Sabtu, Ogos 15, 2015

PERWAKILAN NAK DENGAR UCAPAN MUHYIDDIN, BUKANNYA UCAPAN AHMAD SAID

Petang semalam Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yasin merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kemaman yang diketuai oleh bekas MB Terengganu, Ahmad Said yang menerima nasib yang sama seperti Muhyiddin dari kumpulan yang terbuang.

Sambil berseloroh Muhyiddin berkata beliau belum lagi mengisi borang untuk menjadi ahli kelab kumpulan yang digugurkan. Ahmad Said dipaksa meletakkan jawatan sebagai MB pada 12 Mei 2014 manakala Muhyiddin dipecat dari jawatan TPM pada 27 Julai 2015.

Mereka sama-sama pegang jawatan selama enam tahun. Ahmad said bermula 2008 manakala Muhyiddin bermula 2009. Selepas meletakkan jawatan sebagai MB pada 12 Mei 2014, Ahmad said berdiam diri. Tidak pernah menghadiri mesyuarat jawatankuasa Umno Bahagian, timbalannya Ahmad Shabery Cheek mempengerusikan mesyuarat.

Bekas menteri komunikasi dan multi media yang baru ditukarkan ke kementerian pertanian dan industri asas tani tidak menderhaka kepada Ahmad Said kerana Ahmad Said yang menaikkannya dalam politik Umno. Shabery bekas Ketua Penerangan Parti Semangat 46 yang menyertai Umno pada 1998 tewas bertanding jawatan ketua pemuda Umno bahagian kemaman pada tahun 1998 menentang ahli parlimen kemaman, Dr Ramli Taib kerana tiga ADUN (Wan Mokhtar Ahmad, Abu bakar Ali dan Harun Hassan) bersatu menyokong Dr Ramli menakala Ahmad Said menyokong Shabery secara senyap-senyap.

Selepas kalah, Shabery balik ke Kuala Lumpur. Pada tahun 2000, ketika Ahmad said mahu menentang pemangku ketua bahagian, Abu Bakar Ali, Ahmad Said sedang mencari regu untuk menentang Abu bakar ali yang beregu dengan bekas ketua pemuda, arwah Nazri Salleh. Ketika itu ahli jawatankuasa Umno bahagian, Md Rahim Hussein mencadangkan kepada Ahmad said supaya beregu dengan Shabery Cheek.

Maka mereka bertiga, Ahmad Said, Ahmad Shabery Cheek dan Md Rahim Hussein beregu menentang team A yang terdiri daripada Abu bakar Ali, Nazri Salleh dan Shahbudin maidin.

Team B menang besar dan sapu 19 daripada 20 kerusi ahli jawatankuasa Umno bahagian. Team B bekerja keras memenangkan tiga kerusi DUN yang tewas dalam PRU 1999 dan akhirnya BN Kemaman menang empat kerusi DUN pada PRU 2004.

Shabery pula menang kerusi parlimen Kemaman yang menyaksikan beliau dilantik setiausaha parlimen Kementerian Luar dua tahun kemudian. Beliau mencatat sejarah sebagai setiausaha parlimen pertama terus dilantik menteri penerangan tanpa menjadi timbalan menteri. Biasanya setiausaha parlimen jadi timbalan menteri terlebih dahulu sebelum jadi menteri.

Walaupun beliau sudah jadi menteri, Shabery kekal timbalan ketua bahagian dan tidak pernah berhasrat menentang Ahmad Said yang ketika itu menjadi Exco. Tambahan pula apabila Ahmad Said jadi MB pada tahun 2008, Shabery tetap setia dengan Ahmad Said.

Apabila Ahmad Said keluar dari Umno selepas dipecat dari jawatan MB, Shabery didesak memangku jawatan ketua bahagian tetapi apabila Ahmad said masuk semula Umno, Ahmad Shabery kekal dengan jawatannya. Beliau pun tidak mengulas tindakan Ahmad said yang keluar Umno kerana beliau terhutang budi kepada Ahmad said yang melonjakkannya terus sebagai timbalan ketua bahagian tanpa pernah memegang jawatan ahli jawatankuasa Umno bahagian Kemaman.

Apabila bekas MB itu menyertai semula Umno, beliau berdiam diri selama setahun. pada persidangan Umno bahagian Kemaman tahun lepas, Ahmad said tidak hadir. Sebagai menghormati Ahmad Said, Shabery mengarahkan pengerusi tetap tidak membenarkan perwakilan berucap dalam ucapan penangguhan. Ini yang menyebabkan persidangan menjadi kecoh di mana wakil DUN Chukai, Yusof Mohamad telah merampas mikrofon kerana pengerusi tetap tidak mengikut agenda persidangan.

Semalam sekali lagi perwakilan tidak berpeluang berucap dalam ucapan penangguhan kerana persidangan diadakan separuh hari selepas solat jumaat. Biasanya persidangan diadakan pada hari Sabtu sepanjang hari dan perwakilan empat DUN bebas berucap.

bekas ketua cawangan Semanyor, Ahmad Abdullah yang dikenali sebagai Mat Din kesal persidangan diadakan di sebelah petang kerana beliau tidak sempat berucap. Ucapan ketua bahagian pula yang sepatutnya mengalu-alukan kedatangan Muhyiddin sepatutnya ringkas tetapi meleret sampai dua jam, dakwa Mat Din. Muhyiddin berucap selama setengah jam sahaja.

"Perwakilan nak dengar ucapan Muhyiddin dan mereka bukannya nak dengar ucapan ketua bahagian," kata Mat Din yang tidak puas hati tidak dapat berucap.

Ucapan Ahmad said memang "stole the show" kerana mendedahkan sejarah 1MDB yang disebutnya dalam sidang DUN Mei lepas. Dalam ucapannya beliau mencabar ADUN Air Puteh, Wan Hakim Wan Mokhtar bersumpah di mana-mana masjid hatta di hadapan kaabah tentang Terengganu Investment Authority (TIA) nama asal 1MDB apabila selaku Ketua penerangan Umno Terengganu, Wan hakim mendakwa ucapan Ahmad said terhadap 1MDB mahu mencagarkan minyak dan gas Terengganu sebagai berita sensasi Ahmad said. Dengan menyebut wallahi, wabillahi, watallahi Ahmad Said berkata ucapannya dalam sidang DUN Terengganu itu bukannya rekaan.

Selepas menyertai semula Umno pada 15 Mei 2014, Ahmad said berikrar tidak akan bertanding lagi dalam PRU 2018. Itu hanya cakap politik. Suasana sudah berubah. Ketika Dr Mahathir Mohamad ke PWTC mahu menghadiri majlis "Nothing To Hide" dengan najib Razak, Ahmad said duduk di sebelah Dr Mahathir. Ketika Muhyiddin dipecat dari jawatan TPM, bekas MB itu membawa satu bas penyokongnya dari Kemaman ke rumah Muhyiddin untuk memberikan sokongan moral kepada Muhyiddin. Jika trend ini berterusan, nampaknya Ahmad Said tetap akan bertanding di DUN Kijal pada PRU 2018.

 Jika BN tidak memilihnya sebagai calon, tetapi Ahmad Said bertanding sebagai calon bebas beliau tetap menang jika PAS memberi laluan percuma kepadanya kerana sejak menjadi ADUN Kijal selama 25 tahun beliau pandai menjaga pengundinya. Seperti kata beliau, beliau tidak pernah ambil duit satu sen pun. Sebab itu beliau adalah bekas MB yang kaya dengan overdraf (pinjaman bank). Sebab itu beliau tidak tanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno kerana beliau tiada wang untuk merasuah para perwakilan.