Sabtu, Mei 04, 2019

MOHAMAD FUZI AKHIRNYA TINGGALKAN PDRM SELEPAS 35 TAHUN

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Suasana meriah namun sayu, mengakhiri persaraan Ketua Polis Negara ke-11, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib hari ini.

Beliau yang menabur bakti selama 35 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) diraikan pada Majlis Paluan Berundur, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini dihadiri lebih 500 pegawai kanan pengurusan tertinggi termasuk anggota keluarga.

Majlis yang bermula pada pukul 5.00 petang itu, dimeriahkan dengan persembahan Pancaragam Pusat PDRM yang mengalunkan beberapa buah lagu serta deklamasi sajak selama sejam, sebelum majlis paluan berundur dimulakan.

Mohamad Fuzi juga turut diberikan penghormatan memimpin pancaragam itu, sebelum menaiki kenderaan istiadat polis bersama ahli keluarganya dan meninggalkan acara itu.

Turut hadir Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Mohamad Fuzi dilahirkan pada 4 Mei 1959 di Parit, Perak mula memasuki perkhidmatan PDRM sebagai Kadet ASP pada 8 Jan 1984.

Antara jawatan penting yang pernah disandangnya ialah Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dari 1998 hingga 2005; Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman dari 2007 hingga 2009; Pengarah Pasukan Petugas Khas (Counter Terrorism) Bukit Aman dari 2009 hingga 2014; dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dari 2015 hingga 2017.

-- BERNAMA