Isnin, Januari 11, 2016

MAMPUKAH BARU BIAN TUMBANGKAN ADENAN SATEM?



Pilihanraya negeri Sarawak kali ini agak menarik kerana calon Ketua Menteri bukannya pilihan kerajaan pusat. Dahulu Kuala Lumpur yang menghantar Rahman Yaacub dan Taib Mahmud mengetuai kerajaan negeri tetapi pilihan Adenan Satem mengejutkan kerana Kuala Lumpur lebih menyenangi Abang Johari.

Namun demikian untuk survival kerajaan pusat, Kuala Lumpur masih memerlukan Adenan Satem walaupun beliau agak melampau mahu sekolah di Sarawak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar yang dilihat itu adalah asas dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Adenan mengatakan Kuala Lumpur bodoh tetapi pemimpin pusat berdiam diri kerana kemenangan BN lebih penting di Sarawak daripada menjawab keceluparan mulut Adenan. Rakyat Sarawak melihat Adenan lebih berani dari Taib Mahmud dalam mengembalikan kuasa autonomi Sarawak.

Mampukah calon Ketua Menteri Pakatan Harapan Baru Bian menumbangkan kerajaan BN Sarawak? Bagi rakyat Sarawak isu nasional yang dimainkan oleh pemimpin Pakatan Harapan seperti isu 1MDB dan isu derma RM2.6 bilion tidak ada kena mengena dengan rakyat Sarawak.

Ketegasan Adenan Satem jika Najib Razak bersalah dalam isu 1MDB, Sarawak akan menarik sokongan kepada BN Pusat menunjukkan Adenan lebih popular dari Pakatan Harapan. Rakyat Sarawak lebih suka memenangkan BN Sarawak daripada memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan yang mana DAP, PKR dan Amanah merupakan parti yang berasal dari Semenanjung juga. Sebaliknya mengekalkan BN Sarawak bermakna mengekalkan parti yang bertapak di Sarawak.

Populariti Adenan dalam kalangan rakyat Sarawak dengan gaya bersahajanya, disenangi ramai.

Malah ungkapan Ooo Haa dan You, You yang menjadi trademark beliau, kini menjadi ikutan pelbagai lapisan masyarakat.

Kali terakhir pilihan raya Sarawak diadakan pada 16 April 2011, dengan BN di bawah kepemimpinan Ketua Menteri ketika itu, Abdul Taib Mahmud menguasai majoriti 55 daripada 71 kerusi dipertandingkan - tewas 15 kerusi kepada pakatan pembangkang, masing-masing 13 (DAP), 2 (PKR) dan 1 (Bebas).

Untuk pilihan raya negeri kali ini, 11 kawasan DUN baharu dipertandingkan, menjadikan 82 kerusi DUN, terbanyak berbanding negeri lain.

Sebelas kerusi baharu itu ialah DUN Batu Kitang, Stakan, Serembu, Triboh, Gedong, Kabong, Telian, Selirik, Murum, Samalaju dan Long Lama.

Daripada 11 kerusi baharu itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tonggak kekuatan BN Sarawak dijangka diagihkan sekurang-kurangnya lima kerusi. Jumlah pengundi berdaftar di Sarawak setakat suku tahun ketiga (ST3) 2015 adalah 1,131,956 orang.

Dalam dua pilihan raya negeri lalu, PBB menang semua 35 kerusi yang ditandingi dan dijangka terus mengulangi kecemerlangan itu kali ini.

Andai PBB yang kini diterajui Adenan sekali lagi menyapu bersih semua kerusi DUN ditandingi, bermakna PBB mendapat 40 kerusi, iaitu kurang dua kerusi meraih majoriti mudah, untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.

Adenan sebelum ini menyatakan kesediaan BN menghadapi pilihan raya itu tanpa rasa gentar terhadap saingan masing-masing.

“Bukan baru kini kita berpilihan raya, menang juga kita. Mana-mana pun kita menang.“Kita akan menang kalau kita tidak banyak cerita sama sendiri, gaduh sama diri, gaduh itu gaduh ini. Saya ni menyindir, ada parti di Malaya (Semenanjung), tak henti-henti kelahi.

Ikut PBB, tidak ada kelahi (gaduh) banyak,” katanya. PBB bagaimanapun menaruh keyakinan kepada konsep perkongsian kuasa dan sebab itulah ia bertahan kukuh sepanjang masa.

Untuk pilihan raya negeri Sarawak ke-11 kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah memperoleh RM75 juta daripada bajet keseluruhan RM181 juta yang dimohon daripada kerajaan Pusat.

Seramai 21,000 petugas SPR turut dikerahkan untuk melancarkan proses pilihan raya itu nanti dari peringkat pegawai pengurus sehinggalah tukang kebun untuk membersihkan kawasan peti undi.

Pengerusi SPR, Abdul Aziz Mohd. Yusof memberitahu, pihaknya sudah `turun naik’ Sarawak sejak tahun lalu lagi.

Kini, cuma menunggu tarikh pembubaran DUN negeri sahaja yang dijangka bila-bila masa dari sekarang.

“Antara keperluan logistik yang ditambah termasuklah 11 helikopter, menjadikan 33 kesemuanya untuk membawa kertas dan peti undi ke kawasan pedalaman dan terpencil.

“Fokus utama SPR adalah kawasan luar bandar, ditambah dengan 11 kerusi baharu sebahagian besar terletak di luar bandar, kami cuma tunggu pengumuman bubar DUN daripada Ketua Menteri, Adenan Satem,” katanya.