Sabtu, Mac 10, 2018

JANJI PH TIDAK PRAKTIKAL

SIBU,10 Mac (Bernama) -- Janji Pakatan Harapan (PH) untuk menangguhkan bayaran pinjaman PTPTN dalam 100 hari selepas sekiranya berjaya merampas Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 dianggap sebagai tidak praktikal dan tidak realistik untuk dilaksanakan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, janji itu tidak mengambil kira pelbagai faktor seperti masa, kekangan peruntukan dan tenaga sumber manusia.

"Jadi, dia orang ini (Pakatan Harapan) janji (tangguh bayaran) PTPTN, (hapus) TOL, (hapus) GST, saya ingat itu semua janji macam bulan dan bintang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di SMK Sacred Heart di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas manifesto PH yang dipanggil Buku Harapan yang dilancarkan Khamis lalu di mana 10 janji utama bakal dilaksanakan dalam tempoh 100 hari dan 60 janji dalam tempoh lima tahun dengan tumpuan diberikan kepada lima iltizam khusus.

Antara 10 janji tersebut ialah menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), subsidi petrol bersasar, hapus hutang peneroka Felda, KWSP untuk suri rumah, menyamaratakan gaji minimum, menangguhkan bayaran PTPTN, menyiasat skandal, mengembalikan status Sabah dan Sarawak, Skim Peduli Sihat dan kaji semula projek mega

MASYARAKAT BAJAU BOLEH WUJUDKAN RANTAIAN HUBUNGAN DI ASIA TENGGARA




KOTA KINABALU, 10 Mac (Bernama) -- Masyarakat Bajau di negara ini, khususnya di Sabah, boleh mewujudkan rantaian hubungan baik dengan masyarakat Bajau di rantau Asia Tenggara bagi membolehkan mereka berkongsi maklumat untuk kepentingan dan kemakmuran bersama.

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata kajian yang relevan berkaitan masyarakat Bajau di beberapa negara di rantau ini juga boleh dijalankan sebagai perkongsian maklumat dan fakta yang lebih tepat untuk faedah generasi semasa dan akan datang.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Bajau Antarabangsa di sini hari ini yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Musa berkata persidangan itu berupaya menyumbang kepada perkembangan silang budaya dalam kalangan pelbagai suku kaum dan etnik yang menyemarakkan lagi keharmonian budaya etnik di negara ini seiring pembangunan semasa.

Beliau berkata masyarakat Bajau telah memainkan peranan dan memberi sumbangan penting dalam pelbagai bidang seperti politik, pentadbiran, ekonomi dan sosial.

"Ini merupakan kayu ukur bahawa mereka juga berupaya membuktikan keupayaan mereka setanding masyarakat lain."

"Kejayaan ini turut memberi gambaran bahawa masyarakat Bajau sentiasa menunaikan dan memperbaharui tanggungjawab terhadap kepentingan bangsa, agama dan negara," katanya.

Sementara itu, Salleh, yang juga daripada kaum Bajau, berkata persidangan itu boleh merapatkan lagi hubungan antara masyarakat Bajau Malaysia, Indonesia dan Filipina, sekaligus memantapkan peranan masing-masing dalam menyumbang ke arah pembangunan negara masing-masing.

Terdahulu, Yang Dipertua Persatuan Bahasa dan Budaya Bajau Sabah, Chenderamata Sinteh berkata penganjuran julung kali persidangan itu sejajar dengan objektif persatuan memulihara dan mengembangkan bahasa dan budaya Bajau melalui kajian dan pendokumentasian.

Katanya, persidangan itu juga sebagai wadah untuk membuat kajian perbandingan antara Bajau di rantau ini, terutama Malaysia, Indonesia dan Filipina.

-- BERNAMA





v

MB NAFI TUDUHAN ADUN DAP

SEREMBAN, 9 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menafikan tuduhan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai J. Arul Kumar daripada DAP berhubung kenyataannya berkaitan keperluan masyarakat India di negeri ini.

Beliau menegaskan tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar dan tidak pernah disebut olehnya.

"Saya tak pernah sebut keperluan masyarakat India cuma sekolah dan kuil sahaja. Apa yang saya katakan ialah isu sekolah dan isu kuil masyarakat India di negeri ini telah ditangani dan diselesaikan (kerajaan negeri)," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas video berdurasi 3.42 minit yang tular dan diterimanya menerusi aplikasi WhatsApp yang memaparkan Arul Kumar dalam kenyataan berbahasa Tamil mendakwa menteri besar mengeluarkan kenyataan bahawa keperluan masyarakat India di negeri ini hanya sekolah dan kuil sahaja.