Isnin, Januari 29, 2018

JANGAN CAKAP TAK SERUPA BIKIN, SPRM



KOTA BHARU, 29 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menerima senarai nama calon yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) untuk tujuan saringan awal menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata senarai calon BN itu hanya membabitkan beberapa individu tertentu sahaja dan bukannya senarai lengkap.

"Setakat ini, kita hanya menerima beberapa senarai nama yang dikemukakan oleh pihak kerajaan...ia tidaklah lengkap lagi.

"Kita akan buat proses penyaringan terhadap nama-nama yang telah dihantar," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke SPRM Kelantan yang turut dihadiri pengarahnya, Datuk Moh Samsudin Yusoff di sini, hari ini.

Beliau juga memberitahu pihaknya belum menerima senarai calon daripada parti-parti lain untuk saringan.

Mengulas lanjut, Azam berkata mana-mana parti tidak perlu bimbang untuk menyerahkan senarai calon mereka untuk disaring SPRM kerana agensi itu tidak membocorkan maklumat kepada mana-mana pihak.

"SPRM tidak pernah membocorkan rahsia kepada mana-mana pihak kerana ia membabitkan etika dan amanah yang diberikan kepada kami.

"Kami dengan tangan terbuka sedia untuk membantu mana-mana parti politik (untuk melakukan saringan kepada calon mereka)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata beliau telah mengarahkan SPRM Perak untuk memulakan siasatan berhubung projek pembinaan dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang yang didakwa kurang memuaskan.

"Saya telah mengarahkan Pengarah SPRM Perak untuk segera memulakan siasatan hari ini dengan mendapatkan dokumen-dokumen lengkap daripada pihak tertentu yang terlibat dalam projek ini.

"Biasanya kes-kes begini melibatkan dokumen, jadi kita perlu meneliti dokumen-dokumen tertentu dahulu. Dalam masa yang sama, kita melihat kepada sudut rasuah ataupun salah guna kuasa dan keputusannya mungkin dapat dilihat dalam tempoh dua atau tiga minggu daripada sekarang," katanya.

Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika merasmikan dewan sekolah berkenaan, menyuarakan rasa tidak puas hatinya dengan projek itu yang didakwanya tidak menepati standard yang dikehendaki.

Pembinaan dewan berharga RM600,000 itu dibina menerusi peruntukan yang disalurkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu berhubung siasatan terhadap pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang, Azam berkata sebanyak 10 saksi baharu telah dipanggil untuk memberi keterangan.

"Kita masih lagi meneliti aspek-aspek teknikal berhubung perkara ini. Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan," katanya.

Mengenai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh kerajaan Selangor pula, beliau berkata setakat ini, kerajaan negeri berkenaan masih belum melaksanakannya.

"IBR adalah secara sukarela dan kami tidak beri tempoh khusus kepada mana-mana pihak. Terpulang kepada mereka, jika mahu buat IBR, kami sedia untuk memberi kerjasama bagi menjayakannya," katanya.

Ulasan saya, SPRM jangan cakap tak serupa bikin. Pada PRU 2013 ada calon yang terang terang ada kes SPRM tapi masih dipilih sebagai calon. Kali ini SPRM kena tegas minta BN letak calon yang benar-benar bersih. Kalau tidak orang tidak akan percaya kepada SPRM lagi.