Ahad, April 16, 2017

TAK PERLU POLITIKKAN PERLANTIKAN HISHAMUDDIN


oleh SHAHBUDIN EMBUN
(sudah tersiar dalam Berita Harian)

Sebaik sahaja perlantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas Tugas Khas diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak , maka bermulalah pemikiran pihak pembangkang yang begitu licik dan  kreatif dalam membuat andaian yang sangat negatif.Golongan ini terus membuat persepsi bahawa kedudukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan goyah dengan perlantikan tersebut.

Satu demi satu teori yang dikemukakan dan semuanya mempunyai agenda yang sama iaitu ingin melihat kombinasi mantap Najib dan timbalannya Zahid Hamidi, kononnya berada dalam keadaan yang sangat kritikal.Ada tohmahan yang menyatakan usaha ini merupakan satu laluan kepada Hishammuddin untuk terus maju ke depan, dan pada masa yang sama menyisihkan Zahid Hamidi. Mereka yang membuat andaian seperti ini begitu yakin terdapatnya pergeseran antara Najib dan Zahid Hamidi.

Perlu diingatkan bahawa permainan andaian , persepsi dan melontar fitnah seperti ini bukanlah sesuatu yang baru di negara kita. Najib dan Zahid Hamidi sendiri pernah menjadi mangsa dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Walaupun semua isu yang dikaitkan dengan fitnah telah dijelaskan , namun pihak pembangkang terus menggunakan isu-isu ini untuk berlagak kononnya menjadi wira negara.

Dalam permainan bolasepak, pertukaran taktik oleh jurulatih atau pengurus ketika berlangsungnya perlawanan merupakan sesuatu yang biasa. Mungkin tidak tepat untuk membandingkan apa yang berlaku di dalam padang dengan urusan pentadbiran negara .Namun apa yang dilakukan oleh Najib sebenarnya ialah untuk melicinkan lagi barisan kepimpinan yang mentadbir negara.

Mengapa isu ini dipolitikkan sehingga menimbulkan pelbagai andaian dan persepsi yang negatif.

Dalam hal ini, setiap langkah yang dibuat oleh Najib dan Zahid Hamidi akan diteliti oleh pihak musuh .Dan  walaupun langkah yang diambil itu merupakan sesuatu yang positif, namun di mata pembangkang,  akan terus membuat kesimpulan bahawa langkah ini sebenarnya menggambarkan yang gandingan Najib dan Zahid sedang mengalami masalah.

Begitulah terdesaknya pihak pembangkang yang semakin hari semakin ketandusan idea untuk menyerang kepimpinan Najib  dan dibantu oleh Zahid Hamidi yang sudah terbukti begitu berkesan dalam mentadbir negara ini.

Perlu diingatkan juga bahawa Zahid Hamidi bukan sehari dua ini mengenal Najib. Hubungan kerja antara Zahid Hamidi dengan Najib sudah lama terjalin kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Najib semasa Najib memegang jawatan sebagai  Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Pertahanan iaitu dari tahun 1986 sehingga 1993. Itu sebabnya juga kesetiaan Zahid Hamidi jangan dipersoalkan.

Sekali lagi diingatkan bahawa apa yang penting isu ini jangan dipolitikkan. Bahkan Hishammuddin telah menegaskan bahawa Zahid Hamidi juga telah membuat kenyataan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai pelantikan itu. Bahkan Hishammuddin menjelaskan  lagi bahawa pelantikannya itu merupakan peluang untuk bersama Zahid Hamidi  membantu Perdana Menteri  mentadbir negara dengan lebih berkesan.

Sebagaimana yang dijelaskan, pihak pembangkang akan melihat isu ini  dari perspektif yang negatif. Sebenarnya musuh UMNO dan Barisan Nasional begitu bimbang melihat pertukaran taktikal ini akan mematikan langkah mereka. Itu sebabnya isu ini dipolitikkan dengan sewenang-wenangnya agar rakyat terpedaya dengan fitnah yang akan mereka lemparkan.

Biarkan pihak pembangkang bermain dengan permainan mereka.Biarkan tohmahan dan fitnah menjadi senjata utama mereka untuk menyerang. Apa yang penting gandingan kepimpinan yang ada sekarang perlu terus disokong agar terus dapat memberikan yang terbaik kepada rakyat Malaysia amnya.