Khamis, November 16, 2017

50 SYARIKAT ELAK BAYAR CUKAI SEBANYAK RM1 BILION

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Lebih 50 syarikat koporat terkemuka dalam sektor telekomunikasi, hartanah dan perladangan di negara ini dikesan mengelak daripada membayar cukai, dakwa Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Irmohizam (BN-Kuala Selangor) berkata lebih mengejutkan lagi, 20 daripada syarikat terbabit yang telah dikenal pasti dan dinilai, memiliki cukai sebenar yang tidak dibayar berjumlah RM1 bilion.

"Persoalannya, sekiranya syarikat-syarikat korporat gergasi yang dimiliki jutawan turut terlibat dalam pengelakan cukai ini, apatah lagi syarikat-syarikat kecil yang turut terlibat dalam hal ini.

"Justeru itu, saya ingin bertanya apakah mekanisme terbaik yang sedang dirangka oleh pihak kementerian dalam menangani ketirisan pengelak cukai dan sejauh manakah pemantauan dibuat bagi mengatasi masalah ini?," katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 di peringkat jawatan kuasa Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu Irmohizam turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada 24 syarikat yang menerima anugerah tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada CSR Malaysia di atas pembabitan aktif mereka membantu masyarakat menerusi pelbagai bentuk bantuan.