Rabu, Mac 20, 2019

DEWAN RAKYAT KECOH KETIKA TERIMA KUNJUNGAN SPEAKER PARLIMEN SINGAPURA

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Yusof berkata rakan sejawatannya dari Singapura Tan Chuan Jin berada pada ‘waktu dan ketika yang tidak kena’ apabila menyaksikan kekecohan di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad Ariff bagaimanapun memberi jaminan kepada Speaker Parlimen Singapura dan delegasinya itu bahawa kekecohan itu bukan sesuatu yang berlaku setiap hari semasa sesi persidangan Parlimen Malaysia.

"Saya beri jaminan kepada anda dan delegasi anda, bahawa ia (kekecohan) bukan berlaku setiap hari. Seperti apa yang sering disebut, anda berada “at the wrong place, at the wrong time” semasa di parlimen Malaysia hari ini. Namun ia (kekecohan) menunjukkan kepada anda rencam suasana yang boleh terjadi, yang boleh memberikan masalah kepada speaker,” katanya.