Khamis, Mac 31, 2016

DUA TAHUN BERLALU, APAKAH MISTERI MH370 HAMPIR TERUNGKAI

Dua tahun selepas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 hilang bersama 239 penumpang serta anak kapal dan di sebalik penemuan beberapa bahagian kapal terbang yang ada kaitan dengan Boeing 777 itu, apakah kita semakin hampir merungkai misteri kehilangannya?

Mungkin penemuan serpihan pesawat memberi sedikit harapan untuk merungkai misteri pesawat MH370 yang hilang sejak pertengahan tahun 2015.

Ianya bermula dengan penemuan sekeping bahagian sayap pesawat di pantai French Reunion Island di Lautan Hindi pada 29 Julai 2015.

Penyiasat Perancis mengesahkan bahawa serpihan itu, 'flaperon' secara rasminya dikenal pasti kepunyaan Boeing 777 yang hilang. Pada lewat Februari 2016, seorang peguam Amerika, Blaine Gibson menemui sekeping lagi serpihan dipercayai daripada pesawat itu di Mozambique.

Penemuan Gibson mendorong seorang remaja Afrika Selatan, Liam Lotter, 18, tampil dengan sekeping serpihan yang juga ditemuinya di Mozambique pada bulan Disember 2015.

Kedua-dua serpihan itu dihantar ke Australia untuk dikaji oleh Geoscience Australia dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) di premis mereka di Canberra.

Pada 24 Mac, Kementerian Pengangkutan Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa kedua-dua serpihan yang dijumpai di Mozambique itu hampir pasti daripada pesawat yang hilang.

Terkini, sekeping lagi serpihan dijumpai pada Isnin (28 Mac) di Afrika Selatan, dipercayai ada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang.

TERUSKAN PENCARIAN DI SELATAN LAUTAN HINDI

Bekas Ketua juruterbang MAS, Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussain apabila ditanya Bernama mengenai penemuan serpihan pesawat itu berkata penemuan itu menunjukkan pencarian perlu diteruskan di selatan Lautan Hindi.

"Penemuan serpihan selaras dengan model hanyutan dan sehingga ada maklumat baru yang mungkin menunjukkan di mana pesawat itu berakhir, pencarian perlu diteruskan di kawasan yang dibuat sekarang," tambahnya.

Nik Huzlan berharap pihak berkuasa akan melaksanakan kaedah yang lebih berkesan untuk mencari serpihan pesawat di kawasan itu.

Beliau mencadangkan pihak berkuasa mencatat serta mengenal pasti bahagian rangka pesawat yang boleh terapung, katalog serta mengambil gambar atau membuat grafik jelas serta taburan gambar di laman sesawang supaya mudah untuk orang memahaminya.

"Kemungkinan orang awam menemui dan mengabaikan kepingan serpihan amat tinggi kerana mereka tidak sedar ianya bahagian pesawat. "Ini jelas dalam kes remaja Afrika Selatan yang bercuti dengan keluarganya di Mozambique," katanya.

APA TANDA PENEMUAN?

Penemuan lebih banyak serpihan yang hampir pasti bahagian pesawat yang hilang menimbulkan persoalan apa yang berlaku ke atas kapal terbang itu sekarang?

Nik Huzlan menyatakan kebanyakan serpihan yang ditemui adalah dari rangka luar tetapi tidak ada yang datang dari bahagian dalam pesawat.

"Komponen luar kebanyakannya berat tetapi ada bahagian yang boleh terapung. Serpihan yang ditemui mempunyai paras mengapung yang tertentu dan ini membolehkan arus lautan membawanya jauh ke tempat di mana ia ditemui.

"Banyak bahagian sudah terdampar dan bertaburan di pinggir pantai dan hanya menunggu untuk ditemui.

"Banyak serpihan mungkin sudah sampai sehingga ke barat daya pinggir pantai Sumatra, Sri Lanka, Maldives, Diego Garcia, Madagascar dan pantai timur Afrika," jelasnya sambil menambah terdapat juga banyak pulau kecil dan atol yang mungkin memerangkap serpihan.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kuala Lumpur, Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berpendapat penemuan serpihan di kawasan yang berbeza menunjukkan beberapa bahagian kapal terbang mungkin bersepai sewaktu pesawat menyentuh air.

Malahan jika kapal terbang mendarat menyerong atau dalam lingkungan kelajuan meluncur, masih ada kecenderungan untuk beberapa bahagian (di ekor atau sayap) terputus dari fiuslaj.

"Bahagian ini mempunyai paras mengapung yang tinggi dan untuk boleh terapung berbatu-batu dari kawasan utama pesawat terhempas sementara fiuslajnya tenggelam dan tinggal di dasar laut akibat berat dan kurang daya mengapung," katanya.

Beliau juga bersetuju dengan Kapt Nik Huzlan bahawa lebih banyak serpihan akan ditemui di pantai timur Afrika selaras dengan bentuk hanyutan.

TAMBAH RANTAU AFRIKA DALAM MISI MENCARI

Mohd Harridon mencadangkan pasukan pencari perlu juga membuka tender kepada organisasi lain untuk memeriksa kawasan sekitar rantau Afrika supaya ada lebih banyak peluang menemui serpihan dari MH370.

Langkah ini, kata beliau akan mewujudkan satu lagi lokasi pencarian sebagai tambahan kepada kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi.

"Tender juga perlu dibuka kepada institusi akademi dan pihak ini akan diberi peranan untuk menghasilkan persamaan matematik (mathematical equation) yang menyeluruh.

"Ini akan mengambil kira semua data yang kita ada sekarang dan mengkajinya untuk memperkemaskan lagi pencarian di selatan Lautan Hindi.

"Matematik adalah bahasa sains dan boleh menjelaskan fenomena yang kompleks dan beberapa organisasi di dunia, sebagai contoh Jabatan Jenayah di Amerika Syarikat menggunakan matematik untuk menyelesaikan misteri jenayah yang rumit," katanya.

Pesawat MH370 dengan 239 orang di dalamnya hilang dari radar sewaktu penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Pada masa ini, usaha pencarian dijalankan di selatan Lautan Hindi di mana penerbangan MH370 dipercayai berakhir.

BERNAMA