Selasa, September 28, 2010

KU LI KENA RAMPAS SEMULA DUN GALAS


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Chek Hashim Sulaima, 46, yang menghidap barah paru-paru meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur kira-kira pukul 4.30 petang ini.

Pegawai Khasnya, Tuan Hassan Tuan Sulaiman berkata, Allahyarham dimasukkan ke hospital tersebut sejak lima hari lalu selepas mengikuti rawatan tradisional sejak 14 September lalu di sekitar Kuala Lumpur.

"Chek Hashim telah dibawa ke Kuala Lumpur pada hari raya kelima lalu, bagaimanapun keadaannya bertambah kritikal sebelum meninggal dunia hari ini.

"Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru sebelum dibawa pulang ke Kampung Kerinting, Galas, Gua Musang untuk dikebumikan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Allahyarham Chek Hashim meninggalkan dua isteri iaitu Che Bongsu Junuh dan Aida Zakaria, 49, serta 12 anak berusia antara enam bulan hingga 19 tahun.

Chek Hashim disahkan menghidap penyakit barah paru-paru sejak Mei tahun lalu pernah menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Allahyarham pernah cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 36 Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada 21 Mac 2008.

Turut cedera parah dalam kemalangan tersebut ialah isterinya, Aida Zakaria dan anaknya, Amasha, 2 tahun.

Chek Hashim menjadi ADUN Galas pada Pilihan Raya Umum 2008 selepas menewaskan penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Pada Pilihan Raya Umum 2004, Allahyarham tewas kepada Mohamad Saufi dengan majoriti 1,729 undi.

Anak kelahiran Kuala Betis, Gua Musang itu mula menceburkan diri dalam bidang politik sejak di bangku sekolah apabila menjadi pemimpin pelajar di Sekolah Menengah Agama (Arab) Tarbiah Mardziah, Panchor, Pengkalan Chepa.

Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang agama ke Pakistan dan Afghanistan sebelum pulang dan menyertai Pas.

Chek Hashim juga pernah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas negeri dan kini memegang jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Gua Musang.

Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa ketika ditemui selepas selesai melaksanakan solat jenazah di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan berharap mereka reda dengan ketentuan tersebut.

Sementara itu, Isteri pertamanya, Che Bongsu, 49, pula berkata, Allahyarham sempat menyampaikan pesanan kepadanya agar menjaga anak-anak dengan baik.

Pilihanraya kecil DUN Galas tidak dapat dielakkan dalam masa satu bulan ini. Ketua Bahagiannya, Tengku Razaleigh Hamzah kena rampas semula kerusi DUN Galas. Oleh itu beliau perlu mengemukakan nama baru sebagai calon BN kerana Saufi Deraman telah ditolak oleh rakyat.

BN mampu menang semula di Galas jika calonnya boleh diterima oleh semua pihak. Oleh itu tanggungjawab Ku Li amat berat kali ini kecuali para pemimpin UMNO mahu mensabotajnya supaya BN kalah di DUN Galas.