SETIU, 12 Feb (Bernama) -- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar kawasan Tanah Bencah Setiu menjadi satu lagi tarikan pelancong di negeri itu selaras hasrat kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai destinasi ekopelancongan terunggul di rantau ini.
Baginda bertitah, selain keindahan pantai dan pulau, seni, budaya dan warisan, keunikan Tanah Bencah Setiu ini juga berpotensi menjadi produk pelancongan yang boleh diketengahkan di persada global.
"Bersempena dengan Sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia yang disambut pada setiap 2 Feb di seluruh dunia, beta berharap negeri Terengganu khususnya tidak ketinggalan meraikannya bersama-sama dengan masyarakat dunia dalam mencari kaedah bukan sahaja melestarikan khazanah alam pemberian Ilahi ini, malah memikirkan kaedah yang efektif dan proaktif dalam memberi manfaat semaksima mungkin kepada komuniti setempat.
"Di sini, beta percaya, komuniti setempat boleh mengambil peluang menyediakan perkhidmatan pelancongan yang bersesuaian seperti aktiviti menyusuri sungai, lawatan ke sangkar ikan, melihat habitat tuntung dan penyu di samping aktiviti pemerhatian burung, flora dan fauna lain kepada pengunjung yang ingin mengalami suasana alam semula jadi tanah bencah.
"Beta percaya kawasan tanah bencah ini mempunyai kekayaan sumber alam semula jadi yang dapat menjana pendapatan ekonomi kepada komuniti setempat. Pelbagai aktiviti boleh dikomersialkan seperti penternakan lebah madu, pembuatan tikar kercut, industri kecil pembuatan makanan, penternakan tiram dan ketam, selain sebagai tapak pembenihan akuakultur," titah baginda.