Sabtu, November 25, 2017

UMNO SELANGOR SUDAH SERIK JADI PEMBANGKANG

SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Sembilan tahun menjadi pembangkang di Selangor ternyata menginsafkan UMNO Selangor yang bertekad tidak mahu lagi mengulangi episod duka apabila terlepas negeri itu dalam dua pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

Atas kesedaran itu juga UMNO Selangor menggerakkan gerak kerja semaksimumnya untuk menghadapi PRU ke-14 (PRU14) merangkumi peringkat cawangan, bahagian dan negeri.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Johan Abdul Aziz berkata untuk tujuan itu, UMNO melantik koordinator di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak dimenangi BN untuk memimpin gerak kerja berkenaan.

"Ya kami dah serik dan tidak lagi mahu menoleh ke belakang. Saya lihat kesungguhan untuk merampas balik Selangor di peringkat akar umbi cukup kuat ketika ini. Gerak kerja kami cukup 'solid' koordinator di DUN yang kalah, mereka buat kerja dengan baik.

"Walaupun kami di Selangor ni dah bertahun jadi pembangkang tetapi kami tetap jalankan tanggungjawab membantu rakyat. Mana yang kita boleh bantu kita bantu seperti keperluan asas banyak yang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kita luluskan di kawasan Selangor ini," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Ketika ini, kedudukan 56 DUN di Selangor terdiri daripada DAP (14 kerusi), PKR dan PAS masing-masing 13 kerusi, UMNO-BN (12 kerusi) dan Parti Amanah Negara serta Bebas, masing-masing dua kerusi.

Bagi menggerakkan usaha UMNO Selangor merampas semula negeri itu pada PRU14, Johan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Semenyih, berkata parti tersebut menjalankan gerak kerja yang agresif namun bertempat.

Beliau berkata UMNO Selangor turut menggunakan medium media sosial secara maksimum untuk memperjelas atau menyampaikan sebarang isu negeri atau nasional supaya segala maklumat cepat sampai kepada rakyat.

Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut membuka ruang dan peluang untuk UMNO Selangor berbakti kepada rakyat di kawasan bandar.

"Selepas Tan Sri (Noh) dilantik sebagai menteri, beliau terus buat kertas kerja untuk diserahkan kepada perdana menteri yang kemudian meluluskan peruntukan RM300 juta untuk membantu miskin bandar. Daripada jumlah itu, RM160 juta diperuntukkan untuk Selangor, ini bukan sebab Tan Sri dari Selangor tetapi disebabkan nisbah keseluruhan rumah pangsa dan rumah kos rendah 50 peratus terletak di Selangor.

"Kita terima keluhan daripada rakyat mengenai ketiadaan lif di rumah pangsa yang banyak tingkat sehinggakan nak bawa turun jenazah susah... ini yang kita persembah kepada perdana menteri dan ternyata kebijaksanaan kita dicemburui oleh kerajaan negeri. Strategi kita ialah terus dekati, dampingi rakyat dan apa yang kita boleh bantu kita bantu," katanya.

Mengenai sasaran UMNO dan BN Selangor pada PRU14, Johan berkata pihaknya memberi tumpuan kepada 35 kawasan DUN termasuk 12 yang kini dipegang oleh UMNO.

Enggan mendedahkan kesemua kawasan DUN terbabit, beliau berkata UMNO Selangor telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang bermasalah dan yakin akan dapat mengatasinya sebelum PRU14.

"Walaupun dikatakan PRU14 ini adalah peluang terakhir untuk BN menang semula di Selangor segalanya boleh berlaku dalam politik... yang penting UMNO Selangor harus bersatu padu di bawah Noh supaya satu nakhoda satu arahan dipatuhi.

"Saya juga lihat idea Tan Sri Noh cukup bagus... beliau tanamkan dalam pemikiran jentera akar umbi bahawa setiap gerak kerja mesti fikirkan pertandingan satu lawan satu, jadi semua kena kerja kuat. Kekalahan di Selangor sebelum ini mungkin ada hikmahnya? bila kita jadi kerajaan semula kita kena pastikan tidak terlepas lagi, kena jaga Selangor betul-betul," katanya.

-- BERNAMA

KERUSI PARLIMEN CAMERON HIGHLANDS MILIK SIAPA?

KUALA LUMPUR: Perebutan kerusi parlimen Cameron Highlands kembali bergema apabila seorang Ketua Pemuda MIC, C. Sivarajah  mengumumkan bahawa beliau adalah bakal  calon MIC bagi kawasan parlimen tersebut.

Ia pula disahkan oleh Ketua Pemuda MCA, Senator Datuk Chong Sin Woon yang datang melawat ke sebuah sekolah di Cameron Highlands yang menyokong penuh Ketua Pemuda MIC itu sebagai calon sambil berkata orang yang sudah berusia lebih 60 tahun tidak layak jadi calon.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Savaranan turut menyokong C Sivarajah yang juga Penyelaras MIC Cameron Highlands sebagai calon. Ini mengakibatkan suasana di parlimen tersebut bergolak apabila kawasan itu dijaga oleh Presiden MyPPP, Tan Sri Kayveas sejak tiga tahun lalu apabila ahli parlimennya G Palanivel dipecat dari MIC dan menjadi ahli parlimen Bebas.

"Saya sudah tiga tahun menjaga parlimen Cameron Highlands kerana saya anak tempatan dan mendapat restu dari Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan saya terkejut apabila Ketua Pemuda MIC mendahului Perdana Menteri dalam mengumumkan calon parlimen Cameron Highlands," kata Kayveas dalam satu pertemuan eksklusif dengan MH Online di pejabatnya petang semalam selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi MyPPP.

"Saya lebih terkejut apabila Ketua Pemuda MCA turut menyokong Sivarajah sebagai calon sedangkan BN belum buat pengumuman lagi siapa akan bertanding di situ," katanya lagi.

Beliau selaku Penasihat Kementerian Pengangkutan mendakwa kerusi Cameron Highlands sebenarnya diwujudkan untuk beliau. Pada tahun 1999, beliau selaku Presiden parti komponen BN tiada tempat untuk bertanding maka Pengerusi BN, Tun Dr Mahathir Mohamad melantiknya sebagai Senator dan Timbalan Menteri dan berjanji akan memberi kerusi Cameron Highlands kawasan baru yang dipecahkan dari parlimen Lipis pada PRU 2004.

Malangnya Dr Mahathir bersara dari politik pada tahun 2003 dan Pak Lah sebagai Pengerusi BN yang baru yang mengetuai PRU 2004 mengikut telunjuk Presiden MIC, Tun Samy Vellu yang mahu kerusi Cameron Highlands untuk MIC. Maka Kayveas terpaksa ambil kerusi Parti Gerakan dan bertanding di parlimen Taiping. pada tahun 2004.

Pada tahun 2008 Kayveas masih mengintai kerusi Cameron Highlands tapi beliau dikekalkan bertanding di Taiping yang mana beliau kalah kepada calon DAP. Pada tahun 2013 beliau masih mahu bertanding di kampung halamannya tetapi beliau patuh kepada arahan Pengerusi BN yang baru, Najib yang mahu Presiden MIC, Palanivel bertanding di situ dan beliau buat keputusan tidak bertanding.

Pada tahun 2014 Palanivel kalah mempertahankan jawatan Presiden MIC dan beliau dipecat dari MIC maka kerusi tradisi MIC itu kosong. Ketika itu beliau memohon kepada Najib untuk menjaga kerusi tersebut dan balik kampung setiap minggu menemui pengundi dan dalam tempoh tiga tahun itu beliau telah mendaftar 5,000 orang pengundi baharu.

"Saya rasa Perdana Menteri nampak saya sudah bekerja keras sejak tiga tahun lalu maka tidak timbul bahawa kerusi Cameron Highlands adalah kerusi tradisi MIC kerana sudah tiga tahun MIC tidak jaga kawasan tersebut," dakwa beliau.

Sehubungan dengan itu beliau kesal dengan sikap pemimpin MIC yang mendahului PM yang menamakan Sivarajah sebagai calon MIC yang mahu orang muda sebagai calon.

"Saya dikatakan sudah lebih umur 60 tahun dan tak layak jadi wakil rakyat seolah olah semua yang sudah berumur 60 tahun ke atas termasuk PM, TPM dan Presiden MIC, Subramaniam tidak layak lagi jadi calon," katanya sedangkan majoriti ketua cawangan MIC dalam parlimen Cameron Highlands berusia 60 tahun ke atas.

Katanya orang muda perlu belajar jadi pengikut sebelum jadi pemimpin. Cari pengalaman yang banyak sebelum layak jadi calon.

"Walaupun sudah berumur 60 tahun kalau calon itu masih sihat dan boleh berkhidmat kepada rakyat maka apa salahnya calon itu dikekalkan kerana rakyat sudah biasa dengan orang lama," ujarnya lagi.

Walau bagaimanapun beliau akan patuh kepada PM apabila tiba PRU nanti. Apabila PM umumkan parti mana yang akan wakili BN di situ beliau akan patuh arahan tersebut tetapi beliau optimis bahawa MyPPP akan mewakili BN pada PRU akan datang  berdasarkan sambutan pengundi di situ terhadap parti MyPPP.