Khamis, Ogos 23, 2018

MAHKAMAH TOLAK REMAN MUSA AMAN

KOTA KINABALU, 23 Ogos (Bernama) -- Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang sedang menjalani rawatan kesihatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur telah ditangkap pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din ketika mengesahkan penangkapan itu berkata Musa ditangkap kira-kira jam 10 pagi tadi.

“Betul, dia Musa) ditangkap jam 10 pagi. (Bagaimanapun, permohonan) Reman ditolak oleh Majistret,” katanya kepada Bernama.

Musa yang sebelum ini dilaporkan mendapat rawatan di London, pulang ke tanah air selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, jam 6.45 petang, pada 21 Ogos, dari Seletar, Singapura.

Musa, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga, dilaporkan meninggalkan negara ini ke London pada 16 Mei untuk menjalani rawatan perubatan di London.

500 PENERBANGAN AKAN TERJEJAS DI KLIA DARI 27 HINGGA 31 OGOS INI

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 500 penerbangan akan terjejas berikutan penutupan ruang udara sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selama lima hari bermula 27 Ogos untuk pertunjukan udara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pengangkutan berkata penerbangan yang terjejas termasuk yang akan tiba dan berlepas dari KLIA dan klia2 dalam tempoh tertentu bermula dari 27 hingga 31 Ogos antara jam 9 pagi hingga 10.30 pagi, bagi tujuan raptai, latihan dan “flypast” sebenar.

Berikutan kedudukan Putrajaya yang begitu hampir dengan KLIA dan klia2, Kementerian Pengangkutan berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah diarahkan untuk menutup ruang udara di sekitar KLIA dan klia2 serta kawasan berhampiran dengannya.

“Penutupan sementara ruang udara KLIA dan klia2 adalah penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan flypast Hari Kebangsaan 2018, dan paling utama adalah untuk memastikan keselamatan ruang udara dan peramalan pergerakan pesawat berjadual di KLIA dan klia2.

“Oleh yang demikian, Kementerian Pengangkutan dan CAAM ingin mengingatkan syarikat penerbangan supaya mengemaskini maklumat penerbangan yang terjejas dan memaklumkan kepada penumpang terlebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos akan menampilkan pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan beberapa agensi penguatkuasaan yang lain.