Memaparkan catatan dengan label hishamuddin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hishamuddin. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 08, 2018

HISHAMUDDIN TAK YAKIN KALAHKAN ZAHID PUNCA BELIAU TIDAK BERTANDING SEBARANG JAWATAN

JOHOR BAHRU, 8 Jun (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti kali ini.

Katanya keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau bekerja lebih keras membantu membangunkan semula UMNO bermula dari Johor selepas parti itu mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu.

"Karier politik saya tidak akan berakhir, saya telah terlibat dalam politik sepanjang hidup saya dan saya tidak akan keluar parti.

"Saya harap ini (langkah tidak bertanding) disedari yang lain-lain bahawa jawatan bukan perkara penting dalam perjuangan kita untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut bekas Menteri Pertahanan itu, beliau telah menyuarakan keputusan tersebut kepada Pemangku Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan kedua-duanya memahami serta menghormati keputusan beliau.

Ulasan saya, nampaknya Hishamuddin tidak yakin dapat mengalahkan Datuk Seri Zahid Hamidi bagi jawatan Presiden Umno yang menyebabkan beliau tidak bertanding sebarang jawatan.

Dalam suasana ahli Umno mahu perubahan, beliau juga enggan bertanding jawatan timbalan presiden Umno malah mempertahankan jawatan naib presiden Umno.

Biarlah beliau berehat sepenggal kerana pemilihan 2021 lebih penting dari pemilihan 2018. Berundur setapak ke belakang bukan bermakna beliau pengecut tetapi beliau akan buat comeback pada pemilihan 2021 nanti.

Selasa, Mei 22, 2018

HISHAMUDDIN LAWAN DR ZAHID?

JOHOR BAHRU, 21 Mei (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini diminta mempertimbangkan untuk bertanding bagi jawatan presiden parti itu pada pemilihan akan datang.

Cadangan itu disuarakan Ketua UMNO Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang yang menegaskan itu adalah pendapat peribadi beliau dan beberapa ketua bahagian di negeri ini.

"Kami telah pun ada kata sepakat walaupun ini pendapat peribadi kami.

"Kami minta sangat kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mempertimbangkan supaya bertanding bagi jawatan Presiden UMNO pada pemilihan akan datang," katanya.

Maulizan ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor yang dipengerusikan oleh ketuanya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ulasan saya, biar ahli Umno menentukan siapa yang layak mengetuai Umno selepas BN gagal mempertahankan kerajaan pusat. Mampukah Hishamuddin mengalahkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi? Umno ditubuhkan di Johor tetapi tidak semestinya orang Johor yang mengetuai Umno. Apatah lagi Johor kubu kuat Umno selama ini telah hancur. BN hanya memenangi enam kerusi dari 26 kerusi parlimen iaitu Parit Sulong, Mersing, Kota Tinggi, Semberong, Pontian dan Ayer Hitam (MCA).

Dari segi akar umbi, Zahid memang kuat kerana majoriti ketua bahagian adalah orang Zahid tetapi dalam suasana BN bukan lagi kerajaan pusat maka ramai ketua bahagian tidak sanggup lagi mengetuai bahagian. Maka bukan mudah untuk Zahid mengalahkan Hishamuddin yang dikatakan akan beregu dengan Khairy Jamaluddin. 

Umno dikatakan mahu pembaharuan maka mereka berhujah Najib  (sudah berundur) dan Zahid perlu berundur serentak. Ada pula pendapat yang mengatakan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah wajar ditonjolkan sebagai presiden baharu Umno.

Untuk berlawan dengan Dr Mahathir yang mengetuai PH, mereka berhujah Tengku Razaleigh yang lebih sesuai. Apatah lagi jika Hishamuddin jadi Presiden Umno, mampukah Hishamuddin menumbangkan Dr Mahathir? Najib yang sudah jadi PM selama sembilan tahun boleh dikalahkan oleh Dr Mahathir, apatlah lagi Hishamuddin yang masih berhingus.

Oleh itu Umno perlu memilih presiden yang benar benar berwibawa untuk tundukkan Dr Mahathir.

Isnin, April 09, 2018

DAKWAAN RAFIDAH TIDAK BENAR

KUCHING, 9 April (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan dakwaan dibangkitkan oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz berhubung tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah tidak benar sama sekali.

"Setakat hari ini tiada sebarang perkembangan mengenai perkara yang berkenaan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan tersebut selepas merasmikan Program Jelajah Perkasa Perwira Kuching 1 Divisyen di Kem Muara Tuang di sini, hari ini.

Dalam dakwaan tersebut, Rafidah menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku menteri pertahanan pada tahun 2008 telah mengesyorkan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah ATM kepada sebuah syarikat milik tiga individu dan telahpun diluluskan serta dilaksanakan.

-- BERNAMA

Ahad, April 16, 2017

TAK PERLU POLITIKKAN PERLANTIKAN HISHAMUDDIN


oleh SHAHBUDIN EMBUN
(sudah tersiar dalam Berita Harian)

Sebaik sahaja perlantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas Tugas Khas diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak , maka bermulalah pemikiran pihak pembangkang yang begitu licik dan  kreatif dalam membuat andaian yang sangat negatif.Golongan ini terus membuat persepsi bahawa kedudukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan goyah dengan perlantikan tersebut.

Satu demi satu teori yang dikemukakan dan semuanya mempunyai agenda yang sama iaitu ingin melihat kombinasi mantap Najib dan timbalannya Zahid Hamidi, kononnya berada dalam keadaan yang sangat kritikal.Ada tohmahan yang menyatakan usaha ini merupakan satu laluan kepada Hishammuddin untuk terus maju ke depan, dan pada masa yang sama menyisihkan Zahid Hamidi. Mereka yang membuat andaian seperti ini begitu yakin terdapatnya pergeseran antara Najib dan Zahid Hamidi.

Perlu diingatkan bahawa permainan andaian , persepsi dan melontar fitnah seperti ini bukanlah sesuatu yang baru di negara kita. Najib dan Zahid Hamidi sendiri pernah menjadi mangsa dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Walaupun semua isu yang dikaitkan dengan fitnah telah dijelaskan , namun pihak pembangkang terus menggunakan isu-isu ini untuk berlagak kononnya menjadi wira negara.

Dalam permainan bolasepak, pertukaran taktik oleh jurulatih atau pengurus ketika berlangsungnya perlawanan merupakan sesuatu yang biasa. Mungkin tidak tepat untuk membandingkan apa yang berlaku di dalam padang dengan urusan pentadbiran negara .Namun apa yang dilakukan oleh Najib sebenarnya ialah untuk melicinkan lagi barisan kepimpinan yang mentadbir negara.

Mengapa isu ini dipolitikkan sehingga menimbulkan pelbagai andaian dan persepsi yang negatif.

Dalam hal ini, setiap langkah yang dibuat oleh Najib dan Zahid Hamidi akan diteliti oleh pihak musuh .Dan  walaupun langkah yang diambil itu merupakan sesuatu yang positif, namun di mata pembangkang,  akan terus membuat kesimpulan bahawa langkah ini sebenarnya menggambarkan yang gandingan Najib dan Zahid sedang mengalami masalah.

Begitulah terdesaknya pihak pembangkang yang semakin hari semakin ketandusan idea untuk menyerang kepimpinan Najib  dan dibantu oleh Zahid Hamidi yang sudah terbukti begitu berkesan dalam mentadbir negara ini.

Perlu diingatkan juga bahawa Zahid Hamidi bukan sehari dua ini mengenal Najib. Hubungan kerja antara Zahid Hamidi dengan Najib sudah lama terjalin kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Najib semasa Najib memegang jawatan sebagai  Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Pertahanan iaitu dari tahun 1986 sehingga 1993. Itu sebabnya juga kesetiaan Zahid Hamidi jangan dipersoalkan.

Sekali lagi diingatkan bahawa apa yang penting isu ini jangan dipolitikkan. Bahkan Hishammuddin telah menegaskan bahawa Zahid Hamidi juga telah membuat kenyataan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai pelantikan itu. Bahkan Hishammuddin menjelaskan  lagi bahawa pelantikannya itu merupakan peluang untuk bersama Zahid Hamidi  membantu Perdana Menteri  mentadbir negara dengan lebih berkesan.

Sebagaimana yang dijelaskan, pihak pembangkang akan melihat isu ini  dari perspektif yang negatif. Sebenarnya musuh UMNO dan Barisan Nasional begitu bimbang melihat pertukaran taktikal ini akan mematikan langkah mereka. Itu sebabnya isu ini dipolitikkan dengan sewenang-wenangnya agar rakyat terpedaya dengan fitnah yang akan mereka lemparkan.

Biarkan pihak pembangkang bermain dengan permainan mereka.Biarkan tohmahan dan fitnah menjadi senjata utama mereka untuk menyerang. Apa yang penting gandingan kepimpinan yang ada sekarang perlu terus disokong agar terus dapat memberikan yang terbaik kepada rakyat Malaysia amnya.

Khamis, April 13, 2017

UMNO MASIH PARTI BANGSAWAN?

KUALA LUMPUR: Perlantikan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai menteri tugas tugas khas di jabatan perdana menteri semalam memeranjatkan semua pihak. Kenapa beri portfolio tambahan kepada Hishamuddin? Bukankah beliau sudah jadi menteri pertahanan?

Biasanya yang ada dua porfolio adalah PM dan TPM. PM, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kementerian kewangan manakala TPM, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan kementerian dalam negeri. Apa istimewanya hishamuddin sampai dapat dua jawatan?

Adakah Hishamuddin setaraf dengan TPM maka beliau perlu ada dua jawatan?  Kenapa tak lantik beliau menteri tugas tugas khas sahaja manakala kementerianan pertahanan diberi kepada orang baru dalam rombakan kecil kabinet.

Adakah ini bermakna Najib mahu Hishamuddin menggantikannya? Najib tak tergamak memecat Zahid sebagai TPM kerana Zahid sudah banyak buat kesalahan. kesalahan pertama, beliau umum kemasukan 1.5 juta pendatang dari Bangladesh yang menyebabkan Najib membatalkan program tersebut. Kedua, Zahid mengumumkan di KT kerajaan ambilalih pembentangan RUU355 di parlimen yang menyebabkan Dewan tertinggi BN menolaknya. Ketiga, Zahid tidak dapat berucap dalam Bahasa Inggeris dengan fasih di PBB yang menyebabkan imej Malaysia jatuh di mata dunia.

Tiga kesalahan ini boleh menyebabkan Najib memecat Zahid tapi Najib enggan sebaliknya meletak Hishamudin setaraf dengan Zahid di JPM. Ia isyarat jelas bahawa Zahid bukan pengganti Najib sebaliknya Hishamuddin.

Jika Hishamuddin menjadi PM baharu ia mengesahkan bahawa Umno masih parti bangsawan. Selepas Tun razak, Umno dipimpin oleh Tun Hussein Onn. Selepas Najib, Umno bakal dipimpin oleh Hishamuddin. Oleh itu orang luar macam Musa Hitam, Ghafar baba, Muhyiddin yasin dan zahid Hamidi jangan berangan jadi PM.

Soal Zahid lebih popular dari Hishamuddin tidak timbul kerana bila Hishamuddin jadi PM, dengan kedudukannya nanti ia memberi banyak kelebihan kepada beliau. Tun Dr Mahathir begitu hebat bila jadi PM selama 22 tahun tetapi apabila beliau tak jadi PM, nak jadi perwakilan G7 dari Kubang Pasu pun gagal. Itulah akibat bila tidak ada kuasa.

Malah Dr Mahathir jadi PM di saat saat Tengku Razaleigh Hamzah dan Ghafar Baba lebih popular dari Dr Mahathir di kalangan perwakilan Umno. Umno yang baru reda selepas pemecatan Muhyiddin Yasin dari Umno akan bertambah parah jika Zahid mengamuk. tetapi Zahid orang agama. beliau bukan jenis merajuk. Beliau akan buat kerja seperti biasa selagi dikehendaki oleh najib. Zahid akan patuh kepada Najib jika benar Najib mahu Hishamuddin menggantikan beliau.

Zahid menyokong penuh perlantikna Hishamuddin manakala Hishamuddin tidak mahu media melaga-lagakan beliau dengan zahid. Zahid kena terima hakikat bahawa beliau tidak akan jadi PM kerana hanya orang PJK sahaja yang boleh jadi PM (Pahang, Johor, kedah) seperti mana berlaku kepada Tunku Abdul rahman, Razak, Hussein, Mahathir, najib dan Hishamuddin kecuali Pak Lah (orang Pulau Pinang). Bergolakkah lagi Umno kali ini? Sama sama kita tunggu

Sabtu, Oktober 18, 2014

HISHAMUDDIN GANTI MUHYIDDIN

Pagi ini Ustaz Yunus yang sudah lama tidak hubungi saya telah menelefon saya pada jam 8.00 pagi. Walaupun hari Sabtu tidak bekerja, saya terpaksa turun ke KL sejauh 60 km dari Bandar Seri Putera (BSP). Ustaz Yunus dari Puchong menunggu saya di surau stesen KTM Putra. Dia ingat saya masih duduk di Batu Caves sedangkan sejak awal tahun ini saya sudah pindah ke BSP. Seperti biasa anak murid Abu Ya Ustaz Ashaari Darul Arqam menceritakan kisahnya membawa pulang MH370 dari alam ghaib. menurut beliau, MH370 tidak terhempas tetapi disembunyikan oleh jin. Malah dia tunjuk youtube dari Sepanyol yang berjaya mengesan radar MH370. Dalam radar itu nampak dua objek yang mengepung MH370. katanya, jin yang menyamar sebagai burung garuda mahu mengambil MH370 tetapi dihalang oleh jin yang menyamar sebagai naga. Sebab itu Kapten Zahari berpatah balik bila dia melihat burung garuda. Di zaman Nabi Sulaiman semua binatang tunduk kepada Nabi Sulaiman kecuali burung garuda. Jin yang menyamar sebagai burung garuda mahu mengambil MH370 tetapi sempat dipintas oleh jin yang menyamar sebagai naga dari tasik Chini. Jin itu yang menyembunyikan MH370 di lautan Hindi pintu masuk ke Bermuda Triangle. ustaz Yunus diminta oleh pihak atasan bersama Skylab untuk berunding dengan jin itu untuk mengembalikan semula MH370 ke alam nyata. Sudah tujuh bulan berlalu tapi di alam ghaib bersamaan dengan tujuh minit. Semua anak kapal sedang tertidur dalam kapal terbang tersebut. Bulan depan ustaz Yunus dan Skylab kena bertapa lagi untuk berunding dengan alam jin. Maka sesiapa yang mahu berzakat kepada kumpulan ini dapatlah berbuat demikian kepada ustaz Yunus kerana mereka akan berzikir selama empat bulan di sebuah gunung di terengganu. Selama empat bulan mereka tak dapat keluar kerana mereka perlukan bekalan makanan yang secukupnya. Selesai dengan ustaz yunus, saya pergi ke restoran nagas. kebetulan Zaharin Mohd yasin ada bersama Sufian Kemaman, Suhaimi Kuala Pilah, Fakhrul Kuala Terengganu dan Kahar manan. Zaharin mengesahkan Tan Sri Muhyiddin yassin akan melepaskan jawatan TPM dan Datuk Seri najib Tun Razak akan melantik sepupunya, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebagai TPM yang baharu. Sekarang ini heboh di facebook Zaharin menyerang Hishamuddin mengatakan Hishamuddin kaki minum dan adiknya pula dapat kontrak melabel botol arak. Sebut sahaja nama Zaharin, semua orang kenalinya sebagai Setiausaha kerja BN bandar Tun Razak. Dahulu beliau hentam Muhyiddin, dia kata Muhyiddin anak paria. Muhyiddin hubungi boss Zaharin, Datuk Seri tengku adnan mansor yang juga setaiuasaha agung Umno. Muhyiddin suruh Ku Nan nasihati zaharin jangan hentamnya lagi. Ku nan sendiri tak berani, kerana nanti saya dimakinya. Muhyiddin tidak gamit Zaharin. zaharin dianggap sebagai orang najib kerana sewaktu dia aktif dalam pemuda Umno bersama Najib yang menjadi Exco pemuda sejak tahun 1978. najib banyak bantu zaharin kerana Najib tahu Zaharin buat kerja di pejabat BN Bandar Tun Razak. Zaharin balik muncul pula Haji Pa pegawai tugas tugas khas Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. tak lama dia di Nagas kerana sibuk dengan urusan menteri. kemudian muncul seorang facebooker yang hebat yang rapat dengan Datuk Seri dr Ahmad zahid hamidi. Dia yang mendamaikan zahid dengan zaharin. zaharin marahi pegawai khas Zahid, ku kamal dan sejak itu zaharin menyerang zahid dalam Facebook setiap hari dengan mengatakan menteri cap ayam dan sebagainya. Akhirnya Zahid menghubungi faceboor ini dan dia hantar Mat yahya menemui zaharin. Maka berdamailah Zahid dengan Zaharin dibawa Mat yahya di hotel IOI Putrajaya. Kini giliran Hishamuddin pula dibalun Zaharin. facebooker itu yakin sebagai anak bangsawan Hishamuddin tidak akan memanggil Zaharin. facebooker itu yakin Zaharin akan dimarahi Najib kerana Najib sudah beritahu Zaharin tolong Hishamuddin. zahid walaupun dia naib presiden umno yang paling popular akan sokong Hishamuddin sebagai TPM yang baru. Kalau pemilihan Timbalan Presiden Umno dibuat, sudah tentu zahid mampu mengalahkan hishamuddin tetapi kalau Hishamuddin menjadi TPM terlebih dahulu, sukar bagi zahid menewaskan Hishamuddin tambahan pula beliau akan berpindah dari kementerian pertahanan kepada kementerian kewangan. menurut facebooker itu lagi, dahulu ada seorang kawan Najib yang bebas masuk ke rumahnya. Bila laporan sampai kepada najib bahawa kawan itu menghadiri muktamar PAS, sejak itu naib marahinya dan dia tak dapat menemui Najib lagi. Serangan zaharin kepada Hishamuddin sudah tentu melukakan hati najib. Apakah zaharin akan menerima nasib seperti kawan Najib itu? Adakah najib sanggup kehilangan Zaharin dan mempertahankan sepupunya itu? Bila lagi nak naikkan Hishamuddin sebagai TPM kalau bukan di zaman Najib ini. maka Umno akan terus dikuasai oleh anak cucu Datuk Onn jaafar.

Khamis, Julai 22, 2010

HISHAMUDIN PERLU SELESAIKAN MASALAH SETIU


Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat senalam sudah mengambil maklum tentang apa yang berlaku di Setiu mengenai ketidakhadiran empat ADUN dalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Sabtu lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein perlu selesaikan segera masalah di Setiu dengan memanggil semua yang terlibat termasuk ketua bahagiannya, Datuk Mohd. Jidin Shafee.

Hishamuddin perlu bertindak adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Oleh itu apa saja rungutan yang dibangkitkan oleh empat ADUN perlu didengar secara adil. Kita tidak mahu tsunami 1999 berulang di Setiu di mana BN kalah di keempat-empat ADUN berkenaan.

Yang terlibat ialah timbalan ketuanya, Ashaari Idris (ADUN Langkap),naib ketuanya, Abdul Halim Jusoh (ADUN Permaisuri), ketua pemuda, Khazan Che Mat (ADUN Batu Rakit) dan bekas calon ketua bahagian, Ramlan Ali (ADUN Jabi).

oleh itu Hishamuddin perlu selesaikan segera masalah yang berlaku di Setiu.

Selasa, Ogos 25, 2009

LUCUNYA HISHAMUDDIN




Semalam hukuman sebat ke atas wanita yang minum arak di Pahang ditangguhkan kerana katanya mahu menghormati bulan Ramadhan. Hari ini lain pula alasan yang diberi oleh Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein.






Hukuman sebat Kartika Sari Dewi Shukarno ditangguh kerana Jabatan Penjara di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mempunyai jurusebat bertauliah untuk laksana hukuman syariah, kata Hishamuddin.


Keputusan mengejut Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menangguhkan hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno kerana kesalahan meminum arak yang sepatutnya dilaksanakan minggu ini menimbulkan kekecohan di rumah bapanya di sini semalam, selepas model sambilan itu berkeras mahu dibawa ke Penjara Wanita Kajang untuk menjalani hukuman.


Kekecohan berlaku kerana Kartika Sari enggan keluar daripada van Jaip yang hanya bergerak sejauh 200 meter dari rumahnya di Kampung Jawang Utara, di sini, manakala bapanya, Shukarno Mutalib enggan menerimanya apabila pegawai Jaip menyerahkan semula anaknya.


Ketika pegawai Jaip berunding dengan bapanya, Kartika Sari duduk dalam van selama kira-kira sejam mulai jam 9.25 pagi sehingga jam 10.30 pagi sambil diperhatikan ramai penduduk kampung yang sebelum itu mengadakan solat hajat memohon wanita itu tabah menghadapi hukumannya.


Bagaimanapun, selepas perbincangan, Shukarno bersetuju menerima anaknya apabila Pegawai Penguatkuasa Jaip, Sharafuddin Zainal Abidin mengeluarkan surat pengesahan menyatakan Kartika Sari diserahkan semula kepada keluarganya berikutan penangguhan hukuman itu.


Kartika Sari, 32, yang kelihatan terkejut dengan keputusan itu kemudian bersetuju selepas bapanya berbincang dengan pegawai Jaip selama kira-kira sejam. Sebelum itu, tiga pegawai penguat kuasa Jaip pergi ke rumahnya untuk membawa Kartika Sari ke Penjara Wanita Kajang bagi menjalani hukuman sebat, tetapi van Jaip yang dinaikinya berpatah balik ke rumahnya selepas menerima arahan penangguhan hukuman.


Keputusan penangguhan dikeluarkan di Kuantan, Pahang oleh Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Abdul Rahman Yunus bagi menghormati bulan Ramadan.


Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz, berkata sebaik menerima arahan itu, tiga pegawai Jaip yang ditugaskan menjemput Kartika Sari membebaskannya dan diserahkan semula kepada bapanya.


"Kartika Sari dibebaskan, tetapi untuk sementara waktu saja atas nasihat Ketua Hakim Syarie negeri. Hukuman sebatan tetap kekal. Namun, bagi menghormati Ramadan, hukuman ditangguh dan akan dilaksanakan selepas puasa.


"Tarikh bila Kartika Sari akan dibawa semula belum ditetapkan. Jaip akan merujuk semula kepada pejabat Ketua Hakim Syarie, tetapi yang pastinya ia selepas Aidilfitri," katanya.



Kartika Sari yang kecewa dengan keputusan itu, berkata beliau sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjalani hukuman sebat dan tidak faham tujuan Jaip menangguhkan hukuman berkenaan.


"Saya tetap dengan pendirian saya. Saya tak tahu di mana kedudukan saya sekarang. Macam mana? Hati saya masih di situ. Saya sudah nekad (untuk disebat). Tiada hitam-putih apa kedudukan saya sekarang. Saya tetap dengan keputusan untuk disebat. Saya tertanya-tanya. Apa yang berlaku. Mengapa buat saya macam permainan bola sepak. Itu yang saya sedih," katanya sambil menangis selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar polis bahawa beliau tidak melarikan diri selepas waran tangkap dikeluarkan.


Beliau dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu selepas mengaku salah meminum arak sebuah hotel di Cherating pada jam 11.40 malam 11 Julai 2008.


Pada 18 Ogos, Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus, memerintahkan dia ditahan berkuat kuasa semalam bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebatan itu.


Kartika Sari adalah wanita pertama yang akan disebat akibat kesalahan meminum arak di negara ini.


Sementara itu, Ketua Pendakwa Syarie Jaip, Datuk Abdul Rahim Jaafar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut pembebasan Kartika Sari, sebaliknya berkata lebih elok perkara itu didiamkan saja tanpa perlu diheboh-hebohkan.


"Penjelasan tidak perlu diberikan sekarang...lebih baik diamkan dulu. Tiba masanya nanti kita akan maklumkan," katanya.







Khamis, Disember 18, 2008

MENTERI PELAJARAN MUDAH MENANG


Mulai keluaran ini, saya ingin menyorot calon-calon Naib Presiden UMNO yang akan bertanding pada Mac depan. Saya mulakan dengan Hishamuddin Hussein yang mendapat pencalonan tertinggi, 152 pencalonan.


Sebagai calon favourite, beliau ada peluang untuk menang kerana beliau adalah Menteri Pelajaran. Dalam sejarah pertandingan Naib Presiden UMNO, Menteri Pelajaran tidak pernah kalah.


Pada tahun 1972, Dr. Mahathir Mohamad kalah dalam pertandingan naib presiden itu tetapi setelah dilantik Menteri Pelajaran pada tahun 1974, beliau menang dalam pertandingan tersebut pada tahun 1975. Pada tahun 1976, Musa Hitam dilantik Menteri Pelajaran. Dua tahun kemudian beliau menang Naib Presiden UMNO.


Pada tahun 1986, Anwar Ibrahim dilantik Menteri Pelajaran. Setahun kemudian beliau dipilih naib presiden. Sesiapa sahaja yang dilantik Menteri Pelajaran, mudah menang jawatan Naib Presiden UMNO.Sebab itu selepas itu Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri pernah memberikan kepada ahli parlimen bukan UMNO, Dr. Sulaiman Daud jawatan Menteri Pelajaran. Malah beliau pernah melantik tokoh akademik, Musa Mohamad sebagai Menteri Pelajaran kerana tidak mahu jawatan itu dipolitikkan.


Selepas Pak Lah menerajui negara pada tahun 2003, Pak Lah melantik orang politik semula sebagai Menteri Pelajaran selepas pilihan raya umum 2004. Adakah Hishamuddin akan mengulangi kejayaan bekas-bekas Menteri Pelajaran, Dr. Mahathir, Musa dan Anwar? Kita tunggulah Mac ini.


Meneliti pula sejarah politik Hishamuddin, ia agak menarik. Beliau aktif dalam politik selepas ayahnya, Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga meninggal dunia. Pada tahun 1993, beliau, seorang peguam dibawa oleh Ghani Othman untuk melawan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, arwah Jamaluddin Abu Bakar. Ghani ketika itu Menteri Belia dan Sukan dan Ketua UMNO Bahagian Ledang.


Ketika itu politik wang sudah ada tetapi tidak sehebat sekarang. Seorang rakan yang berkempen untuk arwah Jamaluddin pernah berkata, arwah beri RM50 kepada setiap perwakilan tetapi Hishamuddin beri RM500, maka menanglah Hishamuddin sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang. Sama ada dakwaan ini betul atau tidak, wallahukalam.


Walaupun Tangkak bukan kampungnya, tetapi Hishamuddin diterima menjadi ketua pemuda Ledang. Pada tahun yang sama beliau telah menang Exco Pemuda UMNO mendapat undi tertinggi.


Pada tahun 1996, beliau merebut kerusi naib ketua pemuda. Kebetulan kerusi itu kosong. Ia jadi rebutan antara beliau dengan Exco Kerajaan Selangor, Fatah Iskandar. Beliau menang. Ketika itu beliau sudah menjadi ahli parlimen sejak tahun 1995 dan Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Maknanya Hishamuddin pernah bekerja di bawah Rafidah Aziz.


Pada tahun 1995, saya sering ke parlimen dan saya dapati cara beliau menjawab soalan tambahan agak hebat juga. Ada ahli parlimen beritahu saya bahawa soalan tambahan itu semua sudah dirancang dan bila dua tiga ahli parlimen yang bangun bertanya soalan tambahan, Hishamuddin sudah bersedia untuk menjawabnya. Saya tidak pasti sejauh mana benarnya dakwaan ahli parlimen ini.


Selepas beliau menang naib ketua pemuda, beliau dilantik Timbalan Menteri Perusahaan Utama. Beliau bekerja di bawah Dr. Lim Kheng Yaik. Selepas pilihan raya umum 1999, Dr. Mahathir melantiknya sebagai Menteri Belia dan Sukan. Ketika itu beliau memangku jawatan ketua pemuda selepas Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya.


Pada tahun 2000, beliau menang tanpa bertanding sebagai ketua pemuda. Pada tahun 2004, sekali lagi beliau menang ketua pemuda tanpa bertanding. Selepas dua kali menang tanpa bertanding sebagai ketua pemuda, inilah kali pertama beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO dalam pertandingan lapan penjuru. Dapatkah beliau menewaskan tujuh orang calon lain seperti Syed Hamid Albar, Khaled Nordin, Dr. Rais Yatim, Isa Samad, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Shafie Afdal dan Dr. Jamaluddin Jarjis?


Hishamuddin tidak pernah tahu sejauh mana undi popularnya di dalam barisan ahli majlis tertinggi UMNO sedangkan tujuh calon Naib Presiden lain tahu sejauh mana mereka popular di kalangan 2,500 orang perwakilan.Oleh itu Hishamuddin perlu terjemahkan pencalonan kepada pengundian sebenar pada Mac ini.


Pernah berlaku Ghani Othman mendapat pencalonan tertinggi untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO tetapi tewas bila dikira undi. Semoga Hishamuddin tidak menerima nasib yang sama seperti Ghani.

Jumaat, Disember 05, 2008

HISHAMUDDIN PATUT LAKSANAKAN CADANGAN MUKHRIZ


Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein berkata cadangan Mukhriz Mahathir supaya hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan diadakan di negara ini bukan berunsur perkauman.


Kalau begitu, lebih baik Hishamuddin cadangkannya dalam kabinet untuk diluluskan dan dilaksanakan.Kalau sekadar mengulas sahaja bahawa ia tiada unsur perkauman, tetapi ia tidak dilaksanakan, ia tidak ada makna.


Hishamuddin kata kenyataan Mukhriz sudah lama dibincangkan sejak merdeka lagi dan ia bukan isu baru. Tetapi katanya kerajaan perlu mengambil kira sejarah sistem pendidikan yang mempunyai dua aliran sekiranya mahu mewujudkan satu aliran pendidikan.


Semua pihak dah setuju supaya kerajaan wujudkan satu sistem pendidikan seperti Pengerusi Dewan Perhimpunan Melayu Kedah, Tan Sri Khalid Abdullah yang mengatakan tidak ada sebab untuk menolak cadangan itu. Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia telah menentang cadangan Mukhriz itu.


Setelah 51 tahun merdeka, baru kita tersedar bahawa sistem yang ada sekarang tidak menyelesaikan masalah perkauman. Sepatutnya ia diamalkan sebelum merdeka lagi. Adakah kita mahu gostan ke belakang pula? Ini yang menjadi masalahnya yang akhirnya polimik antara Melayu dan bukan Melayu akan menimbulkan ketegangan kaum.


Saya bukannya tidak setuju dengan cadangan ini tetapi saya rasa sudah terlambat kita mahu laksanakannya. Jika ia dilaksanakan sebelum merdeka, masalah ini sudah lama selesai. Inilah kelemahan pemimpin kita yang lebih banyak bertolak ansur dulu. Sebab itu kita lihat di Indonesia dan Thaliland tidak ada sekolah cina dan tamil.


Oleh kerana Hishamuddin kata isu ini bukan isu perkauman, maka sebagai menteri, anda perlu bentang cadangan ini di kabinet dan jika anda betul-betul seorang patriotik, laksanakanlah cadangan Mukhriz ini. Beranikah Hishamuddin?

Rabu, November 26, 2008

BERANIKAH NAJIB BUAT PERUBAHAN?


Ketua Pemuda UMNO, Hishammuddin Tun Hussein berkata, parti itu perlu membuat perubahan utama dan melihat semula strukturnya selepas pemilihan Mac depan demi pengukuhan parti tersebut.

Beliau berkata, ini penting bagi memastikan gejala seperti politik wang dan masalah disiplin anggota parti dapat diatasi.

"Isu ini (politik wang) telah dibangkitkan sering kali kita berhadapan dengan pemilihan. Untuk menanganinya secara lebih berkesan ialah melihat semula struktur parti kita.


"Ini saya percaya akan kita lakukan selepas pemilihan bulan Mac depan. Perkembangan yang positif ini mesti membenarkan kita juga melihat kepada struktur parti dalam perubahan yang ingin kita lakukan selepas Mac," katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengenai usaha membanteras gejala politik wang dalam UMNO adalah satu proses yang memerlukan keazaman politik dan secara realistiknya tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.


Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, perkara itu hanya boleh dilakukan dengan kemahuan politik, kemampuan yang padu dan kesungguhan daripada mereka yang diberikan tempat dalam parti selepas pemilihan Mac nanti.


"Harap selepas pemilihan nanti mungkin kita boleh tengok, khusus dari segi strukturnya, perlembagaannya, perjuangan kita yang menuntut kita melihat semula apa yang perlu kita lakukan bukan hanya dalam UMNO tetapi dalam Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum Ke-12," katanya.


Jika Najib ikhlas mahu melihat UMNO bebas dari politik wang, perkara pertama yang perlu beliau lakukan selepas Mac ialah menghapuskan kuota dalam pencalonan bagi semua jawatan. Ia dikatakan menjadi punca kenapa berleluasanya politik wang.

Beranikah Najib menghapuskan kuota? Jika beliau berani ini bermakna beliau lebih hebat dari dua bekas Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad dan Pak Lah.

Rabu, November 05, 2008

HISHAMUDDIN PANDANG KE DEPAN


Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein berkata tidak salah sekiranya ramai calon bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan asalkan apa jua keputusan nanti tidak menjejaskan hubungan sesama ahli.


“Biarlah 100 orang pun bertanding, tidak salah asalkan mereka layak dan itu yang ditentukan perwakilan dan kita tidak boleh sekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kualiti Kementerian Pelajaran di Putrajaya semalam.


Hishammuddin, yang juga Menteri Pelajaran, diminta mengulas mengenai kemungkinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendapat pencalonan yang cukup untuk layak bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudahpun layak.


Untuk layak bertanding jawatan itu, seseorang itu perlu mendapat sekurang-kurangnya 39 pencalonan daripada bahagian Umno. Sehingga semalam, Mohd Ali memperoleh 32 pencalonan dan Muhammad 30 manakala Muhyiddin mendapat 79 pencalonan. Sebanyak 49 lagi bahagian belum bermesyuarat.


Hishamuddin lebih suka jawatan nombor dua ditandingi kerana sepupunya, Najib sudah menang tanpa bertanding sebagai Presiden UMNO. Hishamuddin suka Muhyiddin dicabar kerana jika Muhyiddin menang tanpa bertanding, ia akan menggugat kedudukan sepupunya pada pemilihan 2012.


Pada tahun 1981, keretakan dalam UMNO mula timbul bila Ku Li dan Musa Hitam dibiarkan bertanding bagi merebut jawatan timbalan presiden. Ia berlanjutan pada tahun 1984 apabila Musa-Ku Li berentap buat pusingan kedua.


Jika pertandingan Muhyiddin-Ali-Muhammad dibenarkan pada tahun ini, tidak mustahil pada tahun 2012, pertandingan pusingan kedua antara mereka akan berlaku. Oleh itu adakah pertandingan seperti ini wajar?


Ia wajar jika ia mahu para perwakilan memilih antara mereka bertiga. Tetapi yang tak wajar jika dua orang yang kalah pada tahun 2009 membalas dendam pada tahun 2012 yang mana akhirnya UMNO akan lemah dengan pertandingan yang berterusan seperti ini.


Atau mungkin Hishamuddin yang akan menang sebagai Naib Presiden nombor 1 pada tahun 2009 sudah berkira untuk melanggar siapa yang menang sebagai nombor dua pada tahun 2009 pada tahun 2012?


Kerana sudah jelas kepada kita selepas Najib jadi PM, PM seterusnya adalah Hishamuddin dan bukannya pemenang nombor dua pada tahun 2009 (sama ada Muhyiddin atau Ali atau Muhammad). Jadi Hishamuddin lebih suka jawatan nombor dua dicabar seberapa ramai yang boleh.

Isnin, Oktober 13, 2008

SATU ORANG BARU CUKUP KUOTA


Siapa yang layak menjadi Naib Presiden UMNO mula terjawab apabila 11 orang tokoh telah menerima pencalonan pada minggu pertama persidangan perwakilan UMNO bahagian. Sehingga ini Menteri Pelajaran, Datuk Seti Hishamuddin Tun Hussein sudah mendapat kuota yang cukup (19 pencalonan). Beliau telah mendapat 25 pencalonan.

Minggu ini beberapa calon seperti Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Shafie Afdal mendapat 14 pencalonan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi (13 pencalonan) dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin (9 pencalonan) dijangka mendapat kuota yang cukup.

Calon-calon lain ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar (6 pencalonan), Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (5 pencalonan), bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad (4 pencalonan), bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan kassim (3 pencalonan), Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan (2 pencalonan), bekas Menteri Sains, tekbnologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (2 pencalonan) dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa (1 pencalonan).

Kita tunggu keputusan minggu kedua nanti. Siapa lagi yang akan dicalonkan. Mungkin bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh akan dicalonkan juga untuk jawatan Naib Presiden UMNO.