Khamis, Jun 30, 2016

ROMBAKAN UNTUK MEMPERKASAKAN PENTADBIRAN


Oleh Shahbudin Embun
(suddah disiarkan dalam Berita Harian, 28 Jun 2016)

Rombakan kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pastinya telah menarik perhatian rakyat Malaysia. Dan bermulalah pelbagai andaian dan teori oleh pemerhati politik mengapa rombakan ini dilakukan. Biarpun mungkin ada suara-suara sumbang yang akan menyelar usaha ini,  namun agenda utama  rombakan ini bertujuan untuk memperkasakan lagi pentadbiran agar kemajuan dan kesejahteraan rakyat sentiasa mendapat keutamaan kerajaan Barisan Nasional (BN).Itulah janji dan komitmen Najib kepada rakyat Malaysia.

Pada masa yang sama juga , perubahan yang ini dilakukan adalah untuk memperkukuh dan memantapkan lagi jentera parti dan kerajaan yang akan menghadapi pilihan raya ke-14 nanti.Dan dengan berbekalkan momentum hasil kejayaan besar Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil Sungai Besar serta Kuala Kangsar, Najib telah membuat pilihan tepat dengan melakukan peralihan portfolio bagi beberapa orang pemimpin , selain melantik muka-muka baru untuk memperkuatkan lagi  pentadbiran kerajaan.

Pelantikan Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar ke jawatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dilihat sebagai menghargai usaha dan komitmennya dalam memastikan kemenangan BN di Sungai Besar.

Pastinya ini merupakan satu tugas dan tanggungjawab untuk beliau memainkan peranan yang lebih penting dalam menawan semula negeri Selangor. Dan melalui portfolio yang disandangnya, tentunya telah memberikan harapan dan keyakinan kepada rakyat Selangor, bahawa sudah sampainya negeri Selangor diperintah semula oleh BN.

Manakala peralihan Datuk Abdul Rahman Dahlan, ke Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri selepas dikosongkan dengan pemergian Tan Sri Abdul Wahid Omar,  pastinya akan memberikan beliau peluang untuk memberi tumpuan yang lebih besar kepada pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Pelantikan wakil Titiwangsa , Datuk Johari Abdul Ghani menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Menteri Kewangan Kedua amat bersesuaian sekali kerana beliau mempunyai latar belakang sebagai akauntan dan ahli korporat. Sementara itu, ketiadaan Husni pasti dirasai di Parlimen khususnya, kerana beliau begitu profesional terutamanya ketika sesi soal jawab di Parlimen.

Selain itu, peralihan Datuk Seri Mah Siew Keong dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi telah mengembalikan portfolio berkenaan kepada Parti Gerakan . Beliau telah menggantikan Datuk Seri Douglas Uggah yang melepaskan jawatan apabila dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Dengan mengambil kira pelantikan secara keseluruhannya, jelaslah wujudnya keseimbangan antara semua parti komponen BN. Elemen inilah yang akan memantapkan lagi persepakatan antara parti BN dan pastinya akan mengembalikan lagi kepercayaan rakyat Malaysia kepada kerajaan yang diterajui oleh Barisan NasionaL.

Usaha ini menggambarkan Najib begitu serius untuk terus mengemudi kepemimpinan negara . Dan pastinya  ramai yang masih ingat ucapan beliau ketika meraikan kemenangan calon Parlimen di Sungai Besar .Dalam ucapannya, Najib dengan nada tegas dan penuh iltizam telah mengajak semua ahli parti BN untuk bergerak bersama merampas kembali Kerajaan Pakatan Harapan di Selangor dan memastikan agar BN mencapai kejayaan gemilang pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti . Selain itu, Najib juga mahu UMNO untuk merapatkan saf di semua peringkat dan bersatu menolak semua bentuk tohmahan dan  ancaman yang dipelopori oleh Dr Mahathir serta koncu-koncunya.

Najib tidak keseorangan dalam merealisasikan matlamatnya ini. Gandingan beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein serta barisan jemaah kabinet yang berkaliber,  pastinya mampu memantapkan lagi parti dan kerajaan bagi menghadapi cabaran getir pada masa hadapan.