Khamis, Jun 27, 2019

TAK HABIS HABIS DENGAN PENYERAHAN JAWATAN PM

oleh SHAHBUDDIN EMBUN

Sejak kebelakangan ini, ada pulak pihak yang sibuk menimbulkan isu siapakah Perdana Menteri (PM) Malaysia ke 8. Sebenarnya ini bukan satu isu pun kerana sudah dipersetujui yang Tun Mahathir bakal menyerahkan tugas dan tanggungjwan ini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Biarlah segala yang dirancang ini berjalan dengan baik tanpa sebarang masaalah.


Namun memandangkan kita tinggal di sebuah negara yang bergelar Malaysia, maka akan timbullah pelbagai andaian dan spekulasi tentang jawatan PM ini. Sebenarnya isu tentang PM bukan hanya berkisar pada siapakah yang bakal menerajui kempimpinan negara, tetapi juga pernah dijadikan isu tentang bangsa bukan Melayu yang boleh menjadi PM.


Apatah lagi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) juga merupakan hak PM dan ini memungkinkan jawatan TPM juga boleh dipegang oleh bangsa bukan Melayu. Di negara kita jawatan TPM sama seperti jawatan Ketua Setiausaha Negara dalam Perkhidmatan Awam Malaysia, iaitu ianya merupakan jawatan ‘ciptaan’ pentadbiran dan tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Jika dilihat pada Perlembagaan Persekutuan, memang tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa bukan Melayu tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran, Parlimen atau badan kehakiman. Namun secara hakikat dan realistiknya Perdana Menteri Malaysia dan timbalannya juga mestilah seorang Melayu yang beragama Islam .


Ini disebabkan oleh faktor yang paling jelas iaitu majoriti penduduk negara ini terdiri daripada bangsa Melayu yang juga merupakan penduduk asal Tanah Melayu . Perlu diingatkan juga bahawa nama Malaysia sebelum merdeka adalah Tanah Melayu. Dan jika dilihat dari sudut sejarah, pihak penjajah iaitu Brirtish juga telah mengikitraf Malaysia sebagai Malay States.
Dan jika kita lihat dari segi sejarah yang lebih silam, maka negara ini pernah diperintah oleh golongan yang bergelar raja atau sultan yang mana kesemuanya berbangsa Melayu dan beragama Islam.


Itu sebabnya isu PM dan TPM yang terdiri daripada bangsa Melayu tidak sepatutnya dijadikan sebagai isu. Kita sudah lama mempertahankan sistem ini yang terbukti berkesan menjadi tunjang kekuatan negara kita.


Apabila isu ini dibincangkan ada yang berpendapat , ianya adalah bertujuan untuk memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu . Bagi penulis ianya bukanlah satu kesalahan, kerana apa yang lebih mustahak ialah kepentingan ini adalah berdasarkan pada prinsip sejagat yang memberi keutamaan kepada elemen keadilan dalam menjalani kehidupan di sebuah negara yang berbilang kaum.
Itu sebabnya juga beberapa dotrin asas perlembagaan perlu dipelihara dan mesti dipertahankan iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Keistimewaan Melayu serta kaum di Sabah dan Sarawak.
Dalam hal ini adalah lebih baik rakyat Malaysia tidak lagi membangkitkan perkara atau isu yang sudah dimuktamadkan serta sudah terbukti berkesan . Adalah lebih baik kita memberikan tumpuan kepada pentadbiran kerajaan yang lebih bersih, tidak ada rasuah, mementingkan integrit, telus dan terus melaksanakan dasar dan program yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.