Khamis, September 03, 2015

TUJUH ORANG CINA BUTA DIPERLUKAN SEGERA

Sesiapa yang menganggur di Kelantan sekarang boleh memohon jawatan cina buta kerana perkahwinan tujuh  bekas pemimpin PAS disahkan terbubar akibat  lafaz baiah dengan PAS.

 Ketua Hakim Syarie Kelantan,  Daud Muhammad  mengesahkan perkahwinan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli dengan isterinya gugur talak tiga kerana melanggar taklik yang pernah dilafazkan dalam bai’ah Pas negeri itu.

Pada masa sama, beliau berkata, perkahwinan itu tidak boleh dirujuk semula melainkan isteri kepada wakil rakyat tersebut berkahwin dengan mana-mana individu dan bercerai.

“Kalau tengok kandungan dalam bai’ah Kelantan, sah jatuh talak tiga (perkahwinan Mohd. Hatta). Kedua-dua pasangan itu juga tidak boleh lagi tinggal bersama kerana bukan lagi suami isteri.

“Bagi membolehkan pasangan itu rujuk, bekas isteri kepada wakil rakyat tersebut perlu berkahwin dengan sesiapa, bercerai dan baharulah boleh berkahwin semula dengan Mohd. Hatta,” katanya.

Semalam Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan sebanyak 22 bekas pemimpinnya termasuk tujuh wakil rakyat bukan lagi ahli parti itu sebaik sahaja mereka dilaporkan berada dalam barisan kepemimpinan Parti Pekerja.

Mohd. Hatta yang pernah melafazkan bai’ah cerai talak tiga merupakan satu-satunya wakil rakyat negeri ini yang terlibat dalam senarai itu.

Dalam bai’ah ter­­sebut, setiap wakil rakyat Pas di ne­geri ini yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.

Perkara itu terkandung dalam lafaz bai’ah atau sumpah taat setia yang dibuat setiap wakil rakyat Pas di negeri ini sejak 2004.

Pada masa sama, Mufti Kelantan,  Mohamad Shukri Mohamad turut menasihatkan mana-mana wakil rakyat yang melanggar ba’iah tersebut supaya merujuk status perkahwinan di Mahkamah Syariah berikutan terdapat bai’ah cerai talak tiga yang dilafazkan mereka sebelum ini.

Sementara itu, Daud berkata, setakat ini Mohd. Hatta masih belum mendaftar mengenai status perkahwinan ter­­sebut di Mahkamah Syariah.

“Mohd. Hatta masih belum datang merujuk mengenai status perkahwinannya di mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Mursyidul Am Pas,  Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar menyeru kepada Mohd. Hatta supaya segera merujuk kepada Mahkamah Syariah mengenai status perkahwinannya.

Katanya, bekas Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu dengan jelas telah melanggar bai’ah yang pernah dilafazkannya dengan menyertai parti lain tanpa meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

“Kita telah membuat keputusan dan menghantar surat berserta lampiran bai'ah yang pernah dilafazkannya kepada Mohd. Hatta.

“Dari segi hukum, lafaz taklik talak tiga telah terjatuh dan itu pandangan yang diberikan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan,” katanya.

Namun demikian Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli menafikan dakwaan banyak pihak termasuk daripada Menteri Besar, Ahmad Yakob bahawa perkahwinannya terbubar dengan talak tiga kerana melanggar bai’ah yang pernah dilafazkannya sebelum menjadi calon Pas pada pilihan raya umum yang lalu.

Mohd. Hatta
Memetik laporan sebuah portal propembangkang di sini hari ini, Mohd. Hatta berkata, dakwaan tersebut tidak betul sama sekali, bagaimanapun beliau enggan memberi penjelasan lanjut.

“Tak betul semua tu. Dah banyak penulisan orang mengenai perkara itu (bai’ah). Biarlah, saya tak nak komen apa-apa,” katanya.

Pada masa sama, bekas Pengarah Pilihan Raya Pas itu menempelak Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas kerana mencampuri urusan keluarganya.

“Terima kasih dekat dia (Ahmad) kerana mengaturkan hidup saya. Tak ada apa pun. Biarlah. Dia tak ada urusan dengan keluarga saya,” katanya.

Nampak sangat pemimpin PAS main-main dalam soal baiah ini. Kalau dah ikrar seperti itu, memang secara automatik perkahwinan mereka terbubar.

Justru itu jika Mohd Hatta mahu menikahi semula bininya maka beliau kena upah orang harapannya untuk menjadi cina buta. Kalau orang itu tidak mahu ceraikan janda Mohd Hatta, maka melepaslah Mohd Hatta. jadi orang harapannya itu kena ceraikan janda Dr Mohd Hatta selepas meniduri jandanya itu. Siapa yang mahu jadi cina buta, hubungi segera Dr Mohd Hatta.

JANGAN PILIH KASIH, NAJIB

Bangganya kita melihat PM, Najib  Razak  turun padang untuk melihat sendiri permasalahan yang dihadapi penduduk di Perumahan Awam Seri Labuan, Bandar Tun Razak, di Kuala Lumpur semalam.

Menurut perdana menteri, tinjauan terhadap keadaan persekitaran di kawasan perumahan awam itu dibuat setelah pihaknya menerima laporan mengenai beberapa isu di kawasan itu.

"Setelah meninjau keadaan sekeliling dan masalah yang dihadapi, saya mahu beberapa perkara dilaksanakan," katanya dalam catatan terbaru di blognya, NajibRazak.com.

Menurut Najib, beliau mengarahkan kelengkapan awam di Madrasah Al-Aula seperti pendingin hawa, kipas siling serta sistem paip dan saliran diganti atau diperbaiki dengan kadar segera.

Beberapa unit pendingin hawa di Madrasah Al-Aula juga akan ditambah untuk keselesaan jemaah, katanya.

"Lantai gelanggang futsal serta jaring di keliling gelanggang dan tiang gol diperbaiki atau diganti, mengecat kembali Sekolah Rendah Agama Al-Farabi manakala perabot seperti kerusi dan meja pelajar di Sekolah Rendah Agama Al-Farabi diganti baharu selain pendingin hawa dipasang.

"Insya-Allah, semua ini akan membolehkan penduduk dan anak-anak kecil di Perumahan Awam Seri Labuan, Bandar Tun Razak hidup dalam keadaan lebih selesa," tambah beliau.

Kalau benar PM berjiwa rakyat, kita harap selepas ini Najib tidak pilih kasih kerana perumahan yang dilawati itu adalah terletak dalam cawangan Umno yang diketuai rakan karibnya sendiri, Zaharin Mohd Yasin. Sepatutnya beliau turun padang ke kawasan yang beliau tidak kenal siapa ketua cawangan Umno di situ. Baru ahli Umno tabik kepada Najib kerana presiden Umno turun padang secara mengejut tanpa memberitahu pegawai DBKL.

Najib sepatutnya mencontohi Saidina Umar Alkhatab yang meninjau keadaan rakyat di waktu malam tanpa membawa pegawainya dan rakyat sendiri tidak tahu bahawa yang memikul gandum itu adalah seorang khalifah sendiri.


Siapa yang tidak kenal dengan Zaharin bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak itu. Selepas bermasalah dengan ketua bahagian, Zaharin menjadi setiausaha kerja BN Bandar Tun Razak pula.

BN Bandar Tun Razak merupakan pejabat parlimen BN yang paing hebat di Malaysia kerana memiliki bangunan sendiri. Itu kerana inisiatif Zaharin yang menjadi Setiausaha Kerja BN yang mencari dana daripada PM selaku Pengerusi BN Malaysia.

Orang tak hairan kalau pejabat BN Bandar Tun Razak dapat hidup kerana keakraban Najib dengan Zaharin. Najib yang membantu dana pejabat tersebut. Mereka berkawan sejak Najib menjadi Exco Pemuda Umno Malaysia pada tahun 1978 lagi. Walaupun Zaharin bukan Exco pemuda Umno Malaysia tetapi beliau adalah ahli jawatankuasa biro buruh dan antarabangsa pemuda Umno Malaysia.

Sebut nama Zaharin, ketua bahagian mana yang tidak kenal Zaharin. Semua ahli parlimen kenal Zaharin. Semua menteri kenal zaharin. kalau orang politik itu tidak kenal Zaharin, itu bermakna orang politik itu masih berhingus dalam politik.

Surat sokongan Zaharin kepada Datuk Bandar memang laku. kalau rakyat nak minta rumah flet DBKL dengan Datuk Bandar, surat sokongannya laku asalkan pemohon itu adalah pengundi dalam parlimen bandar Tun razak. Zaharin tolong semua orang tidak kira orang itu orang melayu, cina atau India.

Sepatutnya sudah lama beliau dilantik senator mewakili Wilayah persekutuan. Beliau bekerja untuk rakyat dan tidak ada kepentingan peribadi. kalau beliau mahu kaya, sudah lama beliau jadi jutawan kerana semua menteri adalah kawan beliau. tetapi beliau selalu beritahu saya, "Zabidi, umur aku dah 63 tahun tapi aku tak ada penyakit kronik kerana aku tidak makan rasuah, tidak curi hak orang".

Itulah kelebihan Zaharin orang yang berani memaki menteri secara terbuka dan juga melalui Facebooknya. Beliau sudah biasa dipukul. Sebagai pejuang rakyat beliau tidak gentar dipukul kerana beliau tahu perjuangannya demi bangsa, agama dan negara tanpa memikirkan kepentingan peribadinya.