Rabu, November 08, 2017

SHAFIE TIDAK PERLU PANIK KATA MUSA AMAN

KOTA KINABALU, 7 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal perlu membiarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan kerjanya menyiasat dakwaan rasuah melibatkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semasa beliau menjadi menterinya.

Beliau berkata Shafie perlu lebih tenang dalam mendepani keadaan itu dan bukannya melemparkan tuduhan terhadap pihak lain dan cuba membabitkan orang lain.

"Tidak perlu panik. Tiada apa yang perlu ditakutkan sekiranya anda tidak bersalah seperti peribahasa Melayu 'berani kerana benar, takut kerana salah'," katanya kepada pemberita hari ini.

Musa berkata sehingga kini beliau tidak menyebut walau sepatah pun perkataan berkaitan kes itu walaupun diserang secara terbuka dalam ceramah politik dan sosial media Shafie.

"Bagaimanapun hari ini saya rasa saya terpaksa kata sesuatu kerana beliau cuba membabitkan saya di Parlimen dengan menyatakan seseorang yang ada kaitan dengan saya mendapat satu projek di bawah kementerian beliau," katanya.