Rabu, April 13, 2016

CERAMAH DR ZAKIR: ZAHID BATALKAN ARAHAN KETUA POLIS NEGARA



Kerajaan membenarkan pendakwah terkenal dari India Dr Zakir Naik mengadakan syarahan umum di Melaka namun perlu menukar tajuk syarahannya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron supaya majlis dijadualkan pada 17 April di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) itu diteruskan dengan tajuk yang berbeza.

Beliau berkata tindakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam yang mengarahkan majlis itu dibatalkan, diputuskan selepas polis menerima aduan daripada pelbagai pihak.

"Aduan yang dibuat bukan sahaja oleh pemuka-pemuka agama Hindu tetapi juga pemimpin-pemimpin agama Islam," katanya pada sidang media selepas menghadiri Makmal Panel Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.


Khalid semalam dilaporkan mengarahkan pembatalan forum bertajuk 'Similarities Between Hinduism and Islam' di Melaka itu agar tidak menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti agama di negara ini.

Ahmad Zahid berkata atas kompromi daripada pihak penganjur, kerajaan mengambil keputusan sebaliknya hari ini kerana berpandangan majlis agama harus digalakkan dan diraikan.

Ditanya apakah penganjur perlu memaklumkan program seumpama itu kepada pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama sebelum menganjurkannya, beliau berkata secara asasnya ia perlu dimaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya ia penting sekiranya program itu membabitkan pendakwah daripada luar negara kerana sebarang tindakan KDN berkenaan program tersebut dibuat berdasarkan nasihat daripada Jakim.

"Itu pegangan kita ... dan itu juga menjadi panduan kepada KDN, di mana agensi pelaksananya ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya, dan menambah pihaknya tidak dimaklumkan mengenai tajuk itu sebelum ia menjadi kontroversi.

Bagi mengelak insiden serupa berulang, beliau menyarankan penganjur program ceramah umum, khususnya yang melibatkan penceramah luar negara supaya memaklumkan berkenaan tajuk dan topik perbincangan kepada Jakim terlebih dahulu.

Berhubung tanggapan sesetengah pihak bahawa Dr Zakir itu sendiri punca kontroversi, Ahmad Zahid berkata semua pihak perlu berfikiran terbuka dan meraikannya atas nama majlis ilmu.

"Ini soal majlis ilmu, dan majlis seperti ini mesti diraikan asalkan ia bukannya Islam liberal atau Islam plural," katanya.

Sementara itu di MELAKA, Idris berkata kerajaan negeri tiada halangan bagi penganjuran syarahan Dr Zakir di UTeM.

"Saya sendiri mengenali Dr Zakir Naik sebagai penceramah yang cukup luas pengetahuan dan kepakaran dalam bidang agama, malah selain memberi pengetahuan beliau penggiat kebajikan dikenali dunia," katanya kepada pemberita.

Idris berkata beliau juga ditemui sekumpulan penganut agama bagi memohon beliau membatalkan program tersebut, namun menegaskan kepada kumpulan itu tiada apa yang perlu dibimbangkan sekiranya pegangan agama masing-masing kukuh.

-- BERNAMA