Selasa, Mac 01, 2011

SUNYINYA ORANG POLITIK


Sunyinya orang politik bila dia tiada kuasa. Begitulah putaran alam. Semasa kita jadi timbalan menteri, orang ramai kerumun kita tidak kira waktu. Bila kita sudah tiada kuasa, tiada orang mahu mengejar kita.

Saya dapat rasa apa yang dialami oleh bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Haji Rahman Bakar ketika saya menziarahinya di wad tanjung, di Hospital Kuala Lumpur sebentar tadi. Beliau sudah sebulan dimasukkan ke wad VIP itu kerana mengalami sakit kaki.

Siapa yang tidak kenali Rahman Bakar yang jadi giant killer pada tahun 1986 dahulu? Beliau mengalahkan Haji Hadi Awang di parlimen Marang pada tahun 1986. Selepas itu beliau dilantik timbalan pengerusi MARA dan pernah menjadi pengerusi LKIM.

Pada tahun 1990, beliau kalah di tangan Haji Hadi. Beliau yang bermula sebagai ketua pemuda UMNO bahagian Marang akhirnya menjadi Exco Pemuda UMNO malaysia yang seangkatan dengan Zubir Embong, bekas ahli parlimen Kuala Terengganu.

Hubungan saya dengan Rahman Bakar amat unik. Pada tahun 1993, saya tulis buku DILEMA YUSOF NOOR dan saya menghentamnya dalam buku tersebut kerana beliau menyokong ketua pemuda negeri, Idris Jusoh memulau konvesyen UMNO Terengganu.

Dia marahi saya ketika saya temuinya di pejabat Dr. Yusof Noor yang menjadi menteri perusahaan awam ketika itu. Dia tanya saya berapa banyak Wan Mokhtar upah saya tulis buku itu. Saya tidak menjawab tuduhan itu kerana ternyata tuduhan itu tidak benar.

Akhirnya kami jadi kawan baik kerana dia tahu sebagai penulis saya menulis kebenaran. Saya bukannya berpihak kepada Wan Mokhtar atau Dr Yusof Noor.Saya berpihak kepada kebenaran. Jika Rahman Bakar berada di pihak yang benar, saya sokongnya. Sebab itu akhirnya kami tetap baik selepas itu kerana dia tahu bahawa saya adalah penulis yang tidak berpihak kepada sesiapa.

Pada tahun 2004, sebagai ketua UMNO Bahagian Marang beliau terpilih sebagai calon BN menentang Haji Hadi sekali lagi di parlimen Marang. Beliau menang dalam pertandingan ketiga itu. Kali pertama dia menang pada tahun 1986, kali kedua kalah pada tahun 1990 dan kali ketiga beliau menang semula pada tahun 2004.

14 tahun meninggalkan Dewan Rakyat, akhirnya Rahman kembali ke situ.Kali ini beliau dilantik sebagai timbalan menteri sumber manusia dan beliau menang dalam pertandingan ahli majlis tertinggi UMNO.

Pada tahun 2008 beliau digugurkan oleh Idris sebagai calon. Selepas itu beliau tewas kepada YB Yahya sebagai ketua UMNO Bahagian Marang kerana beliau bukan lagi ahli parlimen dan bukan lagi timbalan menteri.YB Yahya bukan sahaja ADUN pengkalan berangan malah Exco Kerjaraya. Maka tewaslah Rahman Bakar.

Bila tiada kuasa, makin ramai kawan yang melarikan diri. Bila sakit, Rahman Bakar rasa sunyi kerana tiada kawan yang datang melawatnya seperti dahulu. Adalah diharapkan selepas keluar rencana ini dalam blog ini, semakin ramai yang datang melawat beliau. Sewaktu sakit begini dia perlukan sokongan kita semua. Janganlah berkawan sewaktu sihat sahaja.

Dalam sakit pun, beliau tetap bercerita pengalamannya sewaktu muda dahulu pada tahun 1970an ketika beliau menjadi timber grader. Waktu itu gajinya besar RM12 ribu sebulan. Atas nasihat orang tuanya, akhirnya beliau jadi guru dan akhirnya beliau masuk UKM. Selepas keluar dari UKM dan berkhidmat sebagai guru semula, nasibnya baik bila beliau dipilih bertanding di parlimen Marang pada tahun 1986. Ketika itu beliau sudah menjadi ketua pemuda UMNO Bahagian Marang.