Sabtu, September 02, 2017

SATE HAJI SAMURI UBAH LANGSKAP SOSIO EKONOMI KAJANG

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Tidak keterlaluan jika dikatakan Sate Kajang Haji Samuri bukan sekadar sebahagian menu utama dalam kalangan masyarakat tetapi turut menyumbang ke arah perubahan landskap sosioekonomi di Kajang.

Mula beroperasi di gerai No.5 di Medan Sate Kajang pada tahun 1992, Sate Kajang Haji Samuri menjadi begitu sinonim dengan pekan Kajang selepas pengasasnya Allahyarham Datuk Samuri Juraimi menjenamakan semula produk makanan itu selain memberi perspektif yang lebih segar dan diterima luas oleh masyarakat.

Seorang penggemar, Prof. Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata selain membentuk hubungan sosial yang positif, Sate Kajang Haji Samuri banyak memberikan sumbangan terhadap pembangunan ekonomi dan sosial negara, khususnya di Kajang.

"Antara sumbangannya ialah pembangunan ekonomi masyarakat Melayu melalui wujudnya rangkaian perniagaan Sate Kajang Haji Samuri di mana banyak peluang dibuka kepada mereka untuk menceburi rangkaian perniagaan tersebut.

"Selain itu penjenamaan semula makanan berkenaan berjaya menjadi lambang perpaduan masyarakat di Malaysia kerana bukan sahaja Melayu, tetapi juga India dan Cina menghargai serta menikmati sate sekali gus menjadikan ia antara hidangan utama negara," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Sementara itu pemergian Pengasas Sate Kajang Hj Samuri, Datuk Samuri Juraimi akibat kanser hati, memberi kesan mendalam kepada pekerjanya yang menyifatkan Allahyarham sebagai sentiasa merendah diri dan umpama bapa yang penyayang.

Penolong Pengurus Operasi Sate Kajang Hj Samuri, Yusnizam Mohd Naguib, 40, yang sudah 15 tahun berkhidmat dengan Allahyarham, berkata beliau amat memahami kehendak pekerja di semua peringkat dan sentiasa memberi ruang untuk mendengar masalah mereka.

"Memang dia seorang yang amat mementingkan pekerja. Cara dia menyelesaikan masalah tidak memberikan tekanan kepada kami malah memberi kami motivasi untuk bekerja. Allahyarham akan beri jalan penyelesaian yang baik.

"Dia sentiasa bersikap terbuka dan sangat 'particular' masalah pekerja, tidak kira sama ada pekerja kedai mahu pun 'cleaner'. Pekerja boleh hubunginya terus pada bila-bila masa. Setiap masalah pekerja akan dibawa ke mesyuarat untuk dibincangkan dan mencari penyelesaian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Yusnizam turut berkongsi rahsia kejayaan perniagaan yang berusia 25 tahun itu bukan sekadar kepada keenakan dan kualiti sate yang disajikan, malah kebijaksanaan Allahyarham dalam mentadbir urus perniagaannya sehingga menjadi peneraju dalam bidang perniagaan sate secara komersial.