Rabu, Ogos 05, 2009

UMNO TAK PERLU TAKUT DENGAN ANWAR


UMNO tidak pernah takut berdepan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pengkhianat bangsa itu sememangnya bertanggungjawab kepada perpecahan perpaduan orang Melayu, tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.


“Siapa dia Anwar ? Pengkhianat bangsa Melayu yang mengamalkan dasar pecah belah dan memperalatkan orang Melayu untuk memuaskan nafsu politik peribadinya,” jelasnya.


Menurut beliau, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah banyak menyusahkan rakyat dan kestabilan negara menerusi gerakan politik jalanan termasuk berdemontrasi.


Syed Ali menegaskan, parti pembangkang termasuk Anwar hanya menggunakan isu ‘saman’ apabila terdesak.


“Pemimpin UMNO bukan pengecut dan kita akan tentang mana-mana pihak termasuk Anwar yang cuba menghancurkan perpaduan dan kepentingan orang Melayu,” tegasnya.


Katanya, semalam Anwar telah memfailkan saman berjuta ringgit ke atas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mendakwa beliau sebagai pengkhianat bangsa.


“Memang dia pengkhianat bangsa Melayu, saya harap semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian akan menggelarkan Anwar sebagai pengkhianat kerana perlakuan politiknya telah memecahbelahkan perpaduan umat,” tegasnya


Beliau berkata, pemimpin UMNO tidak perlu takut dengan ancaman saman yang akan dilakukan oleh Anwar kerana majoriti rakyat di negara ini sudah meluat dengan putarbelit beliau.


Syed Ali menegaskan demikian ketika berucap di majlis penutup Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Cheras, yang disempurnakan Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, malam tadi.


Hadir sama di majlis tersebut Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wiayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Zainal Abiddin, Ketua-Ketua UMNO Bahagian serta ketiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan.


Menurut Syed Ali lagi, Anwar sengaja mendalangi demontrasi jalanan memansuhkan akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kuala Lumpur Sabtu lalu kerana ada agenda tertentu.


Katanya, Anwar sengaja mencetuskan kekecohan dan galakkan segelintir pengikutnya berhimpun secara haram supaya beliau ditangkap dan ditahan dengan harapan kes liwatnya akan ditunda.


“Inilah taktik beliau, kes liwatnya sudah tentu akan ditunda entah keberapa kali dan akhirnya kes itu semakin hilang daripada perhatian rakyat,” katanya.


Beliau juga melahirkan rasa hairan kenapa Mahkamah Tinggi asyik tunda kes Anwar sehingga rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kredibiliti sistem perundangan.


Dalam nada kecewa, Syed Ali sekali lagi mendesak Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein supaya tegas dan menahan mereka yang terbabit dalam perhimpunan haram di bawah akta ISA.


“Saya kecewa kementerian berkenaan hanya keluarkan amaran demi amaran, tetapi bertindaknya tidak, sepatutnya tahan pemimpin mereka di bawah ISA kerana mendalangi demontrasi baru-baru ini,” tegasnya.


(dipetik dari blog umno bahagian cheras)

MASIHKAH KAU INGAT?

Maafkan aku kerana terlambat mengucapkan harijadi kepadamu Pah. Semalam aku dah ingat, 4 Ogos, harijadimu yang ke 49 tetapi aku terlalu sibuk untuk ucapkan harijadi kepadamu dalam blog aku ini.

Hari ini baru ada masa untuk aku ucapkan padamu dalam blogku ini. Apa khabar Pah? Sudah 30 tahun kita tidak berjumpa tetapi aku tidak pernah lupa hari jadimu setiap 4 Ogos. Semoga kau berbahagia di samping suami dan anak-anak.
Aku percaya anak-anakmu dah besar seperti anak-anakku juga. Anakku yang sulung dah berusia 27 tahun, sudah nikah pun tetapi aku belum dapat cucu lagi. Yang kedua, 25 tahun, yang ketiga, 23 tahun diikuti 20, 19, 17, 16 dan 15. Lapan orang semua. Berapa orang anakmu Pah?
Aku percaya anak perempuanmu secantik dan seputihmu Pah. Kulitmu pun putih melepak macam orang Cina. Sewaktu aku bekerja di Kuala Terengganu dahulu, aku sering terserempak dengan suamimu, Zulkifli tetapi dia segan menegur aku. Aku buat selamba saja menegurnya kerana dia pernah jadi guruku di Maktab Adabi dulu.
Masihkah kau ingat Maktab Adabi Terengganu di Jalan Tok Lam? Di situlah kita bertemu buat kali pertama pada 9 Mei 1979. Sudah 30 tahun berlalu, tetapi aku rasakan peristiwa itu baru saja berlaku semalam.
Terlalu cepatnya waktu berlalu. Cikgu-cikgu kita di Adabi kita hebat-hebat belaka, Hussein Embong, Azlan Dagang. Malah suamimu pun hebat juga.
Aku tidak bercadang menulis panjang di sini. Sekadar mengenang peristiwa 30 tahun lalu bersamamu. Kenangan itu amat indah tetapi memang kita tiada jodoh. Aku ucapkan selamat panjang umur dan berbahagialah sentiasa di samping keluarga tercinta.
Maafkan Encik Zul, kerana aku mengucapkan harijadi kepada isterimu, Tengku Sharafah Landan. Sesungguhnya aku tidak pernah melupakannya. Kau sendiri tahu bahawa kamilah pasangan yang ideal ketika di Adabi dahulu. Ketika itu kau baru keluar dari Universiti Malaya dan mengajar kami. Aku cuma ingin mengucapkan terima kasih kepada Pah melalui blog ini kerana di atas dorongannya aku berjaya mendapat keputusan cemerlang di Adabi dan memasuki Universiti Malaya pada tahun 1980. Terima kasih Pah!

MUHYIDDIN TIDAK GENTAR DISAMAN


Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau tidak akan memohon maaf atau menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Batu Pahat, Johor, Ahad lalu.


Timbalan Perdana Menteri turut mengakui kenyataan tersebut datang dari mulutnya sendiri dan bukan satu pembohongan.


"Saya nak beritahu, saya tak kan minta maaf. Memang itu kenyataan yang saya buat, saya bukan bohong," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 di Putrajaya semalam.


Beliau diminta mengulas tuntutan Anwar yang mahu dirinya menarik balik kenyataan yang dibuat semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading, Ahad lalu.


Berikutan kenyataan tersebut, Anwar menerusi peguamnya menghantar surat tuntutan ganti rugi sebanyak RM100 juta kepada Muhyiddin dan Utusan Malaysia.


Selain Utusan Malaysia, kenyataan Muhyiddin itu turut disiarkan oleh New Sunday Times dan Berita Harian.


Muhyiddin memberitahu, beliau sudah menerima surat tuntutan tersebut dan telah menyerahkannya kepada peguam untuk tindakan lanjut.


Mengenai gesaan supaya kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan dalang demonstrasi haram di ibu negara Sabtu lalu, beliau menjelaskan, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.


Timbalan Perdana Menteri menambah, beliau tidak mahu sebarang tindakan termasuk penggunaan ISA dijadikan perangkap oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab bagi memburuk-burukkan kerajaan.


Menurutnya, kerajaan juga tidak pernah tidak mengendahkan suara rakyat supaya ISA dikaji semula bahkan telah pun memulakannya.


"Sebarang kajian akan mengambil masa kerana kita perlu mendengar pandangan pelbagai pihak dan saya harap semua pihak bersabar," jelasnya.