Memaparkan catatan dengan label ingat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ingat. Papar semua catatan
Jumaat, Januari 23, 2015
ZAHID TETAP INGAT KAWAN LAMA
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menziarah rakannya semasa bekerja sambilan di Wisma Radio, Khairuddin Che Long yang uzur di rumahnya di sini, pada Khamis.
Bekas timbalan pengarah Hal Ehwal Semasa Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu baru sahaja keluar dari unit rawatan rapi Pusat Perubatan Universiti Malaya setelah dirawat 18 hari kerana masalah kekurangan oksigen akibat penyakit "Chronic Obstructive Pulmonary Disease" (COPD).
Ahmad Zahid berkata beliau mengenali Khairuddin, 62, semasa beliau masih menuntut di Universiti Malaya dan bekerja sambilan di Wisma Radio.
"Saya mengetahui keadaannya yang kini uzur apabila beliau beberapa kali menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada saya untuk berjumpa. Jadi, hari ini saya datang untuk bertemunya dan melihat sendiri keadaan Khairuddin," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Ahmad Zahid berharap lebih ramai rakan-rakan yang pernah mengenali Khairuddin, terutamanya dalam bidang penyiaran dan kewartawanan, menziarahinya kerana beliau amat memerlukan semangat dan motivasi bagi mengharungi penyakitnya itu.
Sementara itu, isteri Khairuddin, Wan Hanisah Wan Omar, 60, yang juga bekas Penerbit Rancangan RTM berkata suaminya kini beransur pulih, namun kurang selera makan sebab penyakitnya turut melibatkan masalah paru-paru.
Wan Hanisah berkata Khairuddin mula didiagnos penyakit berkenaan pada 2011 apabila batuk yang dihidapinya tidak sembuh, dan keadaan kesakitannya kini tidak menentu.
-- BERNAMA
Rabu, Ogos 05, 2009
MASIHKAH KAU INGAT?
Maafkan aku kerana terlambat mengucapkan harijadi kepadamu Pah. Semalam aku dah ingat, 4 Ogos, harijadimu yang ke 49 tetapi aku terlalu sibuk untuk ucapkan harijadi kepadamu dalam blog aku ini.
Hari ini baru ada masa untuk aku ucapkan padamu dalam blogku ini. Apa khabar Pah? Sudah 30 tahun kita tidak berjumpa tetapi aku tidak pernah lupa hari jadimu setiap 4 Ogos. Semoga kau berbahagia di samping suami dan anak-anak.
Aku percaya anak-anakmu dah besar seperti anak-anakku juga. Anakku yang sulung dah berusia 27 tahun, sudah nikah pun tetapi aku belum dapat cucu lagi. Yang kedua, 25 tahun, yang ketiga, 23 tahun diikuti 20, 19, 17, 16 dan 15. Lapan orang semua. Berapa orang anakmu Pah?
Aku percaya anak perempuanmu secantik dan seputihmu Pah. Kulitmu pun putih melepak macam orang Cina. Sewaktu aku bekerja di Kuala Terengganu dahulu, aku sering terserempak dengan suamimu, Zulkifli tetapi dia segan menegur aku. Aku buat selamba saja menegurnya kerana dia pernah jadi guruku di Maktab Adabi dulu.
Masihkah kau ingat Maktab Adabi Terengganu di Jalan Tok Lam? Di situlah kita bertemu buat kali pertama pada 9 Mei 1979. Sudah 30 tahun berlalu, tetapi aku rasakan peristiwa itu baru saja berlaku semalam.
Terlalu cepatnya waktu berlalu. Cikgu-cikgu kita di Adabi kita hebat-hebat belaka, Hussein Embong, Azlan Dagang. Malah suamimu pun hebat juga.
Aku tidak bercadang menulis panjang di sini. Sekadar mengenang peristiwa 30 tahun lalu bersamamu. Kenangan itu amat indah tetapi memang kita tiada jodoh. Aku ucapkan selamat panjang umur dan berbahagialah sentiasa di samping keluarga tercinta.
Maafkan Encik Zul, kerana aku mengucapkan harijadi kepada isterimu, Tengku Sharafah Landan. Sesungguhnya aku tidak pernah melupakannya. Kau sendiri tahu bahawa kamilah pasangan yang ideal ketika di Adabi dahulu. Ketika itu kau baru keluar dari Universiti Malaya dan mengajar kami. Aku cuma ingin mengucapkan terima kasih kepada Pah melalui blog ini kerana di atas dorongannya aku berjaya mendapat keputusan cemerlang di Adabi dan memasuki Universiti Malaya pada tahun 1980. Terima kasih Pah!
Langgan:
Catatan (Atom)
