Jumaat, Julai 16, 2010

SUAMI WANITA TERTUA DIBEBAS


Selepas setahun ditahan di pusat pemulihan, Mohd Noor Che Musa, suami wanita tertua di Terengganu, semalam dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).

Mohd Noor, 39, yang ditahan pada 7 Julai tahun lepas dibebaskan selepas ditahan di pusat pemulihan itu selama 12 bulan lapan hari. Namun kelibat isteri kesayangannya Wook Kundor, 108, tidak kelihatan di pusat pemulihan itu pada saat suaminya dibebaskan.

Kisah cinta unik pasangan yang mempunyai perbezaan umur yang jauh itu pernah menggemparkan negara dan mendapat perhatian media.

Mohd Noor ketika ditemui berkata program di Puspen banyak mengajarnya menjadi seorang insan yang bertanggungjawab dan mengubah dirinya menjadi insan yang bebas dari dadah.

"Saya kini mampu menilai diri sendiri secara positif dan lebih yakin untuk menghadapi hidup di masa depan bersama isteri kesayangan saya Wook.

"Saya juga amat menyesal apabila sentiasa mengabaikan solat dan jarang membaca Al-Quran sebagaimana yang dinasihati oleh Wook sehingga saya terjebak dengan dadah sebelum ini," katanya.

Mohd Noor berkata dia kini ingin segera pulang ke Kampung Beris Bachok, Kelantan untuk bertemu isteri kesayangannya itu, yang ketika ini berada di rumah keluarganya di sana.

"Saya asyik terkenangkan Wook dan bimbang akan kesihatannya. Saya perlu pulang segera untuk melihat keadaan isteri saya," katanya.

Mohd Noor berkata dia juga merancang untuk mengadakan majlis kenduri doa selamat di kediaman mereka di Kuala Berang dalam waktu terdekat setelah berbincang dengan isterinya.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Mohd Noor berkata dia bercadang untuk tinggal di pondok di Kelantan bersama Wook untuk mendalami ilmu agama.

"Saya harap masyarakat akan dapat menerima saya semula," katanya.

Sementara itu Komandan Puspen Besut Rohayu Ahmad berkata sepanjang ditahan di pusat itu, Mohd Noor berkelakuan baik dan tidak pernah melanggar disiplin.

(dipetik dari teganuku.blogspot.com)

BILA MESEJ TAK SAMPAI KE PM


Hari ini kerajaan telah mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak lima sen sebagai menyelaraskan subsidi yang kononnya dapat menjimatkan sebanyak RM750 juta setahun.
Langkah ini walaupun tidak membebankan rakyat tetapi menimbulkan kemarahan rakyat kerana harga minyak dan harga gula tidak dapat dielakkan naik.

Pada hemat saya, langkah ini tidak wajar sedangkan ada proposal yang pernah dihantar kepada MOF dan EPU pada tahun 2007 yang mana melalui sistem mengurus subsidi ini harga minyak tidak perlu dinaikkan dan malah melalui sistem ini ia dapat minjimatkan lebih RM1 bilion setahun lebih banyak dari yang dibuat oleh Datuk Seri Idris Jala.

Usaha untuk menyampaikan mesej ini ke telinga PM,Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menjadi kenyataan. Masalahnya ia hanya sampai ke setiausaha politiknya ketika beliau menjadi TPM tetapi setiausaha politiknya tidak begitu berminat mendengar.

Pelbagai pihak yang berjanji kononnya rapat dengan PM cuba membantu pencipta sistem ini untuk membentangkan proposal kepada PM, tetapi janji tinggal janji kerana tidak ada yang berjaya menyampaikan mesej ini kepada PM.

Malah ada juga usaha untuk mendekati isteri PM, Datin Seri Rosmah Mansor juga tidak berjaya. Kumpulan ini cuba membuat temujanji dengan setiausaha politik PM sampai sekarang tidak pernah menerima panggilan dari pejabat SUP. Oleh itu mesej ini tidak pernah sampai ke PM.

Saya yakin jika PM mendengar proposal ini yang mana kerajaan tidak perlu menaikkan harga minyak, malah harga minyak boleh diturunkan di bawah harga pasaran, sudah tentu BN akan menang besar dalam pilihanraya umum akan datang. Malah formula ini pernah dibawa ke bekas PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan harapan BN akan menang dalam pilihanraya umum 2008 bila melaksanakan sistem ini tetapi mesej itu juga hanya sampai ke telinga Datuk Othman Desa sahaja.

Oleh itu amatlah malang bagi kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak sedangkan melalui proposal ini kerajaan tidak perlu menaikkan harga minyak.Oleh itu siapa yang tidak cerdik? Malah proposal ini turut diberi tangan kepada Idris Jala pada hari pelancaran Hari terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi tetapi Idris Jala tidak pernah panggil untuk membuat pembentangan.Jadi siapakah yang tidak cerdik di sini? Kalau Idris Jala cerdik, dia tidak akan jual bangunan MAS untuk mengatasi masalah kerugian MAS.