Rabu, Julai 03, 2019

LAPOR KEPADA POLIS KALAU ADA PEGAWAI MINTA WANG DARIPADA KONTRAKTOR



KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini mendakwa ada pihak cuba menyamar sebagai pegawainya bagi meminta wang daripada kontraktor untuk mendapatkan tender kementerian.

Hakikatnya, kata Maszlee, pihak beliau sama sekali tidak pernah melantik mana-mana pegawai untuk mengambil wang daripada kontraktor.

Katanya Kementerian Pendidikan menerima laporan ada kes seumpama itu di pelbagai tempat, termasuk di Johor, Sabah, Kedah dan Perak kononnya untuk mendapatkan tender bagi pembekalan kantin sekolah dan universiti.

"Ada pihak tertentu mengaku sebagai pegawai saya, ketua setiausaha kementerian, setiausaha politik dan meminta kontraktor bayar wang untuk dapatkan tender


"Saya tak pernah lantik pegawai untuk kutip duit daripada kontraktor terbabit, dan saya tahu, tak pernah ada pegawai kementerian yang kutip duit kontraktor,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Maszlee meminta pihak yang didatangi individu mencurigakan itu agar melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

“Kalau ada yang mengaku sebagai pegawai lantikan saya dan meminta wang, lapor kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Ambil gambar dan buktikan. Itu salah, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Sementara itu, Maszlee yang juga anggota parlimen Simpang Renggam berkata Kementerian Pendidikan tidak pernah menganjurkan pertandingan tarian yang didakwa berpakaian tidak sepatutnya di Perak, Sabtu lalu.

“Kementerian Pendidikan tak pernah menganjur atau terlibat sebarang acara tarian separuh bogel.

"Kami tak pernah menaja dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyalahgunakan logo kementerian untuk segala aktiviti bertentangan dengan dasar yang dibawa.

“Terima kasih kepada pihak bawa perkara itu kepada pengetahuan kementerian dengan menularkannya,” katanya ringkas.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini menzahirkan rasa kecewa dengan penganjur sebuah pertandingan tarian kanak-kanak yang melanggar syarat perjanjian apabila ia turut disertai peserta dewasa.

Mereka juga gagal mematuhi garis panduan pakaian ditetapkan kementerian.

Isu itu timbul selepas gambar peserta dewasa berdiri di depan satu kain rentang berlogo Kementerian Pendidikan yang mengundang kritikan di media sosial.

“Penggunaan logo kementerian pada sijil bagi kategori-kategori lain tidak mendapat kebenaran kami. Begitu juga dengan penggunaan logo pada kain rentang dan tirai latar semasa pertandingan,” katanya.

Gambar dari acara yang berlangsung di Ipoh, Perak itu menunjukkan beberapa peserta berpakaian seperti penari gelek.

Bagaimanapun, Penganjur Perak Muda Medalist Dancesport Competitions 2019 dan 7th Perak Show Dance Champonships 2019, JJ & Alice Danceworld hari ini telah memohon maaf berhubung perkara tersebut.