Selasa, Disember 11, 2018

SAYA ORANG MISKIN KATA MOHAMADDIN KETAPI

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang aset untuk diisytiharkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah menurutnya beliau orang miskin yang tidak mempunyai aset lain selain pendapatan bulanannya sebagai seorang menteri.

“Mana ada (aset lain) saya dah bagi semua. Apa nak saya isytiharkan kalau tidak ada harta. Saya tiada harta, saya orang miskin.

“Jika pada masa depan saya ada harta saya akan isytiharkan, tetapi buat masa sekarang saya tiada apa hendak diisytiharkan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau mengulas paparan di Portal Pengisytiharan Harta SPRM yang menunjukkan namanya antara beberapa anggota Parlimen yang hanya mengisytiharkan pendapatan bulanan, bukan jumlah aset mereka.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata 13 anggota Parlimen kerajaan masih belum mengisytiharkan harta kepada SPRM.

-- BERNAMA