Jumaat, Januari 19, 2018

SPR DIPERALAT OLEH KERAJAAN SELANGOR?



SHAH ALAM, 19 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Selangor akan mengemukakan bantahan terhadap syor kedua kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang didakwa tidak adil dan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan.

Pengerusinya Tan Sri Noh Omar berkata tindakan itu diambil berikutan SPR dilihat masih mengekalkan sebilangan besar sempadan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang menyaksikan bilangan pengundi, pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam keadaan tidak seimbang.

"Mengambil contoh di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK), terdapat tiga kawasan Parlimen iaitu Kapar dengan 146,000 pengundi, Klang seramai 98,000 pengundi dan Kota Raja dengan 110,000 pengundi. Kenapa Parlimen Klang mempunyai jumlah pengundi sedikit sedangkan Klang adalah kawasan bandar sepenuhnya"

"Pengagihan kerusi DUN juga tidak adil, contohnya Klang ada tiga kawasan DUN iaitu Pelabuhan Klang, Pandamaran dan Kota Alam Shah sedangkan Parlimen Kota Raja yang mempunyai lebih ramai pengundi iaitu 110,000 orang hanya ada dua kerusi DUN sahaja iaitu Sri Andalas dan Sri Muda," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mempersoal kewajaran Parlimen Kelana Jaya, yang mempunyai dua kawasan DUN iaitu Seri Setia dan Subang Jaya, diletakkan di bawah pentadbiran dua PBT.

"Seri Setia di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) manakala Subang Jaya di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Kenapa dalam satu Parlimen di kawasan bandar dipecahkan pentadbiran PBT," soal beliau.


Beliau bertanya adakah SPR diperalatkan oleh kerajaan negeri dalam menyediakan syor kedua persempadanan semula pilihanraya di negeri tersebut.

MAHDZIR KHALID MENTERI YANG PALING MUDAH DITEMUI

KUALA LUMPUR: Kali pertama saya menemui Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika beliau menjadi Setiausaha Politik Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pada tahun 2003. Ketika itu sahabat saya penulis buku politik terkenal Musli Oli memperkenalkan beliau kepada saya.

Saya bawa kawan saya, Jabar Onn yang mahu surat sokongan untuk menjadi dealer kereta Chevrolet. Beliau terus membuat surat sokongan tersebut. Tetapi kawan saya tak minat jadi dealer kereta Chevrolet. Sebalinya Jabar jadi dealer kereta Naza di Bandar Baru Bangi. Apabila Bank Negara memperkenalkan banyak dasar yang merugikan dealer kereta Bumiputra maka Jabar terpaksa menutup show room kereta Naza.

Pada tahun 2004 Mahdzir menjadi Menteri Besar Kedah maka hubungan saya dengan beliau terputus. Apabila saya menjadi wartawan Free Malaysia Today  ( FMT) pada tahun 2013, kembali terjalin hubungan kami. Ketika itu beliau adalah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Saya sempat mewawancara beliau secara ekslusif untuk FMT apabila beliau bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno pada tahun 2013.

Saya bukannya jenis ada kepentingan diri dengan mana mana menteri. Kalau orang lain sudah lama jadi jutawan tetapi saya hanya wartawan dan blogger cabuk. Selasa lepas kawan saya minta tolong nak temui Mahdzir. Saya whatsapp beliau. Beliau terus jawab whatsapp suruh datang ke pejabat selepas mesyuarat kabinet pada hari Rabu.

Saya pun bawa kawan saya, Faizal anak muda yang baru berusia 31 tahun dua hari lepas menemui Mahdzir. Beliau adalah seorang ahli perniagaan yang sedang meningkat naik. Beliau pernah buat kerja yang berkaitan dengan IT di pejabat TPM pada Februari 2017. Walaupun nilainya kecil tapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kagum dengan kerja anak muda ini. Beliau menasihati Faizal untuk berniaga betul betul kerana beliau masih muda dan punya masa depan yang cerah.

Faizal banyak dapat job IT di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Johor tetapi beliau sedih bila masuk tender di Terengganu tak dapat. Sebaliknya orang Kuala Lumpur yang dapat. Yang lucunya kontraktor Kuala Lumpur itu menawarkan sub kontrak kepada syarikat Faizal pulak.

Saya nampak anak muda ini ada masa depan dalam perniagaannya. Maka saya bawa Faizal temui Mahdzir. Mahdzir terus sokong permohonannya. Saya kagum dengan layanan Mahdzir. Walaupun saya tak rapat dengan beliau, dia layan kami sedangkan ramai pemimpin Umno Bahagian yang mahu menemuinya hari itu seperti Datuk Nasir Tun Sakaran Dandai dan Datuk Ismail Kijo.

Selepas Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Wahid Omar keluar dari bilik Mahdzir, Mahadzir panggil saya masuk. Saya tak sempat berbual panjang dengan beliau kerana beliau terpaksa turun ke tingkat bawah ada majlis PNB. Tetapi saya kagum dengan layanan mesra beliau.

Mahdzir Khalid adalah menteri yang mudah ditemui. Hari ini saya whatsapp beliau esoknya dapat jumpa beliau. Tidak seperti menteri lain berbulan bulan baru dapat temujanji. Itupun pegawainya banyak songeh tanya macam macam soalan. Sepatutnya pegawai itu aturkan temujanji. Biar menteri yang buat keputusan. Ini pegawai lebih songeh dari menteri.

Jika Mahdzir kekalkan momentum seperti ini memberi peluang kepada semua rakyat menemuinya tanpa protokol di pejabatnya saya percaya beliau akan menang jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan 2018. Insya Allah. Tahniah Datuk Seri!