan Harga pada musim perayaan, Kedai Rakyat 1Malaysia dan Jualan Sentuhan Rakyat, ini antara usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat terus terjaga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Bera di sini hari ini.

Pada program yang diadakan di perkarangan Pejabat UMNO Daerah Bera itu, sebanyak 30 barangan keperluan harian termasuk telur, susu, gula, beras, kicap dan ayam dijual dengan harga yang murah berbanding pasaran sehingga menarik lebih 2,000 penduduk dari kawasan berhampiran berkunjung ke situ.

Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera berkata hasil kajian yang dilakukan mendapati program jualan seperti itu, mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat terutama mereka yang berada di luar bandar serta berpendapatan rendah.

"Tetapi kita tidak bolehlah mengadakan program seperti ini terlalu kerap lebih dua kali sebulan sebab nanti ia akan menjejaskan pula peniaga yang runcit yang lain pula," katanya.

Sementara itu seorang suri rumah Siti Sanah Sulaiman, 50, dari Felda Tementi amat gembira apabila program seperti itu turut diadakan di Bera.

"Harganya memang sangat murah dan berpatutan jika nak dibandingkan dengan harga pasaran, contohnya jika ayam segar di pasar dan kedai dijual RM7.50 sekilogram, namun di sini ia dijual dengan harga RM6.50 sekilogram.

"Jadi untuk kami terutama yang tinggal di kawasan Felda, memang amat memerlukan barangan yang dijual dengan harga murah seperti ini ditambah lagi dengan keadaan kenaikan kos sara hidup pada masa kini," katanya.

-- BERNAMA

NADZARI PERSOAL TANAH IJOK

oleh ABDULLAH KARIM

SHAH ALAM: Sekali lagi sikap pemimpin pembangkang terserlah apabila berterusan mencari orang lain untuk dipersalahkan ketika berdepan kemelut yang menjerut sikap retorik mereka yang selama ini mendabik dada mengatakan kononnya mereka adalah yang terbaik di kalangan yang terbaik.

Timbalan Pengerusi Umno dan Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata apabila BN dan Umno dikatakan 'panik’ kononnya isu tanah di Ijok berjaya diselesaikan, ia sebenarnya tindakan cuba mengalih perhatian umum dan ia juga sebenarnya kenyataan dangkal yang tidak menjawab persoalan pokok yang lebih besar iaitu mengapa tanah yang dirampas kerajaan negeri diserahkan kembali kepada syarikat bermasalah.

"Persoalan lain yang perlu dijawab ialah bagaimana kerajaan negeri boleh memberi kebenaran kepada dua syarikat bermasalah berkenaan untuk melakukan transaksi jualan kepada syarikat ketiga dengan nilai RM1.18 juta bilion disebalik kes berkenaan masih di mahkamah persekutuan?," tanya beliau.

Katanya fakta yang sudah diketahui ramai ialah dua kali kes tanah Ijok dibawa ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dan ia dimenangi Kerajaan Negeri.

"Justeru apabila dua syarikat tadi membawanya ke Mahkamah Persekutuan pula, mengapa kerajaan negeri mengaku kalah dan membenarkan penyelesaian dibuat? Ini yang diragui," katanya.

Datuk Mat Nadzri berkata memang benar, peneroka boleh menarik nafas lega apabila menerima pampasan yang dijanjikan oleh dua syarikat terbabit tetapi dengan nilai RM1.18 bilion yang diterima selepas tanah dijual kepada syarikat ketiga, adakah adil nilai berkenaan kepada peneroka jika jumlah yang dikeluarkan hanya RM421 juta berbanding RM1.18 bilion yang diterima. Ke mana baki RM756 juta tadi?

"Seharusnya peneroka yang terlibat diberi pampasan mengikut harga semasa tanah berkenaan dan bukan nilai yang dibuat pada tahun 2000," katanya.

Sehubungan itu BN dan Umno Selangor mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia segera menyiasat Datuk Seri Azmin Ali mengenai apa sebenarnya yang berlaku di sebalik transaksi dan keputusan yang meragukan itu.

Datuk Mat Nadzri meminta rakyat Selangor membuka mata dan menilai sebaik-baiknya apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Selangor ini kerana pada hakikatnya banyak lagi isu termasuk ketidakcekapan pentadbiran yang sedang berlaku di Pejabat Menteri Besar.

" Inisiatif ‘Peduli Rakyat’ yang diumumkan juga hanya sekadar cantik di atas kertas tetapi pelaksanaannya amat teruk sekali.

Beliau percaya kerajaan Selangor akan terus beretorik dan bermain dengan kata-kata bagi menampakkan pentadbirannya telus tetapi pada hakikatnya banyak dasar, polisi dan keputusan yang dibuat termasuk ‘Peduli Rakyat’ yang sebenarnya teruk di peringkat pelaksanaan.

Sabtu, Februari 17, 2018

TERENGGANU MINTA UNESCO IKTIRAF KEUNIKAN WARISAN CINA

KUALA TERENGGANU, 16 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu akan menghantar permohonan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mengiktiraf keunikan budaya dan warisan masyarakat Cina di negeri itu khususnya di Kampung Cina.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata masyarakat Cina di Terengganu tidaklah ramai iaitu seramai 28,300 orang sahaja namun mereka ini sangat hebat dan berbeza daripada masyarakat Cina di negeri lain.

"Ada antara generasi Cina Terengganu dahulu yang boleh membaca tulisan jawi, memasak masakan Melayu, selesa memakai kebaya dan baju kurung, malah mahir bercakap dalam loghat Terengganu...jadi kita berharap warisan kebudayaan ini akan mendapat pengiktirafan UNESCO," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di sini, hari ini. Turut hadir isteri menteri besar Toh Puan Seri Halina Zakaria, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong, Pengerusi MCA Terengganu Datuk Toh Chin Yaw dan Pegawai Penyelaras DUN Bandar, Toh Sheng Cheng.

Katanya kerajaan negeri pernah menghantar permohonan untuk menjadikan Kampung Cina sebagai Tapak Warisan Dunia namun ditolak UNESCO kerana banyak bangunan di kawasan itu telah diubah suai selain beberapa transformasi maju yang berlaku di kawasan sekitarnya.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan pembangunan di sekitar Kampung Cina, Pasar Besar Kedai Payang, Dataran Shahbandar dan Pulau Warisan sebagai pemangkin kepada sektor pelancongan negeri.

"Pada malam esok juga akan terdapat tayangan telemovie bertajuk Kebaya Mek Hwa (di TV3) yang memaparkan Kampung Cina sebagai lokasi penggambarannya serta keunikan budaya hidup masyarakat Cina di kawasan itu.

"Ia diharap mampu menarik kedatangan pelancong ke Kampung Cina kerana hanya di sini sahaja terdapat keistimewaan dan keunikan tersebut," katanya.

-- BERNAMA

Rabu, Februari 14, 2018

KERAJAAN BN KONGSI KEJAYAAN BUKAN KONGSI PENDERITAAN RAKYAT



PEKAN, 14 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berkongsi kejayaan serta kekayaan dengan rakyat dan bukannya kemiskinan atau penderitaan seperti yang dialami oleh rakyat di sesetengah negara.

Najib berkata kejayaan negara menguruskan pentadbiran dan ekonomi negara dengan baik membolehkan kerajaan mengagihkan hasilnya kepada rakyat tanpa mengira kaum bagi meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

"Itu bukan bermakna negara tidak mempunyai orang miskin, namun jika tidak mempunyai pendapatan yang semakin meningkat, rakyat akan terpaksa berkongsi kemiskinan... Alhamdulillah pendapatan negara kita semakin meningkat.

"Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku keempat tahun lepas mencecah 5.9 peratus menjadikan kedudukan ekonomi negara antara yang tertinggi di dunia, kalau orang kata Malaysia negara bankrap, perlu diselamatkan atau Save Malaysia, maka itu adalah penipuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Kongsi Kasih bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2018 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.






Majlis turut dihadiri isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Seri Abu Bakar Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri Pahang.

Pada majlis itu, seramai 3,650 penerima terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asli menerima sumbangan berupa angpau dan barangan keperluan harian.

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan berkata penarafan terhadap ekonomi Malaysia itu diberikan oleh badan antarabangsa seperti Bank Dunia, Bloomberg dan Tabung Kewangan Antarabangsa Fund (IMF).

Ini sekali gus, katanya membuktikan tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang itu hanyalah bertujuan untuk memburuk-burukan dan menjatuhkan kerajaan semata-mata.

Menurutnya keadaan ekonomi yang kukuh juga membolehkan kerajaan turut membantu rakyat negara lain memerlukan dan hasil pertolongan itu hubungan diplomatik Malaysia dengan negara berkenaan juga bertambah kukuh.

Selain itu, Najib berkata hasil nilai 'perkongsian' yang diamalkan oleh kerajaan selama ini baik dari segi kuasa politik mahupun ekonomi membolehkan rakyat pelbagai kaum di negara ini hidup bersatu padu dan harmoni.

"Kita tidak bolot kuasa atas nama satu-satu kaum sahaja dan kita ambil iktibar serta hakikat bahawa untuk negara berbilang agama dan kaum berjaya, kita mestilah sanggup menjalin hubungan akrab untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu," katanya.

Najib juga berkata kepelbagaian agama dan budaya menjadi keunikan Malaysia kerana ia membolehkan rakyat berkongsi kemeriahan pelbagai perayaan, sekaligus menjadi pengikat hubungan sesama individu.

"Meriahnya kerana di sini kita sambut hari raya dan bila Tahun Baharu Cina kita juga sambut...begitu juga dengan Deepavali dan Krismas. Bukan hanya menyambut, tapi ada masanya kita juga sama-sama bercuti pada hari perayaan itu," katanya.

Najib seterusnya secara berseloroh menambah beliau berharap semangat dan ikatan yang erat itu akan berkekalan pada satu lagi 'raya' yang akan diadakan tidak lama lagi, merujuk kepada pilihan raya umum ke-14.

-- BERNAMA

Selasa, Februari 13, 2018

DATUK SERI MANAN MUDAH TERSENYUM

KUANTAN, 13 Feb (Bernama) -- Keperibadian Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail yang mudah tersenyum dan tidak suka berprotokol menjadi kenangan mereka yang pernah berurusan dengan beliau.

Abdul Manan, 70, disahkan meninggal dunia pada 6.45 petang semalam, selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Taman Melawati, Kuala Lumpur dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate hari ini.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berkenan mencemar duli menziarahi jenazah arwah di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati menzahirkan kesedihan atas pemergian Abdul Manan yang disifatkan sebagai kehilangan yang besar.

"Kehilangan besar seorang hamba Allah, seorang yang setia kepada raja dan pemimpin...seorang yang amat prihatin terhadap keperluan rakyat. Allah lebih menyayangi arwah," titah baginda yang turut bertemu keluarga arwah dan menyertai solat jenazah.

Wakil wartawan sambilan stesen televisyen di Pahang Mohammad Sofiyyuddin Sarani, 33, menyifatkan Abdul Manan sebagai seorang yang amat mudah ditemui, senang tersenyum dan akan memberi layanan terbaik kepada tetamu termasuk petugas media.


Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ber Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail seorang pemimpin yang banyak memberi sumbangan bukan sahaja kepada parti tetapi kepada rakyat sebagai anggota Parlimen

Najib berkata Abdul Manan, 70, telah memberi khidmat dengan penuh dedikasi dan menjalankan tugasnya dengan begitu baik sepanjang perkhidmatannya.

Perdana menteri berkata beliau begitu merasai kehilangan Abdul Manan, apatah lagi anggota Parlimen Paya Besar bagi penggal kedua itu pernah berkhidmat sebagai setiausaha sulitnya sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

"Saya amat mengenalinya dengan rapat dan lama.

"Saya terasa sangat dengan ketiadaan beliau bukan sahaja sebagai anggota Parlimen tetapi sahabat yang begitu rapat dengan saya dan keluarga,"katanya selepas menziarahi jenazah Allahyarham bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Melawati di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Allahyarham Abdul Manan meninggal dunia kira-kira 6.45 petang tadi selepas terjatuh di dalam bilik air di rumahnya di Taman Melawati.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate sebelum Zuhur esok.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau mengenali Allahyarham sejak sama-sama bekerja di bawah Najib sewaktu Najib menjadi Menteri Belia dan Sukan.

"Allahyarham merupakan rakan sepejabat saya ketika beliau jadi setiausaha sulit, saya pula adalah setiausaha politik Datuk Seri Najib."

"Beliau juga bekerja rapat dengan saya sebagai seorang anggota Parlimen yang diberi tanggungjawab tertentu di mana beliau melapor perkara tertentu kepada saya sebagai ketua whip Barisan Nasional," katanya yang turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman.

-- BERNAMA

Isnin, Februari 12, 2018

JADIKAN TANAH BENCAH SETIU TARIKAN PELANCONG

SETIU, 12 Feb (Bernama) -- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar kawasan Tanah Bencah Setiu menjadi satu lagi tarikan pelancong di negeri itu selaras hasrat kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai destinasi ekopelancongan terunggul di rantau ini.

Baginda bertitah, selain keindahan pantai dan pulau, seni, budaya dan warisan, keunikan Tanah Bencah Setiu ini juga berpotensi menjadi produk pelancongan yang boleh diketengahkan di persada global.

"Bersempena dengan Sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia yang disambut pada setiap 2 Feb di seluruh dunia, beta berharap negeri Terengganu khususnya tidak ketinggalan meraikannya bersama-sama dengan masyarakat dunia dalam mencari kaedah bukan sahaja melestarikan khazanah alam pemberian Ilahi ini, malah memikirkan kaedah yang efektif dan proaktif dalam memberi manfaat semaksima mungkin kepada komuniti setempat.

"Di sini, beta percaya, komuniti setempat boleh mengambil peluang menyediakan perkhidmatan pelancongan yang bersesuaian seperti aktiviti menyusuri sungai, lawatan ke sangkar ikan, melihat habitat tuntung dan penyu di samping aktiviti pemerhatian burung, flora dan fauna lain kepada pengunjung yang ingin mengalami suasana alam semula jadi tanah bencah.

"Beta percaya kawasan tanah bencah ini mempunyai kekayaan sumber alam semula jadi yang dapat menjana pendapatan ekonomi kepada komuniti setempat. Pelbagai aktiviti boleh dikomersialkan seperti penternakan lebah madu, pembuatan tikar kercut, industri kecil pembuatan makanan, penternakan tiram dan ketam, selain sebagai tapak pembenihan akuakultur," titah baginda.

BN PERLIS AKAN KEKALKAN KEMENANGAN

ARAU, 10 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perlis akan mempertahan dan mengekalkan kemenangannya di negeri itu pada pilihan raya umum akan datang kerana tiada parti lain yang mampu menjamin kesejahteraan rakyat, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata tidak seperti pakatan pembangkang dalam membina kerajaan, BN mengutamakan kasih sayang yang merupakan asas penting dalam membina sebuah kepimpinan yang baik.

"Mereka (pembangkang) hanya tahu gerakkan orang ramai bencikan kerajaan, mana mungkin boleh bina kerajaan berasaskan perbalahan dan caci maki? Kita mahukan kerajaan yang ada kasih sayang dan sentiasa tolong rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bengkong Tingkatan Pelajaran Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) peringkat negeri di sini, hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu juga berkata, semua calon BN di Perlis bersedia menghadapi siapa sahaja saingan mereka dan yakin dapat mempertahankan kerusi masing-masing.

Di KANGAR, Timbalan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata BN Perlis yakin mendapat sokongan penuh pengundi masyarakat Siam pada pilihan raya umum itu, sekaligus memastikan BN terus kekal memerintah negeri ini.

Masyarakat Siam di negeri itu terus menunjukkan tahap kesetiaan kepada BN kerana kebajikan mereka sentiasa dibela kerajaan.

"Mereka dapat banyak faedah daripada kerajaan, banyak tuntutan dan isu dapat diselesaikan, misalnya isu hak milik tanah yang berpuluh tahun, dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk masyarakat Siam.

Katanya, kerajaan sentiasa memikirkan dan akan berusaha untuk memastikan kebajikan semua pihak terbela tanpa membezakan agama, bangsa mahu pun budaya.

Dalam perkembangan lain, Azlan menyifatkan tindakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai tidak matang apabila mempertikai tindakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

-- BERNAMA

DAH KALAH CUKUPLAH BERTANDING SHAFIE

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata beliau bersedia bertanding semula di kerusi Parlimen Wangsa Maju pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).


Beliau berkata walaupun tewas pada PRU13 namun beliau tidak pernah berhenti berkhidmat dengan rakyat di kawasan itu.

"Jadi, saya sudah cukup sedia untuk itu. Dari segi gerak kerja pula, kita sudah lama mulakan...dan respons rakyat sekarang kepada Barisan Nasional berbanding lima tahun dulu adalah lebih baik," katanya kepada pemberita pada program Jualan Sentuhan Rakyat 2018 di Taman Flat Sri Kedah, Wangsa Maju, di sini hari ini.

Pada PRU13, Mohd Shafei kecundang kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong yang memperoleh majoriti 5,511 undi.

Jualan Sentuhan Rakyat menyaksikan barang makanan dan keperluan asas lain dijual pada harga lebih rendah berbanding biasa sekali gus membolehkan orang ramai melakukan penjimatan.

Ia digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan penglibatan beberapa agensi kerajaan.

Ulasan saya, cukuplah Shafie bertanding kerana beliau sudah kalah pada PRU13. Kerusi itu adalah kuota MCA yang bertanding pada PRU 2008. Pada PRU 2013 Umno rampas kuota MCA kerusi Wangsa Maju tetapi MCA tak beri kerjasama kepada Shafie maka kecundanglah Shafie.


Kalau MCA masih boikot Shafie macam mana beliau mahu menang. Maka cukuplah beliau bertanding dan beri peluang kepada MCA untuk menawan semula kerusi Wangsa Maju daripada tangan PKR.

Sabtu, Februari 10, 2018

PENGUNDI CINA DISERU KEMBALI SOKONG BN

BERA, 10 Feb (Bernama ) -- Pengundi Cina di negara ini diseru supaya kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada PIlihan Raya Umum (PRU) ke-14 untuk memastikan kebajikan dan nasib mereka terus dijaga.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata masyarakat Cina tidak akan mendapat apa-apa pembelaan daripada pembangkang jika mereka berterusan memberikan sokongan kepada parti itu.

"Contohnya di kawasan Dewan Undangan Negeri Pahang (DUN) Triang sendiri, apabila berlaku banjir mahupun apa-apa permasalahan, masyarakat Cina datang berjumpa dengan wakil MCA, Gerakan dan saya sendiri untuk mendapatkan bantuan kerana wakil rakyat DAP mereka tidak dapat membantu."

"Mereka hanya hadir untuk bersalam (apabila berlaku musibah dan keraian) dan tidak lebih daripada itu, datang tangan kosong?yang balik pun tangan kosong, calon yang nak bertanding pula, baru sekarang nampak muka, muncul lima tahun sekali," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan dan penyampaian sumbangan kepada 1,100 warga emas masyarakat Cina dari Parlimen Bera sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Kompleks Rakan Muda, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ismail Sabri yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata masyarakat Cina di negara ini perlu bijak menilai tentang perkara berkenaan kerana amat merugikan jika mereka memilih wakil rakyat yang tidak dapat membantu mereka di waktu kesusahan atau ditimpa bencana.

Berbeza dengan pembangkang katanya, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, telah banyak melaksanakan dasar-dasar untuk menjaga kebajikan masyarakat Cina termasuk dari segi sosial dan ekonomi.

"Untuk memastikan kebajikan masyarakat Cina terus terbela, ia harus diterjemahkan dengan memilih calon daripada BN pada PRU akan datang?setiap undi itu penting jangan dan sia-siakannya dengan memilih calon yang tidak boleh membantu rakyat."

"Ini kerana tujuan kita memilih wakil rakyat adalah untuk membantu selesaikan masalah, jadi dalam PRU nanti, undi jangan ikut emosi," katanya.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata berdasarkan pemerhatian beliau, angin perubahan telah mula ketara apabila sokongan masyarakat Cina telah mula kembali kepada BN setelah mereka menyedari hakikat berkenaan.

-- BERNAMA

HATI HATI DENGAN PENIPUAN PROGRAM BERCUTI RM200

Pada 30 Mei 2017 saya telah siarkan Berita Bernama dalam blog saya newajilpost berjudul "Bercuti Di Empat Negara dengan RM200" dengan link http://newajilpost.blogspot.my/2017/05/bercuti-di-empat-negara-dengan-rm200.html

Ramai kawan kawan saya tak yakin dengan program tersebut. Oleh kerana saya mahu kumpulkan anak anak menantu dan cucu saya ke Pulau Pangkor maka saya panggil Abadi (0173441189) dan Darling (0194061118) ke rumah anak saya Along di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur majlis berbuka puasa pada bulan Mei tahun lepas.

Abadi pun terangkan bahawa tak perlu taja orang kerana ia adalah program auto placing. Maka saya bayar RM5000 untuk 25 orang anak menantu cucu dan kawan kawan selepas menerima komisen Agro Malaysia.

Sekarang bulan Februari 2018 dah 9 bulan duit saya sebanyak RM5000 diambil oleh syarikat DUSN Lifestyle Sdn Bhd tetapi trip ke Pulau Pangkor belum jadi. Asyik tangguh kerana kononnya tak cukup orang pasal 24 orang di bawah saya tidak taja orang lain.

Dahulu masa taklimat Abadi kata tak payah taja orang. Saya wasap Abadi dia tak jawab. Saya call Abadi dia tak angkat. Dia kata kalau tak jadi pergi ke Pulau Pangkor bulan Februari ini dia mahu pulangkan semula duit saya. Oleh itu lebih baik dia pulangkan duit saya sebelum 28 Februari atau saya buat polis report menipu.

Saya harap awak baca blog saya ini Abadi. Saya nak selesaikan kes ini secara baik tapi awak tak angkat call saya.

JKM PERLU SAHKAN ANAK ANGKAT UNTUK MUDAHKAN PERSEKOLAHAN

KUALA BERANG, 9 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan menasihatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat pengesahan terhadap anak jalanan yang dijadikan anak angkat di institusi kebajikan itu bagi memudahkan proses pendaftaran kemasukan ke sekolah.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata langkah itu bagi memastikan kanak-kanak berkenaan mempunyai dokumen yang disahkan sebelum mereka dibenarkan bersekolah.

Katanya proses sama turut perlu dilakukan oleh mana-mana ibu bapa yang memelihara anak angkat warga asing supaya mereka mendapat pendidikan sewajarnya seperti kanak-kanak lain.

"JKM perlu membuat satu deklarasi yang menyatakan atau mengesahkan kanak-kanak itu dijumpai di mana dan berapa lama dipelihara oleh JKM. Serupa juga ibu bapa angkat...dia kena ada ikatan perundangan daripada JKM atau pihak mahkamah bagi menyatakan kanak-kanak itu adalah anak angkat yang dipelihara secara sah dan mengikut undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu di sini hari ini.

Khamis, Februari 08, 2018

AHMAD HAMZAH BAKAL KETUA MENTERI UNGKAPAN DI KEDAI KOPI

BANGI: Desas desus mengatakan Datuk Seri Ahmad Hamzah adalah bakal Ketua Menteri Melaka selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) merupakan ungkapan kedai kopi dan dicanang oleh orang tertentu tanpa mengetahui tujuan mereka berbuat demikian.

Sebaliknya Ahli Parlimen Jasin itu berkata beliau sudah terlalu lama berkecimpung dalam lanskap politik negeri dan nasional dan kini sampai masanya beliau memikirkan perkara lain dan bukannya mengenai jawatan Ketua Menteri Melaka sepertimana dihebohkan oleh banyak pihak.

"Jangan cakap (tulis) macam ini. Nanti orang marah," katanya ketika wartawan MH Online menujukkan berita bertajuk 'AHMAD HAMZAH KETUA MENTERI MELAKA? menerusi telefon bimbit wartawan MH Online.

Berita tersebut tersiar dalam ruangan Catatan Zabidi baru-baru ini.

Datuk Seri Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata beliau telah berkecimpung dalam politik iaitu melebihi 23 tahun dan memahami asam garam politik.

"Sudah 23 tahun saya masuk politik ni. Saya ingat tak payah cakaplah pasal jawatan Ketua Menteri. Nanti banyak orang marah kat saya,"katanya ketika di temui dipejabatnya di MPOB, semalam.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rim, Datuk Ghazale Mohamed dalam kenyataannya kepada media memberitahu Datuk Seri Ahmad banyak pengalaman dalam arena politik negeri dan nasional.

Beliau pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Melaka (sebanyak dua kali) dan kini Ahli Parlimen Jasin dan diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri menduduki jawatan Pengerusi MPOB.

Sehubungan itu katanya Datuk Seri Ahmad boleh dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu selepas PRU ke-14 nanti.

Datuk Seri Ahmad sejujurnya berkata beliau baru tahu namanya dikaitkan untuk menduduki jawatan nombor satu pentadbiran kerajaan Melaka itu setelah dimaklumkan oleh media.

Pada hal beliau sama sekali tidak pernah bercakap mengenai perkara tersebut sama ada kepada media ataupun rakan-rakan politiknya.

Sehubungan dengan itu beliau meminta pihak media menghentikan cakap-cakap mengenai perkara tersebut kerana bimbang banyak pihak akan terguris hati apabila membaca berita itu nanti.

Sebaliknya beliau meminta semua pihak termasuklah media memainkan peranan dengan memaparkan berita kegiatan ahli politik di seluruh negara daripada menulis berita yang tidak tentu hujung pangkalnya.

"Kegiatan ahli politik Umno dan BN yang setiap masa turun padang lebih baik diketengahkan supaya rakyat tahu wakil mereka buat kerja untuk mensejahterakan mereka," katanya.

Rabu, Februari 07, 2018

KDN KAJI GUNA SATU PENGENALAN DIRI BIOMETRIK UNTUK SEMUA AGENSI

KULAI, 6 Feb (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melihat kemungkinan menggunakan satu platform pengenalan diri biometrik yang boleh digunakan untuk semua agensi di bawah kementerian itu.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata sistem pengenalan biometrik di pintu masuk negara dilihat bukan sahaja dapat merekod data keluar masuk pelawat tetapi juga membanteras aktiviti jenayah seperti pemerdagangan manusia dan penjenayah lintas sempadan.

"Matlamat akhir untuk KDN ialah memastikan bahawa semua agensi dalam KDN termasuk Jabatan Imigresen menggunakan platform pengenalan diri biometrik yang sama.

"Kalau ada syarikat seperti AirAsia yang ada sistem biometrik boleh diguna pakai, kita terbuka dengan cadangan tersebut tetapi kena pastikan integrasi dalam sistem yang ada sekarang," kata beliau selepas melancarkan Fast Clearance Experience System (Faces) iaitu sistem pengecaman wajah di pintu perlepasan AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini hari ini.

Buat masa ini, KDN sedang menjalankan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) yang membabitkan keselamatan biometrik imbasan jari, mata (retina) dan wajah, yang kini dilaksanakan Jabatan Imigresen.

Selasa, Februari 06, 2018

LIM GUAN ENG TAKUT PAS TANDING DI PULAU PINANG

GEORGE TOWN, 5 Feb (Bernama) -- Kehadiran PAS bertanding di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional, kata Timbalan Presiden Pakatan Harapan Lim Guan Eng

 Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata bagaimanapun PAS berhak bertanding di mana-mana kerusi dalam sistem demokrasi termasuk di kawasan Parlimen Permatang Pauh dan kerusi Dewan Undangan Negeri Air Putih.

"Ini adalah satu cabaran sekiranya PAS bertanding kerana semua lihat PAS sebagai membantu Barisan Nasional (BN) namun segalanya akan bergantung kepada rakyat," katanya kepada pemberita, di sini hari ini. 

Beliau berkata kehadiran PAS itu akan memberi kelebihan kepada BN untuk menang dan sudah tentu Gerakan, MCA dan UMNO akan rasa gembira dengan perkara itu. 

Lim berkata demikian sebagai mengulas hasrat PAS untuk meletakkan calon di Parlimen Permatang Pauh seperti yang diumumkan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada ceramah parti itu di Permatang Pauh malam tadi. 

Menurut Abdul Hadi, kerusi parlimen itu pernah dimiliki PAS pada pilihan raya umum 1978 menerusi wakilnya Zabidi Ali. Kerusi Parlimen Permatang Pauh kini disandang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memenanginya menerusi pilihan raya kecil pada Mei 2015 selepas penyandangnya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota parlimen. 

PAS bertanding di Permatang Pauh sejak 1969 sebelum menyerahkan kerusi itu kepada PKR pada pilihan raya umum 1999. Anwar mewakili kerusi parlimen itu sejak 1982 atas tiket UMNO. -- BERNAMA

Ahad, Februari 04, 2018

SPR AKAN UNDANG PEMERHATI PILIHAN RAYA ANTARABANGSA

PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengundang pemerhati pilihan raya antarabangsa bagi meninjau ketelusan proses pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang sepertimana yang dilakukan pada PRU terdahulu, kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata SPR juga melantik wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) tempatan sebagai pemerhati di samping pemerhati tetap yang terdiri daripada wakil-wakil calon yang juga merupakan anggota daripada parti-parti yang bertanding.

"Untuk pengetahuan, pada PRU ke-13 yang lepas, SPR telah mengundang pemerhati pilihan raya antarabangsa daripada beberapa negara."

"Pada PRU14 ini juga, SPR akan mengundang pemerhati-pemerhati pilihan raya untuk meninjau ketelusan proses pilihan raya. Mereka ini terdiri daripada pemerhati tempatan dan juga luar negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini adalah telus dan adil serta tidak sepertimana yang digambarkan oleh pihak tertentu.

"Sikap pihak tertentu yang mempertikaikan ketelusan sistem pilihan raya menjelang PRU ke-14 dianggap satu usaha propaganda yang cuba mengelirukan rakyat dan pengundi," katanya.

Baru-baru inj, Timbalan Presiden Pakatan Harapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mencabar kerajaan supaya mengundang pasukan pemantau pilihan raya bebas daripada Sekretariat Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memantau perjalanan PRU14.

Mohd Hashim berkata pemerhati tempatan terdiri daripada wakil-wakil NGO atau mana-mana organisasi tempatan yang layak serta berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

Bagi pemerhati antarabangsa pula, beliau berkata mereka daripada pelbagai negara yang mewakili negara-negara Komanwel, ASEAN dan lain-lain.

Mohd Hashim menjelaskan pemerhati tetap daripada parti-parti yang bertanding akan bertugas sebagai pemerhati barung untuk semakan SPR, Ejen Tempat Mengundi (ETM) yang bertugas sebagai pemerhati dalam tempat mengundi semasa proses pengundian berlangsung dan Ejen Mengira Undi (EMU) yang bertugas sebagai pemerhati semasa proses pengiraan undi dijalankan.

Beliau berkata wakil/ejen ini berperanan penting sebagai pemerhati dan pemantau bagi setiap proses pengundian dan pengiraan yang berlaku di Tempat Mengundi (saluran) secara langsung kerana mereka berada di dalam bilik pengundian dan pengiraan undi sepanjang masa iaitu dari awal pusat pengundian dibuka hinggalah kepada pengiraan kertas undi dijalankan.

"Bukan sahaja proses yang berlaku di dalam tempat mengundi bahkan di luar tempat mengundi juga terdapat ejen calon yang bertugas sebagai ejen pemerhati barung semakan daftar pemilih dan segala proses pilihan raya yang berlaku di dalam dan luar tempat mengundi itu adalah dalam pengetahuan mereka," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hashim berkata SPR akan memastikan semua calon yang bertanding pada PRU14 akan menghantar wakil/ ejen mereka bertugas semasa proses pilihan raya itu dijalankan.

"SPR akan hebahkan nama wakil/ejen yang bertugas pada hari tersebut supaya rakyat tahu bahawa proses pilihan raya berlaku dengan telus dan adil."

"Dengan kehadiran ejen-ejen calon sebagai pihak ketiga, ia merupakan bukti bahawa SPR tidak menafikan hak pemerhati untuk turut serta dalam proses pilihan raya."

"Parti-parti politik tidak wajar berasa bimbang dengan ketelusan proses pilihan raya sedia ada yang diamalkan di negara ini," katanya.

-- BERNAMA

Sabtu, Februari 03, 2018

PAKATAN HARAPAN TAK BOLEH DIHARAP JADI KERAJAAN

KUALA NERANG, 3 Feb (Bernama) -- Pakatan Harapan tidak boleh diharap menjadi kerajaan kerana dilihat masih gagal menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda gabungan parti pembangkang itu, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau meminta rakyat menilai sama ada mahu menjadikan parti yang berdepan kemelut menjadi kerajaan untuk mentadbir urus negara atau mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada yang telah terbukti berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

"Wujud perasaan iri hati dan tak suka antara satu sama lain - (Pengerusi Pakatan Harapan) Tun Dr Mahathir (Mohamad) cakap semua dah selesai tapi kalau tengok daripada kenyataan-kenyataan yang dibuat parti masing-masing ada yang tidak puas hati dan terbaru ialah di Selangor melibatkan PKR dan Amanah (Parti Amanah Negara).

"Pada saya macam mana nak jadi kerajaan - sedangkan empat parti dalam pasukan dah tak boleh nak selesai, berkecamuk, bergaduh, tak tentu hala tuju serta bergaduh pasal calon," katanya kepada pemberita pada Program Larian Estet 2018 di Homestay D'Belimbing, di sini, hari ini.

Katanya, krisis dalaman yang berlaku ini diharap menjadi medan penilaian oleh rakyat sebelum membuat pilihan untuk mengundi parti mana pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR mengakui Pakatan Harapan di Selangor masih belum mencapai kesepakatan berhubung pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengakuan itu sekali gus mengesahkan wujudnya kemelut dalaman antara DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung isu tersebut yang sehingga kini gagal diselesaikan.

-- BERNAMA

ZAHID KAGUM DENGAN KEBOLEHAN ANAK SYRIA BERUSIA 6 TAHUN MENYANYI DALAM BAHASA MELAYU

PUTRAJAYA, 2 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia akan terus menjadi penyokong kuat kepada perjuangan Palestin dan Syria bagi kebebasan mutlak dan kemakmuran rakyat negara itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia akan terus memainkan peranan secara aktif dan menyuarakan pandangannya dalam menyokong penyelesaian konflik di Syria dan perjuangan rakyat Palestin untuk kebebasan dan memerdekakan wilayah mereka.

"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia melakukan usaha ini pada masa lalu dan akan meneruskan sehingga Palestin bebas dan menubuhkan sebuah negara merdeka.

"Kerajaan juga akan terus menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada rakyat Syria yang datang ke Malaysia," katanya ketika berucap pada pelancaran Program Memperkasa Pelarian Kanak-Kanak (Program Kanak-Kanak Pintar) di kediaman rasmi beliau, Seri Satria, di sini, malam ini.

Beliau berkata Malaysia menerima 3,000 rakyat Syria di bawah Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS) yang membolehkan mereka untuk menetap, bekerja, menerima perkhidmatan kesihatan dan pendidikan di negara ini.

Justeru, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengucapkan terima kasih kepada Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) atas peranan penting pertubuhan itu sehingga menjayakan pelaksanaan PPSMS serta menyediakan khidmat dan sokongan kepada saudara Syria di Malaysia.

Pada masa sama, katanya, secara umum rakyat Malaysia merasakan kesucian Baitulmuqaddis perlu dipertahankan kerana ia adalah tempat bagi rakyat Palestin, umat Islam dan penganut Kristian.

"Walaupun berada jauh, rakyat Malaysia percaya Masjid Al-Aqsa dan Palestin adalah milik rakyat Palestin. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi dan membebaskannya daripada penaklukan dan penindasan," katanya.

Mengenai program kanak-kanak itu, Ahmad Zahid berkata ia bertujuan membangunkan pengetahuan kanak-kanak pelarian Palestin dan Syria di Malaysia serta tahap pemahaman sains asas mereka.

Beliau berkata program itu akan meningkatkan keyakinan diri, kemahiran sosial dan praktikal kanak-kanak pelarian tersebut. Beliau kagum persembahan anak anak Syria dan Palestine menyanyi dalam Bahasa Melayu dan menari tarian inang.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis.

-- BERNAMA

Khamis, Februari 01, 2018

RATING TERTINGGI BAGI BULAN JANUARI 2018

Berita "Dah sebulan dangdut di Kampung Telari, Jabatan Agama Islam masih menyiasat" muncul sebagai berita yang mendapat rating tertinggi bagi bulan Januari 2018 dengan 308 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan tersebut adalah seperti berikut:-

1. Dah sebulan dangdut di Kampung Telari, Jabatan Agama Islam masih menyiasat (25 Januari)- 308 hits
2.Tindakan undang undang terhadap Pandikar Amin dan Roosme pramatang (11 Januari)
3. Agensi kerajaan dikuasai pembangkang? (12 Januari)
4.PAS sahkan pertandingan tiga penjuru (22 Januari)
5. Jangan cakap tak serupa bikin SPRM (29 Januari)
6. Gaya hidup wakil rakyat PAS berubah sejak berkawan dengan Umno (6 Januari)
7. Akhbar Cina putarbelit kenyataan Mahdzir Khalid (20 Januari)
8. Mahdzir Khalid menteri yang paling mudah ditemui (19 Januari)
9. BN bukan takut kepada Mahathir (14 Januari)
10. Umno atau Mahathir yang keramat? (11 Januari)