Rabu, April 29, 2009

MB SEDIA LEPASKAN JAWATAN


Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said rela melepaskan jawatannya jika rakyat mendapati beliau gagal menjalankan tugas.



Katanya, hanya rakyat yang layak memberi penilaian sama ada beliau berjaya atau gagal mentadbir negeri ini.
Jika rakyat berasakan beliau gagal menjalankan tugas yang diberikan, maka katanya, mereka berhak menggantikan beliau dengan pemimpin lain.



''Sama ada rakyat masih mahukan saya memimpin mereka atau sebaliknya, terserah. Jika saya gagal, gantilah saya.



"Tetapi untuk masa yang singkat ini berilah saya peluang membuktikan keikhlasan dan kesungguhan memperjuangkan nasib rakyat.



''Jangan diletak halangan di hadapan saya yang bertujuan menggagalkan saya. Jika kita semua berjiwa besar dan ikhlas dalam perjuangan, bantulah saya untuk memakmurkan rakyat dan negeri," ujarnya.



Beliau berkata demikian selepas melancarkan kemudahan sistem televisyen litar tertutup tanpa wayar di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang dua hari lepas.




Isu mengenai kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar timbul berikutan tindakan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) tidak hadir pada hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.



Mereka bertindak demikian atas alasan bimbang keselamatan masing-masing berikutan penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) berbau ancaman kepada Datuk Rosol Wahid (Ajil), Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dipercayai berhubung kemelut politik di negeri ini.



Ditanya kenapa beliau mendiamkan diri sejak isu tersebut timbul, Ahmad menjelaskan, beliau bersikap demikian kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan serta menambah kekeliruan rakyat terhadap kemelut yang berlaku.



''Elok saya berdiam diri dan kini kebenaran telah mula terungkai. Kita perlu ikhlas dalam perjuangan. Rakyat menjadi hakim dan kebiasaannya hukuman yang dijatuhkan oleh rakyat menggambarkan sentimen mereka," ujarnya.



Ahmad mengaku kemelut yang berlarutan sejak beliau dilantik menjadi Menteri Besar hingga ke hari ini adalah merupakan sejarah hitam dalam perjuangan UMNO di Terengganu.



Katanya, perasaan semua ahli UMNO seharusnya dijaga dan yang lebih penting ialah perasaan rakyat yang sekian lama menaruh harapan kepada UMNO untuk membela mereka.



''Kepada ahli UMNO, pilihlah jalan yang benar dan berbaik kerana kita sekarang bukan hanya berhadapan parti lawan tetapi kerenah dalaman yang akan membuat rakyat hilang kepercayaan kepada parti.




Berdasarkan kenyataan Ahmad Said di atas, ternyata beliau ikhlas mahu membangunkan negeri Terengganu tetapi menerima halangan daripada 18 ADUN yang masih menyokong Idris Jusoh. Inilah kesilapan besar Ahmad Said. Sepatutnya dalam tempoh satu tahun berkuasa, isu ini sudah selesai dengan menambat hati 18 ADUN ini dengan melayan kehendak mereka. Mereka mahu jawatan, beri jawatan. Mereka mahu projek, beri projek. Jadi mereka tidak melawan Ahmad Said.




Akibat kedegilan Ahmad Said terus menindas mereka sehingga mereka dibuang Pengerusi Penyelaras DUN walaupun mereka adalah ADUN, maka mereka membalas dendam dan melaporkan kepada Presiden UMNO yang baru, Najib Razak. Hasilnya Ahmad Said diturunkan pangkat menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Beliaulah satu-satunya Menteri Besar yang tidak berada dalam majlis tertinggi UMNO.




Di Perlis kumpulan Shahidan Kassim bergaduh dengan kumpulan Dr. Mat Isa Sabu tetapi Dr. Isa dilantik Pengerusi Perhubungan UMNO perlis. Kenapa Najib tak hantar Naib Presiden UMNO sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis? Adakah kerana Perlis tidak memberi keuntungan kepada calon Naib Presiden kerana Perlis ada tiga Bahagian UMNO sahaja sedangkan Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu mempunyai banyak UMNO Bahagian?




Rosol Wahid dalam blognya menulis adakah Ahmad Said akan melepaskan jawatan Menteri Besar? Pada hemat saya, Ahmad Said tak perlu letak jawatan kecuali dia buat salah kepada rakyat seperti melakukan rasuah. Ahmad Said berjaya membawa balik royalti minyak ke negeri Terengganu. Nak harap kepada Idris Jusoh, Idris hanya layan projek Patrick Badawi saja sehingga tak bersuara untuk desak Pak Lah serahkan semula royalti minyak kepada negeri.




Oleh itu rakyat akan menilai sama ada Ahmad Said ikhlas berjuang untuk rakyat suatu hari nanti. Pedulikanlah 18 ADUN yang keras kepala ini. Mereka lebih pentingkan diri sendiri dan bukannya pentingkan rakyat. Cuma jangan layan sangat kerabat diraja.




Rakyat marah kerana banyak sangat projek dibolot oleh kerabat diraja. Zaman Wan Mokhtar dulu ada Seri Terukun yang dianggap sebagai kontraktor ditaja. Kita tidak mahu di zaman Ahmad Said rakyat mencemuh beliau kerana semua projek mahu disapu kerabat diraja hinggakan yang kecil-kecil pun kerabat diraja mahu sapu. Sebagai Menteri Besar, berlakulah adil mengagihkan projek kepada rakyat dan bukannya kepada kroni semata-mata.




Jika anda berlaku adil, Allah akan menolong anda ketika dilanda krisis seperti ini. Bersabarlah Ahmad Said. Digugurkan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu tidak bermakna anda sudah tidak bagus kerana kuasa masih ada di tangan anda sebagai Menteri besar. Jadi gunakanlah kuasa itu untuk kepentingan rakyat.