Selasa, Februari 13, 2018

DATUK SERI MANAN MUDAH TERSENYUM

KUANTAN, 13 Feb (Bernama) -- Keperibadian Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail yang mudah tersenyum dan tidak suka berprotokol menjadi kenangan mereka yang pernah berurusan dengan beliau.

Abdul Manan, 70, disahkan meninggal dunia pada 6.45 petang semalam, selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Taman Melawati, Kuala Lumpur dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate hari ini.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berkenan mencemar duli menziarahi jenazah arwah di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati menzahirkan kesedihan atas pemergian Abdul Manan yang disifatkan sebagai kehilangan yang besar.

"Kehilangan besar seorang hamba Allah, seorang yang setia kepada raja dan pemimpin...seorang yang amat prihatin terhadap keperluan rakyat. Allah lebih menyayangi arwah," titah baginda yang turut bertemu keluarga arwah dan menyertai solat jenazah.

Wakil wartawan sambilan stesen televisyen di Pahang Mohammad Sofiyyuddin Sarani, 33, menyifatkan Abdul Manan sebagai seorang yang amat mudah ditemui, senang tersenyum dan akan memberi layanan terbaik kepada tetamu termasuk petugas media.


Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ber Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail seorang pemimpin yang banyak memberi sumbangan bukan sahaja kepada parti tetapi kepada rakyat sebagai anggota Parlimen

Najib berkata Abdul Manan, 70, telah memberi khidmat dengan penuh dedikasi dan menjalankan tugasnya dengan begitu baik sepanjang perkhidmatannya.

Perdana menteri berkata beliau begitu merasai kehilangan Abdul Manan, apatah lagi anggota Parlimen Paya Besar bagi penggal kedua itu pernah berkhidmat sebagai setiausaha sulitnya sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

"Saya amat mengenalinya dengan rapat dan lama.

"Saya terasa sangat dengan ketiadaan beliau bukan sahaja sebagai anggota Parlimen tetapi sahabat yang begitu rapat dengan saya dan keluarga,"katanya selepas menziarahi jenazah Allahyarham bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Melawati di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Allahyarham Abdul Manan meninggal dunia kira-kira 6.45 petang tadi selepas terjatuh di dalam bilik air di rumahnya di Taman Melawati.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate sebelum Zuhur esok.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau mengenali Allahyarham sejak sama-sama bekerja di bawah Najib sewaktu Najib menjadi Menteri Belia dan Sukan.

"Allahyarham merupakan rakan sepejabat saya ketika beliau jadi setiausaha sulit, saya pula adalah setiausaha politik Datuk Seri Najib."

"Beliau juga bekerja rapat dengan saya sebagai seorang anggota Parlimen yang diberi tanggungjawab tertentu di mana beliau melapor perkara tertentu kepada saya sebagai ketua whip Barisan Nasional," katanya yang turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman.

-- BERNAMA