Khamis, Disember 18, 2008

MENTERI PELAJARAN MUDAH MENANG


Mulai keluaran ini, saya ingin menyorot calon-calon Naib Presiden UMNO yang akan bertanding pada Mac depan. Saya mulakan dengan Hishamuddin Hussein yang mendapat pencalonan tertinggi, 152 pencalonan.


Sebagai calon favourite, beliau ada peluang untuk menang kerana beliau adalah Menteri Pelajaran. Dalam sejarah pertandingan Naib Presiden UMNO, Menteri Pelajaran tidak pernah kalah.


Pada tahun 1972, Dr. Mahathir Mohamad kalah dalam pertandingan naib presiden itu tetapi setelah dilantik Menteri Pelajaran pada tahun 1974, beliau menang dalam pertandingan tersebut pada tahun 1975. Pada tahun 1976, Musa Hitam dilantik Menteri Pelajaran. Dua tahun kemudian beliau menang Naib Presiden UMNO.


Pada tahun 1986, Anwar Ibrahim dilantik Menteri Pelajaran. Setahun kemudian beliau dipilih naib presiden. Sesiapa sahaja yang dilantik Menteri Pelajaran, mudah menang jawatan Naib Presiden UMNO.Sebab itu selepas itu Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri pernah memberikan kepada ahli parlimen bukan UMNO, Dr. Sulaiman Daud jawatan Menteri Pelajaran. Malah beliau pernah melantik tokoh akademik, Musa Mohamad sebagai Menteri Pelajaran kerana tidak mahu jawatan itu dipolitikkan.


Selepas Pak Lah menerajui negara pada tahun 2003, Pak Lah melantik orang politik semula sebagai Menteri Pelajaran selepas pilihan raya umum 2004. Adakah Hishamuddin akan mengulangi kejayaan bekas-bekas Menteri Pelajaran, Dr. Mahathir, Musa dan Anwar? Kita tunggulah Mac ini.


Meneliti pula sejarah politik Hishamuddin, ia agak menarik. Beliau aktif dalam politik selepas ayahnya, Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga meninggal dunia. Pada tahun 1993, beliau, seorang peguam dibawa oleh Ghani Othman untuk melawan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, arwah Jamaluddin Abu Bakar. Ghani ketika itu Menteri Belia dan Sukan dan Ketua UMNO Bahagian Ledang.


Ketika itu politik wang sudah ada tetapi tidak sehebat sekarang. Seorang rakan yang berkempen untuk arwah Jamaluddin pernah berkata, arwah beri RM50 kepada setiap perwakilan tetapi Hishamuddin beri RM500, maka menanglah Hishamuddin sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang. Sama ada dakwaan ini betul atau tidak, wallahukalam.


Walaupun Tangkak bukan kampungnya, tetapi Hishamuddin diterima menjadi ketua pemuda Ledang. Pada tahun yang sama beliau telah menang Exco Pemuda UMNO mendapat undi tertinggi.


Pada tahun 1996, beliau merebut kerusi naib ketua pemuda. Kebetulan kerusi itu kosong. Ia jadi rebutan antara beliau dengan Exco Kerajaan Selangor, Fatah Iskandar. Beliau menang. Ketika itu beliau sudah menjadi ahli parlimen sejak tahun 1995 dan Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Maknanya Hishamuddin pernah bekerja di bawah Rafidah Aziz.


Pada tahun 1995, saya sering ke parlimen dan saya dapati cara beliau menjawab soalan tambahan agak hebat juga. Ada ahli parlimen beritahu saya bahawa soalan tambahan itu semua sudah dirancang dan bila dua tiga ahli parlimen yang bangun bertanya soalan tambahan, Hishamuddin sudah bersedia untuk menjawabnya. Saya tidak pasti sejauh mana benarnya dakwaan ahli parlimen ini.


Selepas beliau menang naib ketua pemuda, beliau dilantik Timbalan Menteri Perusahaan Utama. Beliau bekerja di bawah Dr. Lim Kheng Yaik. Selepas pilihan raya umum 1999, Dr. Mahathir melantiknya sebagai Menteri Belia dan Sukan. Ketika itu beliau memangku jawatan ketua pemuda selepas Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya.


Pada tahun 2000, beliau menang tanpa bertanding sebagai ketua pemuda. Pada tahun 2004, sekali lagi beliau menang ketua pemuda tanpa bertanding. Selepas dua kali menang tanpa bertanding sebagai ketua pemuda, inilah kali pertama beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO dalam pertandingan lapan penjuru. Dapatkah beliau menewaskan tujuh orang calon lain seperti Syed Hamid Albar, Khaled Nordin, Dr. Rais Yatim, Isa Samad, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Shafie Afdal dan Dr. Jamaluddin Jarjis?


Hishamuddin tidak pernah tahu sejauh mana undi popularnya di dalam barisan ahli majlis tertinggi UMNO sedangkan tujuh calon Naib Presiden lain tahu sejauh mana mereka popular di kalangan 2,500 orang perwakilan.Oleh itu Hishamuddin perlu terjemahkan pencalonan kepada pengundian sebenar pada Mac ini.


Pernah berlaku Ghani Othman mendapat pencalonan tertinggi untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO tetapi tewas bila dikira undi. Semoga Hishamuddin tidak menerima nasib yang sama seperti Ghani.

MUHYIDDIN SUDAH JADI TIMBALAN PRESIDEN UMNO


Walaupun para perwakilan UMNO belum lagi memilih Timbalan Presiden UMNO yang baru, kerana pengundian akan diadakan pada bulan Mac 2009, tetapi hari ini Utusan Malaysia sudah melantik Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO.


Dalam Utusan Malaysia hari ini pada muka surat 26 dalam berita "Tabung Bukit Antarabangsa dapat sambutan", Utusan Malaysia menulis pada para ketiga, "Pengerusi tabung itu, Datuk Ismail Kijo berkata antara penyumbang utama ialah Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang menyumbangkan RM50 ribu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ali Rustam (RM40 ribu) dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (RM30 ribu).


Awal betul Utusan Malaysia melantik Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.